Sunday, December 23, 2012

Melakar Pelangi: Bahagian 5 (Pemergian yang berganti)



Kejamkah takdir
Andai dia yang kusayang Kau ambil
Aku redha atas ketentuan-Mu ya Ilahi…

Nafas Adli turun naik, dadanya berombak kencang. Fatimah yang sejak seminggu menunggu setia di sisi Adli terjaga dari tidur. Dia cemas melihatkan keadaan suaminya.
“Nurse..Nurse.. tolong panggilkan doktor. Suami saya..suami saya..”
Fatimah berlari keluar dan meminta jururawat di situ memanggilkan doktor dengan segera. Fatimah resah menunggu di luar wad. Hampir sejam dia menunggu sambil airmatanya mengalir tidak henti-henti.
“Kak Mah, macam mana keadaan abang Adli?” Alang yang baru tiba terus mengajukan soalan yang Fatimah sendiri tidak dapat menjawabnya. Belum sempat Fatimah membuka mulut, pintu wad dibuka. Kelihatan doktor berjalan menghampiri mereka berdua.
“Maafkan saya. puan, Allah lebih sayangkan dia. Kanser otak yang dialaminya sudah di tahap terakhir, kami tidak dapat berbuat apa-apa.”
Seolah-olah dunia gelap dirasakan. Suami yang selama ini merupakan tempat bergantung pergi meninggalkannya. Kanser otak yang cuba dirahsiakan suaminya akhirnya dapat diketahui juga, tetapi sudah terlambat. Fatimah hanya tahu setelah melihat jasad Adli tidak bernyawa. Pandangan Fatimah kelam. Dia  rebah di situ juga.

*                      *                      *

Andai benar kematian akan menjemput
Tiada siapa bisa menghalangi
Kerna semua itu ketentuan
Buat kita yang bernama hamba...

‘Mah janji akan jaga anak-anak kita dengan baik. Mah akan didik mereka supaya mereka menjadi anak yang soleh dan solehah serta selalu doakan abang.’
Fatimah membisik janji itu di dalam hati sambil mengusap kepala anak-anaknya dan mencium ubun-ubun Shahid dan Syahidah yang masih kecil.
“Kenapa ayah meninggal mak? Ayah merajuk dengan kita ke?” Soal Syahidah. Dia memahami erti kematian, namun masih belum memahami kenapa manusia perlu mati. Fatimah melipat tikar mengkuang dan membawa anak-anaknya berjalan pulang. Sambil berjalan dia menjawab soalan Syahidah.
“Bukan sebab ayah merajuk, tetapi sebab Allah sayangkan ayah. Allah jemput ayah dahulu sebelum kita semua. Sya dan Shah kena selalu ingat bahawa semua manusia akan mati. Tiada yang kekalpun di dunia ini.”
“Kenapa Allah ambil ayah dahulu.” Sambung Shahid bertanya.
“Sebab setiap manusia sudah ditentukan berapa lama dia akan hidup di dunia. Ayah sudah ditentukan hidup sampai waktu ini, maka Allah ambil nyawa ayah dulu. Jadi kita yang masih hidup kena selalu doakan ayah. Shah dan Sya sayangkan ayah kan?” Fatimah menyoal seakan memujuk dan mereka berdua mengangguk serentak.
“Sya sayangkan ayah.. sayangkan mak.. sayangkan abang Shah juga.” Sambung Sya.

