Showing posts with label Melakar Pelangi. Show all posts
Showing posts with label Melakar Pelangi. Show all posts

Sunday, April 14, 2013

Melakar Pelangi: Bahagian 6 (Pertemuan)



“Argh...... aku tension betullah dengan orang atas ni. Tak tau nak dengar  radio pelan-pelan ke? Dahlah aku ada mid term exam esok. Kalau ikutkan hati aku sekarang juga aku serang mereka tu. Huh..”.
Hasni keluar dari petak biliknya mahu membuka pintu. Dia tidak jadi keluar apabila Syahidah masuk ke dalam bilik selepas selesai membasuh pakaian. Suasana malam itu diganggu dengan bunyi bising dari tingkat 4 blok B, Mahallah Hafsah.. Jam hampir menunjukkan jam12 tengah malam.
“Sya, kau tak rasa geram ke dengan orang atas ni. Berpesta ke?? Nak je aku maki hamun diorang tu. Hiiissh...?” Marah benar Hasni malam itu.
“Sabar dulu Has. Nanti Sya cuba naik atas lihat-lihat apa yang berlaku. Has ada midterm ye esok?” Syahidah cuba menenangkan rakan sebiliknya.
“Yelah, aku ada midterm esok. Sudahlah minggu ini berderet exam. Tak ke berserabut aku jadinya.”. Rungut Hasni sambil menunjuk-nunjukkan nota-nota yang dibaca sejak tadi.
“Emmm.. Has pergilah belajar di bilik study di tingkat bawah. Mungkin tenang sedikit nak study.” Syahidah memberi cadangan.
“Betul juga cadangan Sya itu.” Hasni lantas mengambil semua buku-bukunya dan keluar sambil mulutnya masih mengomel marahkan orang yang mencetuskan gangguan malam itu. Syahidah masuk semula ke petak biliknya. Dia merasakan juga gangguan muzik yang terlalu kuat dan bunyi hentakan kaki di tingkat atas tetapi dia cuba tenangkan hati.
‘Mungkin mereka tidak tahu orang lain terganggu.’ Syahidah berbaik sangka.
‘Apa agaknya yang mereka buat di atas sana. Hm.. adapun buah epal.’ Dia mengambil bungkusan yang berisi enam biji epal dan dimasukkan kemas ke dalam plastik lain yang sedikit cantik. Dia keluar dari bilik, menyarung selipar dan naik ke tingkat atas biliknya.

 Tok..tok..tok...
“Assalamualaikum”.
Pintu bilik tersebut memang terbuka luas. Syahidah menunggu di luar sahaja dan memberikan salam berkali-kali. Suasana yang bingit dipenuhi dengan beberapa orang penghuni kolej sedang menari mengikut rentak lagu yang berkumandang menyukarkan sesiapa untuk menyedari kehadiran Syahidah.
Tiba-tiba seorang wanita menjenguk ke luar dan menyapa Syahidah.
“Hai Sis. Masuklah join my birthday party. Jangan malu-malu.”  Pelawa seorang penghuni yang dikenali dengan panggilan Bella.
“Eh, tidak mengapalah. Nama saya Syahidah. Bilik saya di bawah ini je. Selamat berkenalan. Nama awak Nabilah kan?” Soal Syahidah.
“Ya, nama saya Nabilah. Tapi panggil sahaja Bella.”
“Oh, kawan saya di bilik bawah ada juga cerita tentang Bella, katanya satu kuliah dengan Bella. Dari situlah saya tahu nama awak. Kebetulan hari ni hari lahir Bella, saya tiada apa-apa nak beri. Cuma ada epal ini sebagai buah tangan tanda salam perkenalan.” Syahidah memberikan buah epal yang sengaja dibawa. Tak tersangka pula dia akan berikan epal itu sebagai hadiah hari lahir Bella.
“Eh, terima kasih. Tak perlu susah-susah. Di dalam banyak makanan. Marilah sekali.” Bella menyambut huluran bungkusan berisi epal itu sambil tersipu malu.
“Terima kasih banyak-banyak Bella. Sebenarnya saya ada midterm esok. Saya kena study dahulu. Nanti kalau dah makan takut terlena sampai pagi.” Syahidah memberi alasan.
“Awak ada midterm? Maaflah jika mengganggu awak study.” Bella dihuni rasa bersalah.
“Jika saya mungkin tak terganggu sangat, tetapi mungkin penghuni yang lain akan rasa terganggu sedikit. Bukannya apa, sebab kita hidup bersama-sama di sini, jadi saya amat menghargai jika Bella dapat habiskan parti ni awal.” Syahidah cuba berlapik agar tidak timbul pergaduhan akibat tersilap bicara.
Bella menggaru kepala seakan berfikir.
“Okay, terima kasih tolong beritahu. Saya tak terfikir pun semua itu tadi. Just nak happy-happykan diri je menari-nari dan dengar muzik macam ini.”
“Sama-sama. Terima kasih juga memahami. Saya senang berkenalan dengan Bella. Nanti jika lapang-lapang jemputlah datang ke bilik saya di 3.8.”
Syahidah bersalaman dengan Bella sambil mengucapkan selamat ulangtahun kelahiran kepadanya sekali lagi. Dia lega kerana keadaan kembali reda sebaik sahaja dia turun semula ke biliknya. Sebenarnya keesokannya dia pun ada midterm, tetapi peperiksaannya baru bermula. Kerana itu dia tidak terlalu rasa tertekan.
 Dia mula membuka buku Mass Communication dan menyambung ulangkajinya. Dia tidak rasa mengantuk kerana lepas solat isya’ tadi dia sudah tidur selama 1jam setengah. Dia memang membiasakan diri setiap kali mahu exam untuk tidur sebentar supaya boleh berjaga lewat sedikit. Hasni masih belum pulang ke bilik. Syahidah memerhatikan ke arah bilik 2orang rakannya yang lain.
‘Gelap. Dah tidur agaknya.’ Bisik hatinya
Tiba-tiba dia mendengar suara seakan orang menangis. Dia meneliti benar-benar. Suara itu datang dari petak bilik bertentangan dengannya. Syahidah menghuni petak bilik D, bermakna suara itu datang dari orang yang berada di kotak bilik A. Dia keluar menuju ke hadapan ruang bilik tersebut dan memberi salam meminta izin untuk masuk.
“Shida, boleh akak masuk?” Syahidah meminta izin sebelum menyelak langsir bilik tersebut.
“Emmm...Masuklah kak.” Suaranya berselang-seli dengan sedu-sedan.
Syahidah menyelak langsir bilik yang hanya diterangi lampu belajar. Walaupun lampu dibuka keadaan bilik masih suram kerana Shida menutupnya dengan kertas berwarna. Syahidah melihat Shida menekup muka dengan bantal lantas mengangkat mukanya sebaik sahaja Syahidah masuk. Matanya memerah dan bengkak tanda dia baru lepas menangis.
“Shida tak apa-apa ke?” Pujuk Syahidah sambil tangannya menyelak bahagian depan rambut Shida yang menundukkan sedikit wajahnya.  
“Tak..tak ada apa-apa kak. Shida okay je.”Syahidah seakan tidak puas hati dengan jawapan itu.
“Shida cuma rasa tertekan sedikit. Shida nak tidur dulu.”

