“Argh...... aku tension betullah dengan orang atas ni.
Tak tau nak dengar radio pelan-pelan ke?
Dahlah aku ada mid term exam esok. Kalau ikutkan hati aku sekarang juga
aku serang mereka tu. Huh..”.
Hasni keluar dari petak biliknya mahu membuka
pintu. Dia tidak jadi keluar apabila Syahidah masuk ke dalam bilik selepas
selesai membasuh pakaian. Suasana malam itu diganggu dengan bunyi bising dari
tingkat 4 blok B, Mahallah Hafsah.. Jam hampir menunjukkan jam12 tengah malam.
“Sya, kau tak rasa geram ke dengan orang atas
ni. Berpesta ke?? Nak je aku maki hamun diorang tu. Hiiissh...?” Marah
benar Hasni malam itu.
“Sabar dulu Has. Nanti Sya cuba naik atas
lihat-lihat apa yang berlaku. Has ada midterm ye esok?” Syahidah cuba
menenangkan rakan sebiliknya.
“Yelah, aku ada midterm esok. Sudahlah
minggu ini berderet exam. Tak ke berserabut aku jadinya.”. Rungut Hasni
sambil menunjuk-nunjukkan nota-nota yang dibaca sejak tadi.
“Emmm.. Has pergilah belajar di bilik study di
tingkat bawah. Mungkin tenang sedikit nak study.” Syahidah memberi
cadangan.
“Betul juga cadangan Sya itu.” Hasni lantas
mengambil semua buku-bukunya dan keluar sambil mulutnya masih mengomel marahkan
orang yang mencetuskan gangguan malam itu. Syahidah masuk semula ke petak
biliknya. Dia merasakan juga gangguan muzik yang terlalu kuat dan bunyi
hentakan kaki di tingkat atas tetapi dia cuba tenangkan hati.
‘Mungkin mereka tidak tahu orang lain
terganggu.’ Syahidah berbaik sangka.
‘Apa agaknya yang mereka buat di atas sana.
Hm.. adapun buah epal.’ Dia mengambil bungkusan yang berisi enam biji epal dan
dimasukkan kemas ke dalam plastik lain yang sedikit cantik. Dia keluar dari
bilik, menyarung selipar dan naik ke tingkat atas biliknya.
Tok..tok..tok...
“Assalamualaikum”.
Pintu bilik tersebut memang terbuka luas. Syahidah
menunggu di luar sahaja dan memberikan salam berkali-kali. Suasana yang bingit
dipenuhi dengan beberapa orang penghuni kolej sedang menari mengikut rentak
lagu yang berkumandang menyukarkan sesiapa untuk menyedari kehadiran Syahidah.
Tiba-tiba seorang wanita menjenguk ke luar dan
menyapa Syahidah.
“Hai Sis. Masuklah join my birthday party.
Jangan malu-malu.” Pelawa seorang
penghuni yang dikenali dengan panggilan Bella.
“Eh, tidak mengapalah. Nama saya Syahidah.
Bilik saya di bawah ini je. Selamat berkenalan. Nama awak Nabilah kan?” Soal
Syahidah.
“Ya, nama saya Nabilah. Tapi panggil sahaja
Bella.”
“Oh, kawan saya di bilik bawah ada juga cerita
tentang Bella, katanya satu kuliah dengan Bella. Dari situlah saya tahu nama
awak. Kebetulan hari ni hari lahir Bella, saya tiada apa-apa nak beri. Cuma ada
epal ini sebagai buah tangan tanda salam perkenalan.” Syahidah memberikan buah
epal yang sengaja dibawa. Tak tersangka pula dia akan berikan epal itu sebagai
hadiah hari lahir Bella.
“Eh, terima kasih. Tak perlu susah-susah. Di
dalam banyak makanan. Marilah sekali.” Bella menyambut huluran bungkusan berisi
epal itu sambil tersipu malu.
“Terima kasih banyak-banyak Bella. Sebenarnya
saya ada midterm esok. Saya kena study dahulu. Nanti kalau dah makan
takut terlena sampai pagi.” Syahidah memberi alasan.