*                      *                      *

Sudah hampir dua tahun Adli meninggal dunia. Shah sudah naik tingkatan dua. Kini dia bersekolah di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak. Keputusan 5A yang dia capai melayakkan dia untuk ditawarkan ke sekolah berasrama penuh itu. Dia jarang dapat pulang ke rumah. Mungkin sebulan sekali sahaja dia akan pulang mengubat kerinduannya pada ibu dan adik perempuannya.
Syahidah pula sudah darjah lima. Dia sudah mula memakai tudung jika hendak ke mana-mana. Dia suka meniru-niru ibunya memakai tudung dan menggaya-gayakannya di hadapan cermin. Anak kecil itu selalu mengatakan:
“Bertudung itu cantikkan mak?”
Fatimah selalu tersenyum setiap kali mendengarkannya.
“Yang paling penting jika bertudung Allah sayang, Sya nak Allah sayang tak?”
            Syahidah mengangguk. Dia mencium tangan ibunya lantas berlari-lari anak sambil membawa beg galas dan mengambil basikalnya.
“Mak, Sya pergi sekolah dulu ye. Assalamualaikum.” Syahidah mengayuh basikal menuju ke sekolahnya untuk latihan bola jaring. Fatimah menghantar anaknya dengan pandangan sambil  menjawab salam Syahidah.
            “Kak, Alang nak tanya akak” Adik lelakinya yang memang berada di beranda rumah cuba membuka bicara. Fatimah mendengar sahaja sambil tangannya mengupas buah mempelam muda.
“Kak Mah pernah terfikir nak kahwin lagi?” Tangan Fatimah berhenti dari terus mengupas mempelam itu lantas memandang wajah Alang kehairanan.
“Bukan maksud Alang nak suruh akak cari pengganti Abang Adli, tetapi untuk jaga kak Mah dan anak-anak akak. Sampai bila akak nak jaga mereka seorang diri. Alang tak lama lagi dah nak berumahtangga. Alang takut tak dapat nak jenguk kakak anak beranak selalu.”
Fatimah termenung jauh. Ada kebenaran kata-kata Alang. Tetapi hatinya masih tidak boleh mencari pengganti suaminya yang telah meninggal dunia dua tahun lalu. Dia juga merisaukan penerimaan kedua-dua anaknya nanti.
“Entahlah Alang. Akak masih belum bersedia.” Fatimah memberi alasan.
“Kak Mah, sebenarnya ada yang merisik akak.” Alang membuka cerita. Fatimah hanya menanti perkataan seterusnya sambil mengupas mempelam seakan tidak berminat dengan risikan tersebut.
“Kak Mah kenal lagi dengan Wan Abdul Samad? Orang yang Abang Adli tolong bawa dia ke hospital? Abang Wan tu yang kita uruskan jenazah isteri dan anaknya yang meninggal dalam kandungannya 2tahun lepas.”
Fatimah masih ingat lagi lelaki tersebut. Semasa dia menunggu Adli di hospital, Wan Abdul Samad selalu datang melawat dan membawa buah tangan untuk suaminya.
“ Ingat lagi.” Fatimah memberi respon.
“Abang Wan tu merisik akak. Kalau akak setuju dia nak melamar akak.” Fatimah seakan terkejut. Umurnya yang sudah hampir menginjak 39tahun itu tidak dapat  membayangkan bahawa dirinya masih mendapat tempat di hati seorang lelaki.
“Kak Mah istkharahlah dahulu. Abang Wan beritahu dia tidak memaksa akak, tetapi jika akak bersetuju beritahulah pada Alang ye nanti.”

*                      *                      *

Malam itu Fatimah melelapkan mata, dan di dalam tidurnya seolah-olah bermimpi melihat seorang pemuda memegang tangan anak-anaknya. Fatimah melihat dari kejauhan sambil tersenyum. Dia tidak tahu siapa susuk lelaki itu tetapi anak-anaknya begitu rapat sekali dengannya.
Tiba-tiba Fatimah terjaga. Dia  melihat jam di dinding menunjukkan jam 4.50 pagi, lantas bingkas bangun dan terus menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Fatimah melaksanakan solat sunat tahajjud dan melakukan solat sunah istikharah[1] lagi. Dia mahu memohon petunjuk atas risikan Wan Abdul Samad. Mudah-mudahan Allah memberikan hidayah kepadanya. Setelah melaksanakan solat sunat dua rakaat, di akhir sujud dia berdoa dengan doa yang dia belajar di kelas pengajian yang dia hadiri setiap minggu di surau kampungnya:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلَا أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلَا أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَمَعَادِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي وَبَارِكْ لِي فِيهِ اللَّهُمَّ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُهُ شَرًّا لِي فَاصْرِفْنِي عَنْهُ وَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاقْدِرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ رَضِّنِي بِهِ

            Maksudnya: Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya aku memohon petunjukMu dengan ilmu-Mu, pertolonganMu dengan KudratMu, dan aku memohon dari-Mu kebaikan yang besar, sesungguhnya Engkau Maha Mentakdirkan sedangkan aku tidak mampu, sesungguhnya Engkau mengetahui sedang aku tidak mengetahui dan Engkau Maha Mengathui segala yang ghaib. Ya Allah, sekiranya pada pandanganMu  perkara ini (disebutkan perkara) baik untukku, di dalam agamaku, kehidupanku dan tempat kembaliku juga pengakhiranku maka takdirkanlah ia untukku dan permudahkanlah ia untukku serta berkatilah hidupku dengannya. Ya Allah sekiranya pada pandanganMu perkara ini buruk untukku maka jauhkanlah aku darinya dan jauhkanlah ianya dariku, dan takdirkanlah untukku kebaikan pada setiap tempat dan setiap masa kemudian jadikanlah aku redho padanya.