Syahidah memahami keadaan Shida yang selalu benar menangis. Walaupun dia tidak tahu apa sebenarnya masalah Shida, tetapi dia selalu menemankan Shida setiap kali perkara itu berulang.
“Tak mengapalah, Shida tidurlah dulu. Akak tolong tutupkan lampu meja ini ye.”
Syahidah memetik suis lampu meja dan keluar dari petak bilik juniornya. Syahidah baru mengenali Shida semester ini. Sejak dia mengenali Shida kerapkali dia mendengar Shida menangis. Mungkin ada sesuatu yang perlu dibantu.

*                      *                      *

Tit..tit...
Telefon bimbit Syahidah bergetar. Dia meraba-raba  bawah bantalnya untuk mencapai telefon bimbitnya. Punat segera ditekan.

One message receive
‘Siapa pula yang hantar mesej pagi-pagi ni, baru pukul 3.30pagi ni’
Dia terus menekan punat open sambil matanya terkelip-kelip menahan mata dari sinaran lampu meja belajar.
‘Salam ukhuwwah. Malam nanti liqa’ kita seperti biasa. Di masjid level3, jam 8.30 malam. Jangan lupa ye. Jumpa nanti’

Sender
0134568778
Hazimah

‘Insya-Allah, syukran’
Sya membalas mesej tersebut.

Dia terus teringat esok petang dia ada midterm, ada lagi separuh chapter yang belum dia selesaikan. Dia terus mengemas buku-buku yang menemani tidurnya lalu ke bilik air untuk mengambil wudu’. Sebaik sahaja pintu bilik utama dibuka, dia terkejut apabila terlihat seseorang duduk di bahagian kanan pintu bilik. Hatinya seram sejuk.
‘Siapa ni? macam perempuan...takkanlah... astaghfirullah.. apelah yang aku merepek. Manalah ada hantu boleh pakai selipar’
Dia lucu memikirkan hantu memakai selipar jepun. Syahidah memberanikan diri menyentuh bahu wanita itu.
“Sis..Sis..” Syahidah mengejutkannya dengan berhati-hati. Takut dimarahinya. Jasad tersebut seakan terkejut lalu mendongak ke arah Syahidah yang membongkok.
“Kenapa engkau kunci pintu.. aku tak bawa kuncilah. Handphone pun aku lupa bawa.”
“La... Has rupanya. Maaflah. Sya ingatkan Has bawa kunci. Kenapa tak tidur di bilik study dulu?” Syahidah bertanya untuk hilangkan rasa bersalah.
“Bilik study kunci. Aku study kat musolla tadi. Tapi nak tidur sana takutlah sorang-sorang.” Hasni menjawab sambil matanya tertutup berjalan masuk ke dalam bilik. Syahidah hanya tersenyum dan menggeleng sahaja melihat gelagat Hasni. Dia meneruskan langkah menuju bilik air lalu mengambil wudu’.
Selesai mengerjakan solat sunat tahajjud dia memanjatkan doa untuk ibu ayahnya dan untuk arwah ayahnya yang telah lama meninggal. Sudah hampir 13 tahun ayahnya meninggalkannya sekeluarga. Dia tiba-tiba rindukan arwah ayahnya. Airmatanya mula mengalir. Dia cepat-cepat mengesat airmatanya sebaik sahaja terdengar handphonenya bergetar lagi. Syahidah membaca mesej tersebut.

“Salam perkenalan. Sesungguhnya solat malam itu lebih baik dari dunia dan isi seluruhnya.”

Sender
0135678910

‘Siapa pula ni. Alhamdulillah jika niatnya baik mengingatkan diri aku yang sering lupa. Semoga niatnya ikhlas.’ Syahidah tidak mengenali nombor tersebut dan tidak membalasnya. Dia meletakkan semula telefon bimbit di atas tilam. Telekung dibukan dan disangkut di birai almari biliknya. Melihat buku-buku di atas meja, dia teringat tentang testnya esok hari.

Jam masih menunjukkan jam 4.15pagi.          
‘Sempat lagi nak baca ni.’ Getus hatinya.
Syahidah meneruskan bacaan dan menghafal term-term yang terdapat dalam subjek tersebut. Dia suka belajar Mass Communication walaupun cuma mengambil introduction sahaja. Padanya ia ada persamaan dengan matapelajaran di dalam subjek pengkhususan yang wajib diambilnya iaitu subjek ‘al-Khitab al-Qurani”.
Sebagaimana  manusia berkomunikasi sesama manusia, tujuan utamanya adalah untuk menyampaikan maklumat. Komunikasi yang berjaya adalah komunikasi yang difahami maklumatnya dan ada tindak balas.
Al-Quran juga begitu. Dr. Suhana pernah memberitahu bahawa Allah s.w.t berkomunikasi dengan kita melalui al-Quran. Sekiranya kita mahu berkata-kata dengan Allah, kita hendaklah membaca al-Quran. Apabila kita membaca al-Quran, kita perlu menghayati dan memahami makna yang Allah s.w.t sampaikan. Selepas kita fahami kita hendaklah mempraktikkan apa yang kita perolehi tersebut. Itu adalah komunikasi al-Quran yang berjaya. Sesiapa yang membaca al-Quran tanpa memahami dan tidak melaksanakan apa yang dia fahami, itu bermakna komunikasinya dengan al-Quran tidak berjaya.
Syahidah mendapati terdapat persamaan antara ilmu-ilmu agama dan akademik. Dia suka mengaitkan antara dua perkara kerana padanya agama tidak boleh dipisahkan daripada perkara dunia. Keduanya perlu diseiringkan dengan mendahulukan agama jika perkara duniawi bertentangan dengannya.
Sayyid Qutb mengatakan: “Aku hidup di dalam 2 alam: alam dunia dan alam akhirat”. Apa yang dirasakan sayyid Qutb terlalu sukar untuk kita fahami. Bagaimana dalam satu masa kita boleh hidup di dalam dua alam. Jika masih hidup tentu sahaja di alam dunia, melainkan jika sudah meninggal kita akan berada di alam akhirat.
Sebenarnya apa yang disebutkan oleh Syed Qutb adalah setiap perlakuan kita mestilah dikaitkan dengan kehidupan akhirat, seolah-olah kita merasakan bahawa: ‘alam akhirat di sebelahku.’
Jika setiap perkara yang kita lakukan di dunia ini dapat kita rasakan bahawa akhirat hampir bersebelahan dengan kita, dan setiap masa kita dihisab, kita akan selalu berhati-hati dalam setiap perbuatan yang hendak kita laksanakan.
Kata-kata Dr Suhana masih terngiang-ngiang di dalam fikirannya.
‘Bolehkah aku merasakan perasaan sebegitu seperti orang-orang soleh dahulu.. ya Allah dakwahku bagaimana...’
Syahidah seakan diterpa rasa bersalah lantaran kurangnya sumbangannya untuk agama ini. Dia lalu menghadiahkan sebuah kata-kata buat dirinya.

