Solat Isyak di Masjid at-Taqwa diimamkan oleh Farhan. Usai solat Isyak, dia memberikan tazkirah tentang kelebihan orang yang menuntut ilmu.
“Ibu
dan bapa yang saya kasihi. Orang yang menuntut ilmu ini Allah akan mudahkan
jalannya mencari Syurga. Sepertimana disebut di dalam sebuah hadith:
“Barangsiapa yang menempuh satu jalan menuntut ilmu, Allah akan memudahkan
jalannya menuju Syurga”.
“Ustaz,
adakah menuntut ilmu itu maksudnya kita belajar di masjid dan di surau sahaja?
Ataupun maksudnya kena belajar di universiti?” Seorang jemaah masjid bertanya.
Farhan
tersenyum.
“Ayah-ayah
dan ibu-ibu yang saya kasihi. Menuntut ilmu itu sifatnya luas. Di mana-mana sahaja
kita boleh menuntut ilmu. Di masjid boleh, di surau boleh, di kelas boleh.”
“You
tube ustaz?”
Seorang
anak kecil mengangkat tangan dan bertanya. Farhan terkejut apabila terdengar
suara kanak-kanak mengajukan soalan.
“Masya
Allah, ada ahli syurga rupanya di sini. Siapa nama adik?” Farhan bertanya.
“Haziq”
“Masya
Allah. Sedap namanya. Di You Tube pun boleh dik. Jika mampu ke masjid pergilah
ke masjid. Jika pergi ke masjid hanya sempat untuk solat dan tidak sempat untuk
mengikuti kelas pengajian, boleh menggunakan kemajuan teknologi seperti
sekarang ini. Di youtube, Facebook, live streaming dan sebagainya. Niatkan hati
ikhlas untuk cari ilmu Allah. Tetapi lebih afdhal apabila kita mencari seorang
guru yang kita sudah selidiki bahawa ilmu yang dia sampaikan itu dari sumber
yang benar. Mudah-mudahan Allah nilai setiap amalan kita.” Ustaz Farhan
menjelaskan kelebihan-kelebihan lain bagi orang yang menuntut ilmu seperti
dikurniakan mati syahid, dinaikkan satu darjat, boleh menghilangkan kejahilan
dan sebagainya.
Setengah
jam tazkirah seakan tidak cukup. Lunak suara Farhan menambat hati para jemaah.
Sejak pulang dari Jordan 3 bulan lalu, Farhan memilih untuk menetap di kampung
untuk menjaga ibubapanya. Dia memohon untuk mengajar di sekolah agama
persendirian sahaja memandangkan dia tidak mempunyai sijil perguruan ikhtisas
seperti guru JQAF atau KPLI. Kerana itu, dia memilih SMAT untuk mencurahkan
sedikit ilmu kepada anak bangsa sebelum dia berfikir untuk melanjutkan
pengajian di peringkat Sarjana.
Setiap
kali tiba waktu solat, dia akan ke Masjid at-Taqwa dan sekali-sekala akan diminta
oleh imam masjid tersebut untuk mengimamkan solat.
Sebagai
graduan dari timur tengah, Farhan menyahut seruan itu sebagai tanggungjawab
yang telah diamanahkan oleh Allah untuknya sebagai pelajar lepasan pengajian
Islam.
Usai
tazkirah, para jemaah bersurai untuk pulang ke rumah masing-masing. Kebetulan
hari itu adalah hari sabtu, Farhan memilih untuk duduk lama di masjid setelah
meminta izin daripada imam masjid tersebut.
“Ini
kunci masjid. Nanti Ustaz tolong kuncikan pintu utama ye? Maklum sahajalah.
Bukan tak beri izin sesiapa masuk ke masjid malam-malam begini, tetapi takut
ada yang mencemarkan masjid dan menyalahgunakannya pula. Lagi pula sekarang ini
banyak kejadian kecurian barangan masjid seperti karpet, pembesar suara dan
peti tabung masjid. Sedangkan itu semua prasarana yang wajib saya jaga sebagai
orang yang dipertanggungjawabkan di sini.” Jelas Pak Imam.
“Baiklah
Pak Imam. insyaAllah nanti saya akan kuncikan. Esok sebelum subuh saya akan datang
awal untuk buka semula pintu masjid.”
“Tak
mengapa, saya ada kunci pendua. Ustaz simpan dahulu kunci ini. Saya percayakan
ustaz insyaAllah.”
“Kalau
begitu terima kasih ye Pak Imam.”
“Sama-sama.
Saya balik dulu.”
“Baiklah.”
Farhan
bersalaman dengan Pak Imam kemudian duduk di ruangan masjid. Dia mengambil
mushaf di poket baju melayunya dan membuka helaian surah al-Baqarah untuk
mengulangi hafazan yang pernah dihafalnya. Sampai ke ayat 216, Surah al-Baqarah
dia berhenti. Farhan merenung ayat itu dalam-dalam.
“Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu padahal itu baik
bagi kamu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal itu tidak baik bagi
kamu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”
Ayat al-Qur’an itu seolah-seolah sedang
berbicara dengannya secara terus, lalu sesaat itu juga airmatanya tidak
semena-mena mengalir. Dia tenggelam dalam tangisan lantaran terimbau kisah
lampau hidupnya.
‘Ya Allah. sesungguhnya aku lemah dalam mendepani ujian
ini. Bantulah hamba-Mu ini untuk melupakan masa lalu yang bersarang di jiwa. Berikanlah
aku hati yang redha dan tetap bersangka baik dengan ketentuan yang telah Engkau
tetapkan buatku. Ya Allah kurniakanlah untukku hikmah dan ganti yang lebih baik
lagi dari apa yang telah luput dari hidupku’
Doa itu hanya tertutur di hatinya. Farhan tidak mampu melupakan
kenangan lalu yang benar-benar membuatnya jatuh lemah seakan-akan hilang
seketika sangka baiknya kepada Allah.
No comments:
Post a Comment