“Awak ada midterm? Maaflah jika
mengganggu awak study.” Bella dihuni rasa bersalah.
“Jika saya mungkin tak terganggu sangat,
tetapi mungkin penghuni yang lain akan rasa terganggu sedikit. Bukannya apa,
sebab kita hidup bersama-sama di sini, jadi saya amat menghargai jika Bella
dapat habiskan parti ni awal.” Syahidah cuba berlapik agar tidak timbul
pergaduhan akibat tersilap bicara.
Bella menggaru kepala seakan berfikir.
“Okay, terima kasih tolong beritahu. Saya tak
terfikir pun semua itu tadi. Just nak happy-happykan diri je
menari-nari dan dengar muzik macam ini.”
“Sama-sama. Terima kasih juga memahami. Saya
senang berkenalan dengan Bella. Nanti jika lapang-lapang jemputlah datang ke bilik
saya di 3.8.”
Syahidah bersalaman dengan Bella sambil
mengucapkan selamat ulangtahun kelahiran kepadanya sekali lagi. Dia lega kerana
keadaan kembali reda sebaik sahaja dia turun semula ke biliknya. Sebenarnya
keesokannya dia pun ada midterm, tetapi peperiksaannya baru bermula.
Kerana itu dia tidak terlalu rasa tertekan.
Dia
mula membuka buku Mass Communication dan menyambung ulangkajinya. Dia
tidak rasa mengantuk kerana lepas solat isya’ tadi dia sudah tidur selama 1jam
setengah. Dia memang membiasakan diri setiap kali mahu exam untuk tidur
sebentar supaya boleh berjaga lewat sedikit. Hasni masih belum pulang ke bilik.
Syahidah memerhatikan ke arah bilik 2orang rakannya yang lain.
‘Gelap. Dah tidur agaknya.’ Bisik hatinya
Tiba-tiba dia mendengar suara seakan orang
menangis. Dia meneliti benar-benar. Suara itu datang dari petak bilik
bertentangan dengannya. Syahidah menghuni petak bilik D, bermakna suara itu
datang dari orang yang berada di kotak bilik A. Dia keluar menuju ke hadapan
ruang bilik tersebut dan memberi salam meminta izin untuk masuk.
“Shida, boleh akak masuk?” Syahidah meminta
izin sebelum menyelak langsir bilik tersebut.
“Emmm...Masuklah kak.” Suaranya berselang-seli
dengan sedu-sedan.
Syahidah menyelak langsir bilik yang hanya
diterangi lampu belajar. Walaupun lampu dibuka keadaan bilik masih suram kerana
Shida menutupnya dengan kertas berwarna. Syahidah melihat Shida menekup muka
dengan bantal lantas mengangkat mukanya sebaik sahaja Syahidah masuk. Matanya
memerah dan bengkak tanda dia baru lepas menangis.
“Shida tak apa-apa ke?” Pujuk Syahidah sambil
tangannya menyelak bahagian depan rambut Shida yang menundukkan sedikit
wajahnya.
“Tak..tak ada apa-apa kak. Shida okay je.”Syahidah
seakan tidak puas hati dengan jawapan itu.
“Shida cuma rasa tertekan sedikit. Shida nak
tidur dulu.”
Syahidah memahami keadaan Shida yang selalu
benar menangis. Walaupun dia tidak tahu apa sebenarnya masalah Shida, tetapi
dia selalu menemankan Shida setiap kali perkara itu berulang.
“Tak mengapalah, Shida tidurlah dulu. Akak
tolong tutupkan lampu meja ini ye.”
Syahidah memetik suis lampu meja dan keluar
dari petak bilik juniornya. Syahidah baru mengenali Shida semester ini.
Sejak dia mengenali Shida kerapkali dia mendengar Shida menangis. Mungkin ada
sesuatu yang perlu dibantu.
* * *
Tit..tit...
Telefon bimbit Syahidah bergetar. Dia meraba-raba bawah bantalnya untuk mencapai telefon
bimbitnya. Punat segera ditekan.
One message receive
‘Siapa pula yang hantar mesej pagi-pagi ni, baru pukul
3.30pagi ni’
Dia terus menekan punat open sambil matanya
terkelip-kelip menahan mata dari sinaran lampu meja belajar.