Aduhai diri
Andai kau kuntuman mawar
Akanku hias kau di taman
Akanku siram kau dengan wangian tarbiyah
Agar sentiasa berseri
Juga kuat akarmu mencengkam dakwah
Untuk terus subur menyebarkan wangian Islam

Aduhai diri
Kau harus sedar
Bukan amalmu menjadi penyebab
Untuk engkau menghuni syurga
Tetapi hanya kerana rahmat Tuhanmu
Namun begitu
Janganlah kau mengabaikan kebajikanmu di dunia
Kerna amalan itu memungkinkan kau mengharap rahmatNya
Untuk menghuni syurga yang kau rindui

Aduhai diri
Tetaplah hatimu pada cintaNya
Suburkan imanmu dengan tarbiyyah pencipta
Pasakkan jiwamu pada ilmu
Semoga ia menjaga dirimu tika kau tersesat
Wahai diri
Sayangi dirimu selalu...

*                      *                      *

“ Izzul, anta nak ikut sekali tak solat maghrib di masjid? Lagipun boleh dengar kuliah ustaz Zahidi sekali, belajar tentang kitab Subulussalam. Ustaz beri kuliah dalam bahasa Melayu, senang sedikit nak faham.” Pelawa Akmal.
Izzul yang sejak pulang dari kelas petang tadi tertidur di petak biliknya. Matanya terkebil-kebil apabila dikejutkan oleh Akmal untuk solat maghrib di masjid.
“Anta pergilah dahulu. Ana rasa penatlah. Tadi ada workshop sampai tengah hari. Lepas itu kelas sampai pukul5. Ana solat di bilik sahajalah.” Izzul memberi alasan.

“ Tak mengapalah, ana pergi dahulu ye. Di bilik jangan tidur pula, masuk waktu maghrib nanti solat berjemaah dengan Faiz”. Izzul sekadar mengangguk dan menekup mukanya dengan bantal kembali.

Izzul dan Akmal sudah lama berkawan baik. Kedua-duanya mengambil jurusan kejuruteraan. Setiap hari Isnin mereka berdua mesti menghabiskan kerja di bengkel dan menghantar report pada hari Jumaat untuk setiap minggu. Bukannya Izzul seorang mempunyai jadual yang penuh, Akmal juga begitu. Namun Akmal suka menghadiri kuliyyah ustaz Zahidi. Padanya kebanyakan kuliyyah selepas solat di masjid UIA disampaikan di dalam bahasa arab dan inggeris. Bukannya dia tidak pernah belajar bahasa arab kerana dia juga mempunyai asas bahasa arab di sekolah Thanawi dahulu, tetapi penguasaannya dalam bahasa arab amat kurang. Kerana itu dia cuba mengambil kelas tambahan bahasa arab untuk menguatkan kemahirannya.
“ Izzul..Izzul.. Anta dah solat ke ni?”
Akmal mengejutkan Izzul. Izzul pula menggerak-gerakkan badan sambil memisat-misatkan matanya.
“Sudah.... tadi lepas solat maghrib ana tidur balik”
Lega Akmal mendengarnya. Dia risaukan sahabatnya yang seorang itu kalau-kalaulah terlajak solat maghrib.
“Isya’?” Tanya Akmal ringkas sambil membuka kopiah.
“Belum. Ana nak mandi dulu baru solat. Anta dah makan?”  Izzul bertanya sambil bangun mengambil tuala yang bersangkut dengan hanger. Dia seorang yang teratur dan kemas. Walaupun dia seorang lelaki, dia amat tidak suka keadaan biliknya yang bersepah. Izzul sudah dididik sejak di sekolah menengah lagi untuk menguruskan bilik tidur dan kebersihan diri.
“Belum lagi. Jom kita pergi sama lepas anta solat Isya,” cadang Akmal.
“Okay.”
Dia menyarung selipar dan berlalu keluar menuju ke bilik mandi.
Cafe Mahallah Zubair masih dipenuhi warga Mahallah. Jam sudah menunjukkan jam 9.45malam. Akmal dan Izzul hanya membeli nasi ayam kerana mudah. Hanya menunggu sekejap hidangan sudah tersedia. Mereka kemudian memilih tempat bersebelahan pintu masuk cafe. Ramai yang matanya tertumpu pada rancangan televisyen malam itu. Akmal dan Izzul perasan yang iklan-iklan mempromosikan barang-barang banyak yang mengekspoitasikan kecantikan wanita.
“ Duduk di sini selalu jadi susah nak jaga hafalan kan. Ana rasa kalau tadi ana hafal surah an-Naba’, balik dari cafe ni mesti hilang semula,” Izzul mula berbicara setelah lama menikmati nasi ayam.
“ Eh, kenapa pula?” Akmal memandang televisyen di hadapan mereka yang menyiarkan iklan sabun bermodelkan wanita. Kemudian dia menyambung tanda faham apa yang Izzul maksudkan.
“Oh, itulah cabarannya sekarang ini Izzul. Hanya benteng iman menjadi kekuatan diri kita,” Akmal menyambung.
Mereka cepat-cepat menghabiskan makanan.Sambil berjalan menuju ke bilik, Akmal menyambung perbualan yang terhenti di Cafe tadi.
“Apabila terlalu banyak maksiat yang mudah kita terjebak ke dalamnya, yang perlu mengawalnya adalah kita. Kita yang perlu mengawal pandangan kita dan hati kita dari dibuai dosa yang merosakkan kita. Betul tak ustaz Izzul?”
Izzul mengangguk dan ketawa sedikit kerana gelihati dengan panggilan ustaz buatnya. Tetapi dia mengakui kebenaran terhadap apa yang Akmal katakan. Dia bersyukur punya sahabat seperti Akmal. Memang tidak dinafikan dalam suasana tempat mereka belajar terlalu mudah terjebak dalam dosa dan maksiat mata. Apa yang boleh dilakukan hanyalah menjaga pandangan mata dari terjebak ke dalam panahan syaitan.

