BAB 1
Kringggggggg..
Loceng sekolah berbunyi dua kali. Seakan digegar gempa,
suasana sekolah menjai riuh rendah. Loceng dua kali petanda waktu untuk
rehat. Terlihat para guru masing-masing
keluar dari kelas diikuti pelajar-pelajar lelaki dan perempuan. Masing-masing
memilih arah tuju. Ada yang memilih berjalan ke ruang tingkat dua bangunan
sekolah untuk ke koperasi membeli makanan ringan, ada yang ke kantin untuk
mengalas perut yang tidak diisi sejak pagi, ada juga yang tidak memilih ke
mana-mana. Hanya duduk di dalam kelas sama ada tidur atau menyiapkan kerja
sekolah.
Sejak sebelum rehat, Fatin sudah berada di dalam bilik
guru memandangkan Ustaz Rahim yang mengajar mata pelajaran Tauhid sedang
berkursus. Setiap minggu, Fatin harus bertemu dengan ustazah Azila untuk
menyerahkan laporan keselamatan pelajar-pelajar di asrama Puteri.
Usai menyerahkan laporan tersebut, Fatin mengambil
peluang berbicara dengan Ustazah Azila tentang perancangan masa hadapan.
“Ustazah, saya ingat nak sangat belajar di Mesirlah. Nak
jumpa Syeikh di sana dan talaqqi ilmu di masjid-masjid di Mesir. Mesti seronok
kan ustazah?” Ujar Fatin melakar harapan di hadapan Ustazah Azila sambil
mengukir senyuman yang sangat indah.
“Kalau Fatin nak ke Mesir, Fatin kena belajar
bersungguh-sungguh bermula dari sekarang. Dapatkan MUMTAZ dalam kesemua sepuluh
matapelajaran.” Ustazah Azila memberikan kata-kata semangat.
“Tapi, susahnya nak
menghafal dalam bahasa Arab. Lidah ini tergeliat dibuatnya.” Fatin mengadu
kesusahan yang dia rasai selama ini. Ternyata menghafal mata pelajaran berbahasa
arab tidak mudah seperti yang disangkakan.
“Mungkin sebab Fatin belum biasakan rutin menghafal. Menghafal
ini perlu diulang-ulang. Sebelum diulang kenalah fahamkan dahulu. Kalau dah
biasa nanti, insyaAllah lebih mudah dan lancar.” Ujar Ustazah Azila.
Fatin mengangguk faham. Niat hatinya untuk ke Mesir
dipendam sedalam-dalamnya.
Universiti al-Azhar merupakan universiti termasyhur yang
terletak di Mesir. Cawangannya tersebar di beberapa daerah seperti Iskandariah,
Mansourah, tanta dan selainnya. Ia telah menjadi pusat menimba ilmu agama yang
paling tua dalam pelbagai bidang. Para pelajarnya pula terdiri daripada pelajar
dari seluruh pelusuk dunia.
Fatin menyimpan angan-angan untuk ke sana kerana dia
sangat meminati Bahasa arab dan mahu mendalami bidang Tafsir. Lebih-lebih lagi,
guru-guru di sekolahnya merupakan lepasan Universiti al-Azhar Mesir, dan
mendapat galakan dari mereka untuk melanjutkan pengajian ke Mesir.
Selepas bertemu dengan Ustazah Azila, Fatin keluar dari
bilik guru untuk pulang semula ke kelasnya di tingkat bawah bangunan Mawardi.
Sedang asyik mencari kasut sarung hitamnya, seseorang menepuk dan menyergahnya
dari belakang dengan kuat.
“Fatin!!!”
Hampir tercampak buku teks Mantiq dan nota-notanya
namun sempat dipegang erat. Fatin mengurut dadanya lantaran terkejut dengan
perlakuan sahabatnya.
“Astaghfirullah. Tasnim. Awak ini nak bagi saya sakit
jantung ke? Buat terkejut saya sahaja. Mujur saya tak pengsan. Kalau pengsan
siapa yang susah?” Fatin mengomel sambil membuat muka garang.
“Mestilah saya yang susah.” Ujar Tasnim sambil memaut
bahu Fatin.
“Awak ini kan muslimah yang solehah, tak boleh buat orang
begitu. Kan Rasulullah Sallallahu alaihi wa sallam pesan, kalau jumpa
saudara seislam, maka berilah salam.” Fatin menegur sambil menyarung kasut
sarung hitamnya.
Tasnim menahan ketawa melihat wajah Fatin yang garang
sambil mengomel seperti emak-emak.