‘Salam ukhuwwah. Malam nanti liqa’ kita seperti biasa. Di
masjid level3, jam 8.30 malam. Jangan lupa ye. Jumpa nanti’
Sender
0134568778
Hazimah
‘Insya-Allah, syukran’
Sya membalas mesej tersebut.
Dia terus teringat esok petang dia ada midterm,
ada lagi separuh chapter yang belum dia selesaikan. Dia terus mengemas
buku-buku yang menemani tidurnya lalu ke bilik air untuk mengambil wudu’.
Sebaik sahaja pintu bilik utama dibuka, dia terkejut apabila terlihat seseorang
duduk di bahagian kanan pintu bilik. Hatinya seram sejuk.
‘Siapa ni? macam perempuan...takkanlah...
astaghfirullah.. apelah yang aku merepek. Manalah ada hantu boleh pakai
selipar’
Dia lucu memikirkan hantu memakai selipar
jepun. Syahidah memberanikan diri menyentuh bahu wanita itu.
“Sis..Sis..” Syahidah mengejutkannya dengan
berhati-hati. Takut dimarahinya. Jasad tersebut seakan terkejut lalu mendongak
ke arah Syahidah yang membongkok.
“Kenapa engkau kunci pintu.. aku tak bawa
kuncilah. Handphone pun aku lupa bawa.”
“La... Has rupanya. Maaflah. Sya ingatkan Has
bawa kunci. Kenapa tak tidur di bilik study dulu?” Syahidah bertanya
untuk hilangkan rasa bersalah.
“Bilik study kunci. Aku study
kat musolla tadi. Tapi nak tidur sana takutlah sorang-sorang.” Hasni menjawab
sambil matanya tertutup berjalan masuk ke dalam bilik. Syahidah hanya tersenyum
dan menggeleng sahaja melihat gelagat Hasni. Dia meneruskan langkah menuju
bilik air lalu mengambil wudu’.
Selesai mengerjakan solat sunat tahajjud dia
memanjatkan doa untuk ibu ayahnya dan untuk arwah ayahnya yang telah lama
meninggal. Sudah hampir 13 tahun ayahnya meninggalkannya sekeluarga. Dia
tiba-tiba rindukan arwah ayahnya. Airmatanya mula mengalir. Dia cepat-cepat
mengesat airmatanya sebaik sahaja terdengar handphonenya bergetar lagi. Syahidah
membaca mesej tersebut.
“Salam perkenalan. Sesungguhnya solat malam itu lebih
baik dari dunia dan isi seluruhnya.”
Sender
0135678910
‘Siapa pula ni. Alhamdulillah jika niatnya
baik mengingatkan diri aku yang sering lupa. Semoga niatnya ikhlas.’ Syahidah
tidak mengenali nombor tersebut dan tidak membalasnya. Dia meletakkan semula
telefon bimbit di atas tilam. Telekung dibukan dan disangkut di birai almari
biliknya. Melihat buku-buku di atas meja, dia teringat tentang testnya
esok hari.
Jam masih menunjukkan jam 4.15pagi.
‘Sempat lagi nak baca ni.’ Getus hatinya.
Syahidah meneruskan bacaan dan menghafal term-term
yang terdapat dalam subjek tersebut. Dia suka belajar Mass Communication
walaupun cuma mengambil introduction sahaja. Padanya ia ada persamaan
dengan matapelajaran di dalam subjek pengkhususan yang wajib diambilnya iaitu
subjek ‘al-Khitab al-Qurani”.
Sebagaimana
manusia berkomunikasi sesama manusia, tujuan utamanya adalah untuk
menyampaikan maklumat. Komunikasi yang berjaya adalah komunikasi yang difahami
maklumatnya dan ada tindak balas.