Sunday, December 23, 2012

Melakar Pelangi: Bahagian 5 (Pemergian yang berganti)



Kejamkah takdir
Andai dia yang kusayang Kau ambil
Aku redha atas ketentuan-Mu ya Ilahi…

Nafas Adli turun naik, dadanya berombak kencang. Fatimah yang sejak seminggu menunggu setia di sisi Adli terjaga dari tidur. Dia cemas melihatkan keadaan suaminya.
“Nurse..Nurse.. tolong panggilkan doktor. Suami saya..suami saya..”
Fatimah berlari keluar dan meminta jururawat di situ memanggilkan doktor dengan segera. Fatimah resah menunggu di luar wad. Hampir sejam dia menunggu sambil airmatanya mengalir tidak henti-henti.
“Kak Mah, macam mana keadaan abang Adli?” Alang yang baru tiba terus mengajukan soalan yang Fatimah sendiri tidak dapat menjawabnya. Belum sempat Fatimah membuka mulut, pintu wad dibuka. Kelihatan doktor berjalan menghampiri mereka berdua.
“Maafkan saya. puan, Allah lebih sayangkan dia. Kanser otak yang dialaminya sudah di tahap terakhir, kami tidak dapat berbuat apa-apa.”
Seolah-olah dunia gelap dirasakan. Suami yang selama ini merupakan tempat bergantung pergi meninggalkannya. Kanser otak yang cuba dirahsiakan suaminya akhirnya dapat diketahui juga, tetapi sudah terlambat. Fatimah hanya tahu setelah melihat jasad Adli tidak bernyawa. Pandangan Fatimah kelam. Dia  rebah di situ juga.

*                      *                      *

Andai benar kematian akan menjemput
Tiada siapa bisa menghalangi
Kerna semua itu ketentuan
Buat kita yang bernama hamba...

‘Mah janji akan jaga anak-anak kita dengan baik. Mah akan didik mereka supaya mereka menjadi anak yang soleh dan solehah serta selalu doakan abang.’
Fatimah membisik janji itu di dalam hati sambil mengusap kepala anak-anaknya dan mencium ubun-ubun Shahid dan Syahidah yang masih kecil.
“Kenapa ayah meninggal mak? Ayah merajuk dengan kita ke?” Soal Syahidah. Dia memahami erti kematian, namun masih belum memahami kenapa manusia perlu mati. Fatimah melipat tikar mengkuang dan membawa anak-anaknya berjalan pulang. Sambil berjalan dia menjawab soalan Syahidah.
“Bukan sebab ayah merajuk, tetapi sebab Allah sayangkan ayah. Allah jemput ayah dahulu sebelum kita semua. Sya dan Shah kena selalu ingat bahawa semua manusia akan mati. Tiada yang kekalpun di dunia ini.”
“Kenapa Allah ambil ayah dahulu.” Sambung Shahid bertanya.
“Sebab setiap manusia sudah ditentukan berapa lama dia akan hidup di dunia. Ayah sudah ditentukan hidup sampai waktu ini, maka Allah ambil nyawa ayah dulu. Jadi kita yang masih hidup kena selalu doakan ayah. Shah dan Sya sayangkan ayah kan?” Fatimah menyoal seakan memujuk dan mereka berdua mengangguk serentak.
“Sya sayangkan ayah.. sayangkan mak.. sayangkan abang Shah juga.” Sambung Sya.

*                      *                      *

Sudah hampir dua tahun Adli meninggal dunia. Shah sudah naik tingkatan dua. Kini dia bersekolah di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak. Keputusan 5A yang dia capai melayakkan dia untuk ditawarkan ke sekolah berasrama penuh itu. Dia jarang dapat pulang ke rumah. Mungkin sebulan sekali sahaja dia akan pulang mengubat kerinduannya pada ibu dan adik perempuannya.
Syahidah pula sudah darjah lima. Dia sudah mula memakai tudung jika hendak ke mana-mana. Dia suka meniru-niru ibunya memakai tudung dan menggaya-gayakannya di hadapan cermin. Anak kecil itu selalu mengatakan:
“Bertudung itu cantikkan mak?”
Fatimah selalu tersenyum setiap kali mendengarkannya.
“Yang paling penting jika bertudung Allah sayang, Sya nak Allah sayang tak?”
            Syahidah mengangguk. Dia mencium tangan ibunya lantas berlari-lari anak sambil membawa beg galas dan mengambil basikalnya.
“Mak, Sya pergi sekolah dulu ye. Assalamualaikum.” Syahidah mengayuh basikal menuju ke sekolahnya untuk latihan bola jaring. Fatimah menghantar anaknya dengan pandangan sambil  menjawab salam Syahidah.
            “Kak, Alang nak tanya akak” Adik lelakinya yang memang berada di beranda rumah cuba membuka bicara. Fatimah mendengar sahaja sambil tangannya mengupas buah mempelam muda.
“Kak Mah pernah terfikir nak kahwin lagi?” Tangan Fatimah berhenti dari terus mengupas mempelam itu lantas memandang wajah Alang kehairanan.
“Bukan maksud Alang nak suruh akak cari pengganti Abang Adli, tetapi untuk jaga kak Mah dan anak-anak akak. Sampai bila akak nak jaga mereka seorang diri. Alang tak lama lagi dah nak berumahtangga. Alang takut tak dapat nak jenguk kakak anak beranak selalu.”
Fatimah termenung jauh. Ada kebenaran kata-kata Alang. Tetapi hatinya masih tidak boleh mencari pengganti suaminya yang telah meninggal dunia dua tahun lalu. Dia juga merisaukan penerimaan kedua-dua anaknya nanti.
“Entahlah Alang. Akak masih belum bersedia.” Fatimah memberi alasan.
“Kak Mah, sebenarnya ada yang merisik akak.” Alang membuka cerita. Fatimah hanya menanti perkataan seterusnya sambil mengupas mempelam seakan tidak berminat dengan risikan tersebut.
“Kak Mah kenal lagi dengan Wan Abdul Samad? Orang yang Abang Adli tolong bawa dia ke hospital? Abang Wan tu yang kita uruskan jenazah isteri dan anaknya yang meninggal dalam kandungannya 2tahun lepas.”
Fatimah masih ingat lagi lelaki tersebut. Semasa dia menunggu Adli di hospital, Wan Abdul Samad selalu datang melawat dan membawa buah tangan untuk suaminya.
“ Ingat lagi.” Fatimah memberi respon.
“Abang Wan tu merisik akak. Kalau akak setuju dia nak melamar akak.” Fatimah seakan terkejut. Umurnya yang sudah hampir menginjak 39tahun itu tidak dapat  membayangkan bahawa dirinya masih mendapat tempat di hati seorang lelaki.
“Kak Mah istkharahlah dahulu. Abang Wan beritahu dia tidak memaksa akak, tetapi jika akak bersetuju beritahulah pada Alang ye nanti.”

