Fatin dan Tasnim berjalan menuju ke kelas selaju yang boleh. Di kejauhan,
mereka melihat ada dua orang pelajar lelaki sedang berdiri betul-betul di
hadapan kelas mereka.
“Eh, Fatin. Itu Sabiq dan Muhaimin kan? Kenapa mereka
berdiri di luar?” Tasnim bertanya. Dia hairan melihat dua orang pelajar masih
berdiri di luar kelas.
“Entahlah Tasnim. Jomlah cepat.”
Fatin tidak tahu apa yang sedang berlaku. Mereka berdua
berjalan dengan segera dan terus masuk ke kelas. Sebaik sahaja masuk ke muka
pintu, dilihatnya Ustaz Farhan sudah berada di meja guru dan tunduk memandang
kitab Fiqhul Manhaji. Mereka serba salah untuk terus berjalan ke tempat
duduk masing-masing. Jalan yang terbaik, mereka berhenti di hadapan pintu kelas
dan memberi salam kepada Ustaz Farhan.
“Assalamualaykum ustaz.”
“Waalaykumussalam.
Awak berdua dari mana?”
Ustaz Farhan menoleh ke arah mereka yang masih
teragak-agak di muka pintu seolah-olah. Semua pelajar memandang ke arah mereka
berdua.
“Maafkan kami ustaz. Kami dari kantin.” Ujar Tasnim.
Ustaz Farhan dengan wajah yang tiada senyum mengarahkan
mereka untuk berdiri di luar kelas sehingga habis waktu kelasnya.
“Awak berdua sila berdiri di luar, seperti rakan awak
yang lain. Sepanjang 45 minit ini, saya mahu awak berdua beristighfar. Biar
hilang dosa-dosa kecil yang berselaput dalam hati.”
Terasa kasar kalimah itu meluncur di pendengaran mereka
berdua. Dengan wajah yang merah padam, Fatin dan Tasnim menahan malu di hadapan
lima puluh orang pelajar STAM yang lain. Fatin berpatah balik keluar semula
dari kelas sambil diikuti Tasnim, lalu berdiri tidak jauh dari tempat dua orang
pelajar lelaki yang sedang berdiri diluar.
“Fatin,
saya minta maaf. Disebabkan saya, kita berdua kena denda.” Tasnim berbisik.
“Tak
mengapalah. Bukannya salah awak seorang. Kita anggap ini sebagai kifarah dosa
ye. Mungkin ada hikmahnya. Sekarang kita istighfar seperti yang Ustaz Farhan
arahkan ye”.
Tasnim
mengangguk faham.
45
minit berlalu. Ustaz Farhan memanggil mereka berempat masuk semula ke kelas dan
berdiri di hadapan pelajar-pelajar yang lain.
“Ini
sebagai pengajaran kepada awak berempat dan pelajar-pelajar yang lain juga.
Sebagai penuntut ilmu, kita harus menghormati waktu dan guru. Sepatutnya
seorang pelajar yang mahukan ilmu perlu datang sebelum gurunya datang. Bukannya
datang lewat dan membuatkan gurunya tertunggu-tunggu.
“Tahukah
kamu, ulama-ulama dahulu mempelajari adab selama dua puluh tahun, dan kemudiannya
baru mereka mempelajari ilmu. Sebab itulah ilmu mereka barakah.” Ujar Ustaz
Farhan. Mereka berempat hanya tunduk memandang lantai.
“Ustaz
bukan sengaja nak malukan kamu berempat, tetapi ini adalah sebagai peringatan
dan anggap sahaja ini sebahagian dari pelajaran. Jangan disebabkan peristiwa
harini, kamu anggap ustaz benci pada kamu semua. Anggaplah ini sebahagian dari
didikan.” Sambung Ustaz Farhan.
“Baiklah,
boleh duduk tempat masing-masing.”
Fatin,
Tasnim, Sabiq dan Muhaimin mengucapkan terima kasih dan berlalu untuk mengambil
tempat duduk masing-masing. Ustaz Farhan lalu meneruskan pelajarannya sehingga
jam 1145pagi.
“Syukran
Ya Ustaz”
Ketua
kelas mengucapkan terima kasih usai kelas Fiqh untuk hari itu. Ustaz Farhan
bangun dan tersenyum kepada semua pelajar lalu mengangkat buku-bukunya dan
berlalu keluar dari kelas.
Sebaik
sahaja Ustaz Farhan keluar, Tasnim mencuit tangan Fatin. “Huh. Lenguhnya
berdiri tadi. Nak menangis rasanya.” Tasnim mengeluh.