Al-Quran juga begitu. Dr. Suhana pernah memberitahu
bahawa Allah s.w.t berkomunikasi dengan kita melalui al-Quran. Sekiranya kita
mahu berkata-kata dengan Allah, kita hendaklah membaca al-Quran. Apabila kita
membaca al-Quran, kita perlu menghayati dan memahami makna yang Allah s.w.t
sampaikan. Selepas kita fahami kita hendaklah mempraktikkan apa yang kita
perolehi tersebut. Itu adalah komunikasi al-Quran yang berjaya. Sesiapa yang
membaca al-Quran tanpa memahami dan tidak melaksanakan apa yang dia fahami, itu
bermakna komunikasinya dengan al-Quran tidak berjaya.
Syahidah mendapati terdapat persamaan antara
ilmu-ilmu agama dan akademik. Dia suka mengaitkan antara dua perkara kerana
padanya agama tidak boleh dipisahkan daripada perkara dunia. Keduanya perlu
diseiringkan dengan mendahulukan agama jika perkara duniawi bertentangan
dengannya.
Sayyid Qutb mengatakan: “Aku hidup di dalam 2
alam: alam dunia dan alam akhirat”. Apa yang dirasakan sayyid Qutb terlalu
sukar untuk kita fahami. Bagaimana dalam satu masa kita boleh hidup di dalam
dua alam. Jika masih hidup tentu sahaja di alam dunia, melainkan jika sudah
meninggal kita akan berada di alam akhirat.
Sebenarnya apa yang disebutkan oleh Syed Qutb
adalah setiap perlakuan kita mestilah dikaitkan dengan kehidupan akhirat,
seolah-olah kita merasakan bahawa: ‘alam akhirat di sebelahku.’
Jika setiap perkara yang kita lakukan di dunia
ini dapat kita rasakan bahawa akhirat hampir bersebelahan dengan kita, dan
setiap masa kita dihisab, kita akan selalu berhati-hati dalam setiap perbuatan
yang hendak kita laksanakan.
Kata-kata Dr Suhana masih terngiang-ngiang di
dalam fikirannya.
‘Bolehkah aku merasakan perasaan sebegitu
seperti orang-orang soleh dahulu.. ya Allah dakwahku bagaimana...’
Syahidah seakan diterpa rasa bersalah lantaran
kurangnya sumbangannya untuk agama ini. Dia lalu menghadiahkan sebuah kata-kata
buat dirinya.
Aduhai diri
Andai kau kuntuman mawar
Akanku hias kau di taman
Akanku siram kau dengan wangian tarbiyah
Agar sentiasa berseri
Juga kuat akarmu mencengkam dakwah
Untuk terus subur menyebarkan wangian Islam
Aduhai diri
Kau harus sedar
Bukan amalmu menjadi penyebab
Untuk engkau menghuni syurga
Tetapi hanya kerana rahmat Tuhanmu
Namun begitu
Janganlah kau mengabaikan kebajikanmu di dunia
Kerna amalan itu memungkinkan kau mengharap rahmatNya
Untuk menghuni syurga yang kau rindui
Aduhai diri
Tetaplah hatimu pada cintaNya
Suburkan imanmu dengan tarbiyyah pencipta
Pasakkan jiwamu pada ilmu
Semoga ia menjaga dirimu tika kau tersesat
Wahai diri
Sayangi dirimu selalu...
* * *
“ Izzul, anta nak ikut sekali tak solat maghrib di masjid?
Lagipun boleh dengar kuliah ustaz Zahidi sekali, belajar tentang kitab Subulussalam.
Ustaz beri kuliah dalam bahasa Melayu, senang sedikit nak faham.” Pelawa Akmal.
Izzul yang sejak pulang dari kelas petang tadi
tertidur di petak biliknya. Matanya terkebil-kebil apabila dikejutkan oleh
Akmal untuk solat maghrib di masjid.
“Anta pergilah dahulu. Ana rasa penatlah. Tadi
ada workshop sampai tengah hari. Lepas itu kelas sampai pukul5. Ana solat di
bilik sahajalah.” Izzul memberi alasan.
“ Tak mengapalah, ana pergi dahulu ye. Di bilik jangan
tidur pula, masuk waktu maghrib nanti solat berjemaah dengan Faiz”. Izzul
sekadar mengangguk dan menekup mukanya dengan bantal kembali.