*                      *                      *

Malam itu Fatimah melelapkan mata, dan di dalam tidurnya seolah-olah bermimpi melihat seorang pemuda memegang tangan anak-anaknya. Fatimah melihat dari kejauhan sambil tersenyum. Dia tidak tahu siapa susuk lelaki itu tetapi anak-anaknya begitu rapat sekali dengannya.
Tiba-tiba Fatimah terjaga. Dia  melihat jam di dinding menunjukkan jam 4.50 pagi, lantas bingkas bangun dan terus menuju ke bilik air untuk membersihkan diri. Fatimah melaksanakan solat sunat tahajjud dan melakukan solat sunah istikharah[1] lagi. Dia mahu memohon petunjuk atas risikan Wan Abdul Samad. Mudah-mudahan Allah memberikan hidayah kepadanya. Setelah melaksanakan solat sunat dua rakaat, di akhir sujud dia berdoa dengan doa yang dia belajar di kelas pengajian yang dia hadiri setiap minggu di surau kampungnya:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلَا أَقْدِرُ وَتَعْلَمُ وَلَا أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَمَعَادِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي وَبَارِكْ لِي فِيهِ اللَّهُمَّ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُهُ شَرًّا لِي فَاصْرِفْنِي عَنْهُ وَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاقْدِرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ رَضِّنِي بِهِ

            Maksudnya: Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya aku memohon petunjukMu dengan ilmu-Mu, pertolonganMu dengan KudratMu, dan aku memohon dari-Mu kebaikan yang besar, sesungguhnya Engkau Maha Mentakdirkan sedangkan aku tidak mampu, sesungguhnya Engkau mengetahui sedang aku tidak mengetahui dan Engkau Maha Mengathui segala yang ghaib. Ya Allah, sekiranya pada pandanganMu  perkara ini (disebutkan perkara) baik untukku, di dalam agamaku, kehidupanku dan tempat kembaliku juga pengakhiranku maka takdirkanlah ia untukku dan permudahkanlah ia untukku serta berkatilah hidupku dengannya. Ya Allah sekiranya pada pandanganMu perkara ini buruk untukku maka jauhkanlah aku darinya dan jauhkanlah ianya dariku, dan takdirkanlah untukku kebaikan pada setiap tempat dan setiap masa kemudian jadikanlah aku redho padanya.

Sebulan berlalu.
 “Alang, insyaAllah akak terima lamaran itu.” Fatimah memberikan jawapan setelah hampir sebulan dia memohon petunjuk dari Allah. Akhirnya dia membuat keputusan menerima lamaran Wan Abdul Samad.
“Alhamdulillah. Terbuka juga hati Kak Mah. Nanti Alang sampaikan pada Abang Wan insyaAllah.“
Alang menghabiskan minuman yang kakaknya sediakan lantas menghidupkan enjin motor untuk menyampaikan berita tersebut kepada Wan Abdul Samad. Dia sangat senang hati jika lelaki itu yang menjadi suami kepada kakaknya. Wan seorang yang amat bersopan dalam berkata. Dia tidak pernah melihat Wan berkasar. Walaupun begitu, dia juga seorang yang tegas. Tugasnya sebagai seorang guru sekolah rendah menjadikan dia ditakuti pelajar-pelajar namun dia tetap disenangi oleh anak didiknya.  
Aku terima nikahnya Siti Fatimah binti Haji Sa’ad dengan maskahwinnya senaskah al-Quran tunai.” Akad nikah disaksikan Alang dan Pak Zaid iaitu abang sulung Fatimah sendiri. Dengan sekali lafaz maka Fatimah dan Wan Abdul Samad sudah sah menjadi suami isteri. Majlis tersebut hanya dihadiri keluarga dan saudara terdekat kedua belah pihak.
“Barakallahu laka, wa baraka ‘alaika wa jama’a bainakuma fil khair wal hamdulillahi rabbil a’lamin”.
Semua mengaminkan doa yang dibaca tok kadi. Fatimah nampak masih anggun apabila mengenakan pakaian kurung satin serba putih beserta dengan selendang. Masih tampak ayu walaupun bertudung dan menutup aurat. Dia menangis tatkala dirinya sudah sah menjadi isteri kepada lelaki yang belum begitu dia kenali.

Mereka masuk ke dalam bilik dan melaksanakan solat sunat nikah. Seusai solat Wan menyarungkan cincin ke jari manis Fatimah lalu mengucup dahi isteri yang baru sahaja dinikahinya. Fatimah mencium tangan suaminya dengan perasaan gembira dan terharu.
Sudah hampir 3minggu dia bergelar isteri. Shahid menyambut kehadiran ayah tirinya dengan penuh gembira. Dia dididik di sekolahnya tentang erti kasih-sayang dan menghormati orang yang lebih tua. Dia senang menerima kehadiran Pak Wan kerana sekurang-kurangnya dia tidak perlu risaukan keadaan ibunya dan adik perempuannya sepanjang ketiadaanya di rumah.
Syahidah masih berkurung di bilik. Dia memprotes pernikahan ibunya.
“Mak dah tak sayangkan arwah ayah ye?” Fatimah membelai lembut rambut Syahidah. Dia faham jiwa anak perempuannya itu. Syahidah sangat rapat dengan arwah suaminya, Adli. Mungkin dia tidak dapat menerima ada orang lain yang menggantikan tempat ayahnya di rumah tersebut.
“Bukan begitu sayang,” Fatimah cuba memujuk.
“Kalau mak masih sayangkan arwah ayah kenapa mak kahwin dengan Pak Wan. Ayah tirikan jahat.”  Syahidah masih keanak-anakan. Dia masih belum memahami apa itu tanggungjawab yang sebenarnya. Dia selalu terpengaruh dengan cakap-cakap kawannya di sekolah. Kawan-kawannya selalu bilang ayah  tiri itu jahat. Selalu marah-marah dan pukul anak tiri. Dia takut Pak Wan akan begitu.
“Syahidah sayang... Mana anak mak yang penuh dengan kasih sayang dan tawa ceria dulu. Ingat tak apa yang Rasulullah s.a.w pesan. Rasulullah s.a.w berpesan: “Sesiapa yang tidak mengasihi maka dia tidak akan dikasihi.”
Sya seorang yang penyayang. Pak Wan bukan pengganti ayah kerana tiada siapa boleh menggantikan ayah. Pak Wan dan ayah berbeza sifat, kebaikan mereka juga berbeza. Ayah sudah pergi untuk selama-lamanya. Bukankah Ayah selalu berpesan kita kena selalu bersangka baik dengan orang. Tidak semua ayah tiri jahat. Pak Wan seorang yang baik dan berlemah lembut orangnya. Mak doakan Allah lembutkan hati Sya menerima kehadiran Pak Wan sebagai ahli keluarga baru dalam keluarga kita.”