Sebulan berlalu.
 “Alang, insyaAllah akak terima lamaran itu.” Fatimah memberikan jawapan setelah hampir sebulan dia memohon petunjuk dari Allah. Akhirnya dia membuat keputusan menerima lamaran Wan Abdul Samad.
“Alhamdulillah. Terbuka juga hati Kak Mah. Nanti Alang sampaikan pada Abang Wan insyaAllah.“
Alang menghabiskan minuman yang kakaknya sediakan lantas menghidupkan enjin motor untuk menyampaikan berita tersebut kepada Wan Abdul Samad. Dia sangat senang hati jika lelaki itu yang menjadi suami kepada kakaknya. Wan seorang yang amat bersopan dalam berkata. Dia tidak pernah melihat Wan berkasar. Walaupun begitu, dia juga seorang yang tegas. Tugasnya sebagai seorang guru sekolah rendah menjadikan dia ditakuti pelajar-pelajar namun dia tetap disenangi oleh anak didiknya.  
Aku terima nikahnya Siti Fatimah binti Haji Sa’ad dengan maskahwinnya senaskah al-Quran tunai.” Akad nikah disaksikan Alang dan Pak Zaid iaitu abang sulung Fatimah sendiri. Dengan sekali lafaz maka Fatimah dan Wan Abdul Samad sudah sah menjadi suami isteri. Majlis tersebut hanya dihadiri keluarga dan saudara terdekat kedua belah pihak.
“Barakallahu laka, wa baraka ‘alaika wa jama’a bainakuma fil khair wal hamdulillahi rabbil a’lamin”.
Semua mengaminkan doa yang dibaca tok kadi. Fatimah nampak masih anggun apabila mengenakan pakaian kurung satin serba putih beserta dengan selendang. Masih tampak ayu walaupun bertudung dan menutup aurat. Dia menangis tatkala dirinya sudah sah menjadi isteri kepada lelaki yang belum begitu dia kenali.

Mereka masuk ke dalam bilik dan melaksanakan solat sunat nikah. Seusai solat Wan menyarungkan cincin ke jari manis Fatimah lalu mengucup dahi isteri yang baru sahaja dinikahinya. Fatimah mencium tangan suaminya dengan perasaan gembira dan terharu.
Sudah hampir 3minggu dia bergelar isteri. Shahid menyambut kehadiran ayah tirinya dengan penuh gembira. Dia dididik di sekolahnya tentang erti kasih-sayang dan menghormati orang yang lebih tua. Dia senang menerima kehadiran Pak Wan kerana sekurang-kurangnya dia tidak perlu risaukan keadaan ibunya dan adik perempuannya sepanjang ketiadaanya di rumah.
Syahidah masih berkurung di bilik. Dia memprotes pernikahan ibunya.
“Mak dah tak sayangkan arwah ayah ye?” Fatimah membelai lembut rambut Syahidah. Dia faham jiwa anak perempuannya itu. Syahidah sangat rapat dengan arwah suaminya, Adli. Mungkin dia tidak dapat menerima ada orang lain yang menggantikan tempat ayahnya di rumah tersebut.
“Bukan begitu sayang,” Fatimah cuba memujuk.
“Kalau mak masih sayangkan arwah ayah kenapa mak kahwin dengan Pak Wan. Ayah tirikan jahat.”  Syahidah masih keanak-anakan. Dia masih belum memahami apa itu tanggungjawab yang sebenarnya. Dia selalu terpengaruh dengan cakap-cakap kawannya di sekolah. Kawan-kawannya selalu bilang ayah  tiri itu jahat. Selalu marah-marah dan pukul anak tiri. Dia takut Pak Wan akan begitu.
“Syahidah sayang... Mana anak mak yang penuh dengan kasih sayang dan tawa ceria dulu. Ingat tak apa yang Rasulullah s.a.w pesan. Rasulullah s.a.w berpesan: “Sesiapa yang tidak mengasihi maka dia tidak akan dikasihi.”
Sya seorang yang penyayang. Pak Wan bukan pengganti ayah kerana tiada siapa boleh menggantikan ayah. Pak Wan dan ayah berbeza sifat, kebaikan mereka juga berbeza. Ayah sudah pergi untuk selama-lamanya. Bukankah Ayah selalu berpesan kita kena selalu bersangka baik dengan orang. Tidak semua ayah tiri jahat. Pak Wan seorang yang baik dan berlemah lembut orangnya. Mak doakan Allah lembutkan hati Sya menerima kehadiran Pak Wan sebagai ahli keluarga baru dalam keluarga kita.”

Fatimah mencium dahi anak perempuannya lantas berlalu keluar. Syahidah masih termanggu-manggu di situ. Dia masih tidak dapat menerima kehadiran Pak Wan dalam keluarganya. Dia melayan perasaan sendiri hingga terlelap di atas katilnya.



















[1] Diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah dia berkata: Dahulu Rasulullah s.a.w mengajarkan kami istikhoroh sepertimana Baginda mengajarkan kami surah daripada al-Quran, baginda bersabda: sekiranya kamu berniat melakukan sesuatu maka laksanakanlah solat sunat dua rakaat dan membaca doa (seperti yang disebutkan di atas). Hadith Riwayat al-Bukhari 4/347.