Izzul dan Akmal sudah lama berkawan baik. Kedua-duanya
mengambil jurusan kejuruteraan. Setiap hari Isnin mereka berdua mesti
menghabiskan kerja di bengkel dan menghantar report pada hari Jumaat untuk
setiap minggu. Bukannya Izzul seorang mempunyai jadual yang penuh, Akmal juga
begitu. Namun Akmal suka menghadiri kuliyyah ustaz Zahidi. Padanya kebanyakan
kuliyyah selepas solat di masjid UIA disampaikan di dalam bahasa arab dan
inggeris. Bukannya dia tidak pernah belajar bahasa arab kerana dia juga
mempunyai asas bahasa arab di sekolah Thanawi dahulu, tetapi penguasaannya
dalam bahasa arab amat kurang. Kerana itu dia cuba mengambil kelas tambahan
bahasa arab untuk menguatkan kemahirannya.
“ Izzul..Izzul.. Anta dah solat ke ni?”
Akmal mengejutkan Izzul. Izzul pula menggerak-gerakkan
badan sambil memisat-misatkan matanya.
“Sudah.... tadi lepas solat maghrib ana tidur
balik”
Lega Akmal mendengarnya. Dia risaukan sahabatnya
yang seorang itu kalau-kalaulah terlajak solat maghrib.
“Isya’?” Tanya Akmal ringkas sambil membuka
kopiah.
“Belum. Ana nak mandi dulu baru solat. Anta
dah makan?” Izzul bertanya sambil bangun
mengambil tuala yang bersangkut dengan hanger. Dia seorang yang teratur dan
kemas. Walaupun dia seorang lelaki, dia amat tidak suka keadaan biliknya yang
bersepah. Izzul sudah dididik sejak di sekolah menengah lagi untuk menguruskan
bilik tidur dan kebersihan diri.
“Belum lagi. Jom kita pergi sama lepas anta
solat Isya,” cadang Akmal.
“Okay.”
Dia menyarung selipar dan berlalu keluar
menuju ke bilik mandi.
Cafe Mahallah Zubair masih dipenuhi warga
Mahallah. Jam sudah menunjukkan jam 9.45malam. Akmal dan Izzul hanya membeli
nasi ayam kerana mudah. Hanya menunggu sekejap hidangan sudah tersedia. Mereka
kemudian memilih tempat bersebelahan pintu masuk cafe. Ramai yang matanya
tertumpu pada rancangan televisyen malam itu. Akmal dan Izzul perasan yang
iklan-iklan mempromosikan barang-barang banyak yang mengekspoitasikan
kecantikan wanita.
“ Duduk di sini selalu jadi susah nak jaga
hafalan kan. Ana rasa kalau tadi ana hafal surah an-Naba’, balik dari
cafe ni mesti hilang semula,” Izzul mula berbicara setelah lama menikmati nasi
ayam.
“ Eh, kenapa pula?” Akmal memandang televisyen
di hadapan mereka yang menyiarkan iklan sabun bermodelkan wanita. Kemudian dia
menyambung tanda faham apa yang Izzul maksudkan.
“Oh, itulah cabarannya sekarang ini Izzul.
Hanya benteng iman menjadi kekuatan diri kita,” Akmal menyambung.
Mereka cepat-cepat menghabiskan makanan.Sambil
berjalan menuju ke bilik, Akmal menyambung perbualan yang terhenti di Cafe
tadi.
“Apabila terlalu banyak maksiat yang mudah
kita terjebak ke dalamnya, yang perlu mengawalnya adalah kita. Kita yang perlu
mengawal pandangan kita dan hati kita dari dibuai dosa yang merosakkan kita.
Betul tak ustaz Izzul?”
Izzul mengangguk dan ketawa sedikit kerana
gelihati dengan panggilan ustaz buatnya. Tetapi dia mengakui kebenaran terhadap
apa yang Akmal katakan. Dia bersyukur punya sahabat seperti Akmal. Memang tidak
dinafikan dalam suasana tempat mereka belajar terlalu mudah terjebak dalam dosa
dan maksiat mata. Apa yang boleh dilakukan hanyalah menjaga pandangan mata dari
terjebak ke dalam panahan syaitan.
No comments:
Post a Comment