Fatimah mencium dahi anak perempuannya lantas berlalu keluar. Syahidah masih termanggu-manggu di situ. Dia masih tidak dapat menerima kehadiran Pak Wan dalam keluarganya. Dia melayan perasaan sendiri hingga terlelap di atas katilnya.



















[1] Diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah dia berkata: Dahulu Rasulullah s.a.w mengajarkan kami istikhoroh sepertimana Baginda mengajarkan kami surah daripada al-Quran, baginda bersabda: sekiranya kamu berniat melakukan sesuatu maka laksanakanlah solat sunat dua rakaat dan membaca doa (seperti yang disebutkan di atas). Hadith Riwayat al-Bukhari 4/347.

Friday, November 9, 2012

Melakar Pelangi: Bahagian 4 (Kerinduan di Taman Ilmu)


Warga kampus mula keluar menuju ke kelas. Hari ini minggu pertama kelas untuk semester baru bermula. Kebiasaannya hari pertama pengajian kebanyakan kelas masih belum bermula kerana sebahagian pelajar masih berhadapan dengan masalah pendaftaran matapelajaran. Syahidah berjalan tenang menuju ke bangunan Admin kerana kelasnya pada pagi ini adalah seawal jam lapan pagi.
“ Assalamualaikum.” Tiba-tiba suara seseorang menyapa.
Syahidah menoleh ke belakang lalu tersenyum melihatkan rakan sekuliah yang amat dia kenali.
“Wa’alaikumussalam. Seri apa khabar? Lamanya tidak ketemu.” Syahidah menjawab salam dan menyapa dengan dialek indonesia.
“Seri baik-baik sahaja kak. Kakak punya kelas di bangunan Admin juga? Kelas apa pagi ini. Kelas Seri juga di bangunan Admin.”
“ Oh, akak ada kelas dengan Dr Faizi. Madah[1] Tadwin as-sunnah.”
 Jawab Syahidah.
“Memangnya setiap kali semester madah Tadwin as-sunnah semestinya jam lapan pagi ye kakak? Seri sudah ambil semester lepas. Dr Faizi-nya bagus mengajar, tetapi markahnya agak strict.”
Syahidah sudah menduga kerana kebanyakan senior pun mengatakan perkara yang sama. Namun dia tidak mengambil peduli sangat akan itu semua. Yang penting dia dapat belajar sesuatu yang baru. Bukan kerana terpaksa, tetapi dia juga diasak pertanyaan dalam dirinya sendiri tentang ilmu-ilmu hadith. Dia mengambil pengkhususan dalam bidang Hadith kerana minatnya yang begitu mendalam.
“Tak mengapalah Seri. Jika markah kita kurang bagus, sekurang-kurangnya kita dapat ilmu juga kan? Bukankah menuntut ilmu itu ganjarannya tinggi, kita kena bersyukur kerana Allah takdirkan kita kenal dengan Dr Faizi, kita dapat belajar sesuatu yang sebelum ini kita tidak tahu.”
Syahidah cuba positif, sedikit sebanyak kata-katanya yang dituturkan memberi sedikit ketenangan ke dalam hatinya walaupun sememangnya dia juga agak gerun dengan cerita-cerita seniornya sebelum ini.
“Ya kakak, semoga kakak dapat markah yang bagus sangat. Seri sangat kagum dengan kakak. Sepatutnya Seri kena belajar dengan kakak banyak lagi.”
“MasyaAllah, Seri...seri.. Akak ini mana ada bagus apa-apa. Pencipta kakak yang mesti dikagumi, bukan kakak. Dia Yang Maha Memberi segala-galanya. Terima kasih doakan akak. Semoga Allah memberi kelapangan kepada Seri dalam segala lapangan ilmu.”
“ Amin ya Rabb. Ok kakak. Seri mahu ke kelas dulu ya. InsyaAllah jumpa lagi nanti.”
Seri merupakan pelajar dari Acheh, Indonesia.  Orangnya peramah dan baik sekali. Seorang lagi rakan Indonesia yang Syahidah kenali adalah Farihah. Farihah suka meniru-niru dialek orang malaysia sehingga kadang-kadang bunyinya menjadi kelakar. Itulah uniknya UIA yang terdiri dari pelajar-pelajar dari pelbagai negara.
Syahidah dan Seri berpisah di persimpangan menuju tangga untuk naik ke tingkat tiga bangunan ADMIN. Dia melihat jam pemberian Abang Shah tepat menunjukkan jam 7.55 pagi.
Sampai di tingkat tiga, Syahidah meneliti nombor di hadapan kelas tersebut. ‘ADM LR6’
“Betullah ni.”
Dia masuk dan memberikan salam kepada pelajar-pelajar yang sudah hadir terlebih awal ke kelas tersebut. Dia memerhati, hanya lima orang pelajar sahaja di kalangan perempuan. Yang lain lelaki. Itupun dua orang sahaja  mencukupkan bilangan lapan orang pelajar yang mendaftar ke kelas itu termasuk dirinya sendiri.
“Sya baru ambil madah ni ke?.”
 Soal Husna sebaik sahaja Syahidah memilih untuk duduk di sebelahnya di barisan kedua. Disebelah kiri Husna ialah Fatin dan Najihah. Mereka berdua hanya melemparkan senyuman sahaja buat Syahidah.