“Baiklah. Maafkan saya. Awak ini garang sangatlah. Takut
saya.” Tasnim berhenti bergurau. Dia meminta maaf kerana sedar akan
kesilapannya.
“Yelah. Saya maafkan. Tapi janji jangan buat begitu lagi.”
Pinta Fatin.
“Baiklah. InsyaAllah saya tak buat begitu lagi.” Tasnim
mengangkat tangan kanan seperti orang berikrar lagaknya kemudian memegang perutnya
yang berbunyi sejak tadi.
“Eh Fatin. Saya laparlah.. jom pergi kantin. Saya belum
makan apa-apa sejak pagi tadi.” Ujar Tasnim.
“Tapi lagi 15 minit je nak habis waktu rehat.”
Tasnim sedikit kecewa. Melihatkan Tasnim yang sedikit
pucat, dia merasa risau takut terjadi apa-apa jika dia tidak makan.
“Oklah. Jom makan dulu.”
Mereka berdua berjalan bersama ke arah kantin untuk mengambil sarapan pagi.
Adik-adik junior yang bertemu mereka memberikan salam tanda hormat kepada
senior yang lebih dewasa dari mereka.
SMAT mempunyai uniform sekolah yang agak unik. Pelajar-pelajar
perempuan kelas STAM memakai uniform baju kurung putih, kasut hitam, tudung
berwarna ungu lembut dan kain berwarna ungu gelap. Adapun pelajar lelaki
memakai baju putih lengan panjang, kopiah putih serta seluar dan kasut hitam.
Pelajar-pelajar di tingkatan satu hingga lima sama seperti sekolah-sekolah
harian melainkan kain sekolah berwarna hijau dan bagi pelajar lelaki, mereka
diwajibkan memakai seluar berwarna hitam dan berkopiah putih.
Sudah 6 tahun Fatin dan Tasnim bersekolah di SMAT. Tidak
pernah terlintas untuk pindah dari sekolah yang penuh dengan tarbiyah dan
didikan, sesuai dengan namanya Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah. Selepas
peperiksaan SPM, Fatin mengambil keputusan untuk menduduki peperiksaan STAM,
oleh itu sebaik sahaja sekolah dibuka, dia sudah mendaftar masuk ke kelas untuk
memulakan pelajaran.
Sedang asyik menyuap mee goreng, Fatin bertanya kepada
Tasnim: “Tasnim. Sekarang dah masuk bulan Mac. Awak dah mula menghafal untuk
STAM nanti?”
“Belum mula lagi. Alah, lama lagi kan? Entahlah kenapa
rasa malas sangat. Lagipun, saya ambil STAM ini sebab keputusan SPM saya haritu
tak bagus. Lainlah macam awak, kalau awak isi borang UPU sekarang ini, dah
mesti-mesti awak dapat masuk universiti punyalah.” Tasnim berseloroh sambil
menghirup air teh di dalam glas plastik berwarna merah jambu.
“Awak ini Tasnim. Janganlah merendah diri sangat. Yang
dah berlalu itu, biarlah berlalu. Yang penting sekarang ini dan masa akan
datang. Kita kena ada cita-cita yang tinggi. Sekurang-kurangnya untuk menggembirakan
hati ibubapa kita”.
Fatin cuba memberi nasihat kerana sangat menyayangi sahabatnya
itu. Sesekali dia tidak mahu sahabatnya tertinggal di dalam pelajaran. Kalau
boleh dia mahu mereka berjaya bersama-sama dan masuk ke universiti yang sama
nanti.
Tasnim diam dan hanya mengangguk tanda faham akan
kata-kata Fatin. Dikerlingnya jam di tangan, lagi lima minit tepat jam 1045
pagi.
“Eh. Dah nak habis waktu rehatlah. Jom balik ke kelas. Lepas
ini kan masa ustaz ‘saya’.”Tasnim bergurau.
“Hehe. Tak habis-habis awak ini kan. Sudahlah, jangan nak
berangan selalu. Dia itu ustaz kita tahu? Mana boleh nak simpan perasaan
lebih-lebih sangat.” Fatin mengingatkan.
“Tahulah. Saya gurau je Fatin. Saya sedar diri, sudahlah
tiada rupa, tidak pandai pula itu. Lainlah awak. Pandai, cantik, manis,
solehah...”
Belum sempat Tasnim menyambung pujiannya, Fatin memotong.
“Dahlah, jangan nak merepek. Jom balik ke kelas.” Ditariknya tangan Tasnim yang
masih duduk supaya cepat bangun untuk
pulang ke kelas.
No comments:
Post a Comment