“Sudahlah
Tasnim, jangan mengeluh. Salah kita juga lambat masuk ke kelas. Nanti lepas
sekolah, kita jumpa Ustaz Farhan sekejap boleh?” Pinta Fatin.
“Eh,
nak buat apa? Malulah. Dahlah buat salah.” Tasnim mengelak untuk bertemu Ustaz
Farhan lagi selepas peristiwa tadi.
“Sebab
buat salahlah kita kena jumpa. Takkan awak nak rasa bersalah sampai bila-bila.
Lagipun kan ustaz ada cakap tadi, kita kena beradab supaya berkat ilmu kita.
Jadi kenalah minta maaf dengan ustaz sebab kita dah buat ustaz sakit hati.” Terang
Fatin.
“Baiknyalah
awak ini Fatin. Bertuahnya saya dapat kawan macam awak. Selalu ingatkan saya
untuk jadi baik.” Puji Tasnim.
“Awak
pun baik, sebab itu saya suka kawan dengan awak.”
Tasnim
hanya tersengih sahaja mendengar pujian Fatin.
* * *
Fatin dan Tasnim masih berdiri di bawah koridor bersebelahan
tempat letak kereta VIVA berwarna silver milik Ustaz Farhan. Sudah 5 minit
mereka tunggu di situ. Tetapi Ustaz Farhan masih belum muncul lagi.
“Fatin!
Pukul berapa Ustaz Farhan nak balik ni? Takkan nak tunggu sampai pukul dua. Nak
solat Zohor lagi, nak makan lagi. Pukul 2.30 petang nak masuk sesi akademik
pula.”
“Sabarlah
sekejap. Kan baru lima minit kita tunggu.”
Dikerling
jamnya baru menunjukkan jam 1240 tengah hari. Tasnim mendengus kerana penat
berdiri. Sudahlah kena denda di luar kelas, sekarang ini kena berdiri di situ pula.
“Hah..
itu pun Ustaz Farhan. Jom.” Fatin menarik tangan Tasnim sebaik sahaja ternampak
kelibat Ustaz Farhan berjalan ke arah tempat memakir kereta.
“Assalamualaikum
Ustaz”
Farhan
yang baru keluar dari bilik guru sedikit terkejut mendengar suara seseorang
memberi salam. Ditoleh ke arah koridor bersebelahan tempat letak keretanya, ada
dua orang pelajar perempuan bertudung ungu sedang berjalan ke arahnya.
“Waalaikumussalam.
Ye Fatin, Tasnim. Ada apa-apa ke?” Farhan mengenali pelajar itu kerana dia sudah
maklum bahawa Fatin merupakan pelajar terbaik SPM di SMAT tahun lalu. Tasnim
pula dikenali kerana dia merupakan salah seorang pelajar yang didenda pagi
tadi.
“Maafkan
kami sebab ganggu ustaz. Kami datang ini mahu meminta maaf jika kelewatan kami
datang ke kelas tadi buat kami nampak biadab dengan ustaz. Kami minta maaf
sangat-sangat. Kami janji, insyaAllah selepas ini kami akan datang ke kelas
pada waktunya”, Fatin meminta maaf atas kejadian tadi. Tasnim hanya berdiri
sambil tunduk, takut dimarahi lagi seperti tadi.
Farhan
terkejut dengan kesantunan mereka berdua. tidak pernah ada pelajar yang berbuat
salah dan bertemunya untuk meminta maaf sekali lagi.
“Tak
mengapalah. Ana tidak ambil hati. Cuma Ana harap Enti berdua ambil semua itu
sebagai pengajaran dan didikan dari Ana. Ana tak suka nak denda-denda anak
murid, tetapi kalau perkara ini sudah berulang banyak kali, Ana terpaksa
lakukan juga.” Farhan menjelaskan kepada mereka berdua.
“Ana
tahu Enti berdua pelajar yang baik, sebelum ini tak pernah lewat ke kelas.
Mungkin kerana hari ini Allah takdirkan Enti berdua yang kena denda, maka
ambillah semua ini sebagai didikan ya. Ana pun minta maaf jika memalukan Enti
berdua tadi.”
“Kami
yang seharusnya berterima kasih sebab sudi lagi nak maafkan kami dan mengajar
kami. Kami harap ustaz redhakan ilmu yang ustaz nak beri pada kami.” Pinta
Fatin.
“Ya,
Ana halalkan.”
“Terima
kasih ustaz. Kami minta diri dulu. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Fatin dan Tasnim berlalu pergi pulang ke asrama Darul
Imtiyaz. Manakala Farhan masuk ke perut kereta untuk pulang ke rumah.
No comments:
Post a Comment