“Ye. Sya baru ambil. Semester lepas jadual bertembung dengan madah lain.”
 Dia sudah mengenali kebanyakan penghuni kelas tersebut melainkan dua orang pelajar lelaki dan 3orang pelajar perempuan lain.
‘Senior agaknya.’
Getus hatinya.
Baru sahaja Syahidah mahu membuka sesi perkenalan dengan tiga orang pelajar perempuan yang dia kurang kenali, Dr faizi masuk memberi salam.
‘Oh. Ini ke dr faizi’
 Bisik hatinya.
‘Aku ingatkan orang melayu. Rupanya orang arab. Bersihnya wajah ustaz ni.’
Na’am, anti. Masmuki?[2]
 Soal ustaz kepada Syahidah selepas sessi ta’aruf beberapa rakannya selesai. Kini gilirannya memperkenalkan diri. Dia sedikit terkejut.
Erk.. Ismi Nur Syahidah binti Hassan Adli. Min sanah thalitah.[3]
Aiwah[4],” Dr Faizi memberi respon.
Kelas pagi itu dipenuhkan dengan sesi ta’aruf dan sedikit pengenalan tentang mata pelajaran yang akan diajar. Tepat jam 8.50 pagi, Dr Faizi menghabiskan kelasnya dengan ucapan salam dan berlalu keluar.
“Sya ada kelas lagi lepas ni? Kalau tiada, Husna nak ajak breakfast sama-sama. Laparlah pula.”
Sambil memasukkan buku ke dalam beg, Husna mengajak Syahidah untuk bersarapan bersama-sama memandangkan dia tidak sempat menjamah sarapan pagi langsung kerana terpaksa bergegas awal ke kelas. Dr. Faizi berasal dari Syria, sudah beristeri dan mempunyai dua orang anak lelaki yang ketika ini juga mengambil ijazah sarjana muda di UIA. Beliau seorang yang sangat menepati masa. Boleh dikatakan setiap semester, subjek Tadwin as-Sunnah pasti akan bermula jam 8pagi, dan beliau akan masuk kelas tepat jam 8pagi juga.
“Boleh juga. Kita sarapan di Cafe HS ye,” Syahidah memberi respon kepada Husna.
“Orait”
Mereka berdua berlalu keluar meninggalkan kelas sementara pelajar lain mula memasuki kelas tersebut untuk mengikuti kuliah seterusnya.

                                                *          *          *
Sandwich je dik?”
“Ye makcik. Alas perut je dulu”
Sya menjawab soalan tersebut dengan senyuman sambil menghulurkan wang RM1.50.
“Eh, takkan makan tu je kot. Malunye Na makan berat-berat pagi ini.” Tegur Husna sebaik sahaja Syahidah duduk di hadapannya. Mereka memilih duduk di bahagian tepi sekali memandangkan tempat itu memang sudah disediakan dengan tulisan “SISTERS AREA”. Tetapi ramai yang seolah-olah tidak nampak arahan tersebut dan duduk bebas sesuka hati. Kadang-kadng bercampur satu meja antara lelaki dan perempuan.
“Alah.. tak mengapalah. Lagipun Sya sudah minum pagi tadi. Nak alas perut dengan makanan pula.”
Sya yang kaya dengan senyuman membuka kotak bungkusan plastik sandwich dan membaca bismillah.
“Jomlah makan laksa ni dengan Na sekali.” Pelawa Husna.
“Tak mengapalah. Eh, Na makan laksa pagi-pagi ini tak sakit perutkah nanti?” Syahidah mengingatkan, maklum sahaja laksa di situ agak pedas sedikit, biasanya kalau perut yang tidak tahan akan rasa sakit beberapa waktu selepas makan.
“Sya jangan risau. Na ok je. Lagipun Na tak tahanlah dengan laksa ni. Macam Sya tak tahu je Laksa ni favourite Na. Hehe...”
Syahidah mengangguk dan terus menjamah roti sandwichnya dengan perlahan. Sambil dia memandang sekeliling, tiba-tiba matanya menangkap seseorang yang begitu dia kenali. Hatinya seakan berdebar entah mengapa.
‘Ya Allah, janganlah izinkan dia nampak aku di sini’
Syahidah cuba mengalihkan pandangannya ke tempat lain. Namun dia merasakan orang tersebut mula memerhatikannya. Syahidah buat-buat tidak perasan akan kewujudannya.

“Burgh... alhamdulillah. Opss.. sorry Sya, tak dapat nak controllah. Hehe. Kelas Sya pukul berapa pula selepas ini?” Husna bertanya sambil meniup air teh O panas di dalam cawan.
“Eh Na, jangan tiup air panaslah. Bukankah ada maklumat mengatakan air panas yang ditiup akan bertukar menjadi racun disebabkan kandungan molekulnya yang berubah. Tapi Sya tak ingatlah macam mana ia boleh bertukar menjadi racun.”
“Oh, yelah. Na terlupa. Nasib baik Sya ingatkan.”
“Bukan sebab ‘nasib baik’, tetapi sebab Allah takdirkan Sya ada untuk ingatkan Na”.
Syahidah selalu mengingatkan Husna tentang perkataan ‘nasib baik’. Dia ingat lagi kata-kata Dr. Suhana mengenai perkara tersebut. Menurut Ustazah, tiada istilah nasib baik dalam hidup kita, semuanya sudah ditentukan Allah. Nasib baik seolah-olah ada juga nasib buruk sedangkan Allah sentiasa mentakdirkan sesuatu yang baik buat hambanya. Walaupun kadang-kadang seseorang ditimpa musibah, itu tidak bermakna nasib seseorang buruk, tetapi Allah mahu memberikan ganjaran yang hebat buat hambanya. Nabi s.a.w bersabda:
لَا يَقْضِي اللَّهُ لَهُ شَيْئًا إِلَّا كَانَ خَيْرًا لَهُ
Maksudnya: Allah tidak menetapkan qada’ bagi seorang hambaNya kecuali qadha’ itu baik baginya. [5]


“Ok..ok. nasib baik..eh, alhamdulillah, syukur Allah takdirkan Sya ada untuk mengingatkan Na pagi ni.”
Mereka berdua ketawa. Syahidah bukanlah tidak tahu bahawa Husna tidak memaksudkan begitu, dia tahu Husna juga belajar perkara yang sama dari Dr. Suhana. Syahidah menolehkan pandangan ke tempat tadi, namun kelibat orang tersebut sudah tiada. Dia menghela nafas lega.
“Lepas ni Sya mahu ke masjid, nak i’adah[6] al-Quran sementara menunggu kelas jam 11pagi nanti”. Sya baru menjawab soalan Husna tadi tanpa diminta.
“Oh, kalau macam tu Sya pergilah masjid. Na nak jumpa Ustaz Aqil, nak tambah subjek manual.”
“Kalau begitu tidak mengapalah. Jumpa lagi nanti insyaAllah.”
Mereka berpisah di depan pintu masuk masjid bahagian wanita yang bertanda ‘sister entrance’.

*                      *                      *

Syahidah memasuki ruang lift untuk naik ke tingkat empat bangunan CELPAD. Dia mahu bertemu dengan Ustaz Faizul untuk meminta persetujuan meneruskan hafazan untuk semester baru ini.  Dia berjalan perlahan sambil matanya liar mencari nama ustaz Faizul di pintu setiap bilik.
‘FAIZUL BIN MUHAMMAD’
‘AZMAN NOOR BIN MOHD ALI’
Tertera dua nama pensyarah di depan pintu bernombor J54.
‘Hm...alhamdulillah jumpa juga.’
Dia mendengus kelegaan lalu mengetuk pintu bilik tersebut.
‘Tok..tok..tok..’ “Assalamualaikum.” Syahidah mengetuk pintu dan segera memberi salam.
“Wa’alaikumussalam. Tafaddo[7]l”. Kedengaran suara ustaz Faizul menjawab salam dari dalam pejabat. Pintu masih bertutup, Syahidah membuka pintu pejabat tersebut dengan cermat. Sambil membuka kasut untuk masuk, dia berkira-kira di dalam hati:
‘Jika ustaz seorang sahaja di bilik perlu ke aku masuk?’
Dia menjenguk ke dalam pejabat, ternyata benar ustaz seorang sahaja.
“Assalamualaikum ustaz. Boleh saya masuk?” Soal Syahidah seakan tergagap.
“Oh, Syahidah rupanya. Datang seorang sahaja ke?”  Soal ustaz Faizul sambil bangun dari tempat duduk dan mengambil penyendal pintu untuk menahan pintu dari tertutup.
Syahidah mengangguk sahaja.
“Hah.. Masuklah. Ustaz Azman ada kelas. Ana seorang sahaja ni.” Ustaz Faizul seakan terbaca apa yang bermain di fikiran Syahidah. Lagipun dia memang sudah biasa dengan Syahidah kerana masuk semester ini sudah kali ke 6 Syahidah mengulang bacaan al-Quran dengannya. Tujuan Ustaz Faizul menyendal pintu bilik agar pintu bilik tersebut terbuka dan tidak menimbulkan fitnah.
SubhanAllah. Indahnya akhlak orang yang berilmu. Berjaga-jaga sebelum terkena. Di mana-mana sentiasa sahaja ada fitnah. Syahidah bersyukur kerana dapat mengenali didikan sebegitu di Taman Ilmu dan Budi ini.
“Ustaz. Maaf tak beritahu sebelum nak datang. Saya nak minta izin untuk menambah hafazan al-Quran lagi semester ini. Jadi saya datang nak minta jadual ustaz yang kosong supaya saya boleh susun masa untuk tasmi’ bacaan al-Quran nanti.” Terang Syahidah.
“Anti boleh datang setiap kali lepas solat Jumaat. Dalam pukul 3petang insyaAllah ana ada di sini.”
“Oh, kalau begitu senang jugalah. Terima kasih ustaz”.

‘Tok..tok...tok’
Assalamualaikum.”
Tiba-tiba perbualan Syahidah diputuskan dengan bunyi ketukan pintu dari luar. Pintu terkuak perlahan dan muncul seorang lelaki.
Wa’alaikumussalam. Ha... Farid masuklah.”
Syahidah terkaku. Dia selalu benar terserempak dengan lelaki itu. Raut wajahnya seakan mirip Ustaz Faizul. Cumanya dia tidak berkaca-mata dan kulitnya agak cerah berbanding dengan ustaz Faizul.
‘Siapa pula ini?’ Getus hatinya.
“Ini adik ustaz, Farid Hafidzi. Dia pelajar kejuruteraan. Tetapi ambil minor dalam Ilmu Wahyu. Mungkin Sya tak kenal. Hm.. Farid, inilah Syahidah yang Along selalu cerita tu.” Ustaz Faizul seolah-olah menjawab soalan yang bermain-main dalam fikiran Syahidah.
‘Eh ustaz ni, tak perlulah macam ni. Malu aku. Mana aku nak sorok muka ni. Selalu cerita? Kenapa pula ustaz ni cerita tentang aku dekat adik dia. Ish..ish.. kalau Na temankan aku tadi kan bagus’
Muka Syahidah mula meruap merah menahan malu. Dia tidak pernah diperkenalkan dengan lelaki sebegitu rupa.
“Oh ye ke. patutlah muka ustaz dengan dia ada mirip-mirip.” Syahidah memberi respon. Farid juga seakan malu dengan apa yang sedang berlaku. Masing-masing mengalihkan pandangan ke tempat lain.
“Ustaz, kalau begitu, InsyaAllah minggu depan saya mulakan hafazan ye ustaz. Saya minta diri dahulu. Terima kasih ustaz.” Syahidah meminta izin untuk pulang. Sebenarnya dia mencari alasan untuk lekas keluar dari bilik itu memandangkan dia amat malu dengan lelaki yang tidak dia kenali tersebut.
“Boleh. Tapi nanti sms ana dahulu sebelum datang, Mana tahu ustaz tiada di bilik pula nanti?”
“InsyaAllah ustaz. Syukran. Assalamualaikum”.
Syahidah cepat-cepat berlalu pergi. Sambil berjalan pulang ke Mahallah, hatinya bermonolog
- Sya. Engkau nak segan-segan kenapa. Bukankah engkau itu gadis yang kuat. Tahan diuji. Tak main cinta-cinta murahan ini.
- ini bukan tentang cinta murahan. Tapi aku memang segan kalau dengan muslimin. Tapi dengan ustaz-ustaz elok sahaja.
- sudahlah. Jangan rasa lebih-lebih. Nanti engkau mula melayan kan susah jadinya.
- astaghfirullahal azhim..
Dia cepat-cepat beristighfar lantaran tersedar hatinya mula melebihkan dunia. Dia takut hatinya mati lantaran terlalu cintakan dunia. Lagi yang dia takut jika hatinya dilalaikan dengan angan-angan yang berlebih-lebihan.

Bekunya air mata kerana kerasnya hati
Kerasnya hati kerana banyaknya dosa
Banyak dosa kerana panjang angan-angan
Panjang angan-angan kerana cintakan dunia
Cintakan dunia kerana lupakan kematian

Syahidah selalu sematkan kata-kata Imam al-Ghazali itu di dadanya. Dia segera berjalan  pulang ke Mahallah seorang diri untuk menyelesaikan perkara yang belum selesai lagi di biliknya..
























[1] Matapelajaran
[2] Baiklah, siapa nama kamu?
[3] Nama saya Nur Syahidah binti Hassan Adli. Tahun ke tiga.
[4] Baiklah.
[5]  Hadith Riwayat Ahmad dalam Musnadnya 41/233, disahihkan oleh albani dalam kitab al-Silsilah al-sohihah 1/147.
[6] Mengulang bacaan hafazan al-Quran
[7] Silakan