Friday, November 9, 2012

Melakar Pelangi: Bahagian 4 (Kerinduan di Taman Ilmu)


Warga kampus mula keluar menuju ke kelas. Hari ini minggu pertama kelas untuk semester baru bermula. Kebiasaannya hari pertama pengajian kebanyakan kelas masih belum bermula kerana sebahagian pelajar masih berhadapan dengan masalah pendaftaran matapelajaran. Syahidah berjalan tenang menuju ke bangunan Admin kerana kelasnya pada pagi ini adalah seawal jam lapan pagi.
“ Assalamualaikum.” Tiba-tiba suara seseorang menyapa.
Syahidah menoleh ke belakang lalu tersenyum melihatkan rakan sekuliah yang amat dia kenali.
“Wa’alaikumussalam. Seri apa khabar? Lamanya tidak ketemu.” Syahidah menjawab salam dan menyapa dengan dialek indonesia.
“Seri baik-baik sahaja kak. Kakak punya kelas di bangunan Admin juga? Kelas apa pagi ini. Kelas Seri juga di bangunan Admin.”
“ Oh, akak ada kelas dengan Dr Faizi. Madah[1] Tadwin as-sunnah.”
 Jawab Syahidah.
“Memangnya setiap kali semester madah Tadwin as-sunnah semestinya jam lapan pagi ye kakak? Seri sudah ambil semester lepas. Dr Faizi-nya bagus mengajar, tetapi markahnya agak strict.”
Syahidah sudah menduga kerana kebanyakan senior pun mengatakan perkara yang sama. Namun dia tidak mengambil peduli sangat akan itu semua. Yang penting dia dapat belajar sesuatu yang baru. Bukan kerana terpaksa, tetapi dia juga diasak pertanyaan dalam dirinya sendiri tentang ilmu-ilmu hadith. Dia mengambil pengkhususan dalam bidang Hadith kerana minatnya yang begitu mendalam.
“Tak mengapalah Seri. Jika markah kita kurang bagus, sekurang-kurangnya kita dapat ilmu juga kan? Bukankah menuntut ilmu itu ganjarannya tinggi, kita kena bersyukur kerana Allah takdirkan kita kenal dengan Dr Faizi, kita dapat belajar sesuatu yang sebelum ini kita tidak tahu.”
Syahidah cuba positif, sedikit sebanyak kata-katanya yang dituturkan memberi sedikit ketenangan ke dalam hatinya walaupun sememangnya dia juga agak gerun dengan cerita-cerita seniornya sebelum ini.
“Ya kakak, semoga kakak dapat markah yang bagus sangat. Seri sangat kagum dengan kakak. Sepatutnya Seri kena belajar dengan kakak banyak lagi.”
“MasyaAllah, Seri...seri.. Akak ini mana ada bagus apa-apa. Pencipta kakak yang mesti dikagumi, bukan kakak. Dia Yang Maha Memberi segala-galanya. Terima kasih doakan akak. Semoga Allah memberi kelapangan kepada Seri dalam segala lapangan ilmu.”
“ Amin ya Rabb. Ok kakak. Seri mahu ke kelas dulu ya. InsyaAllah jumpa lagi nanti.”
Seri merupakan pelajar dari Acheh, Indonesia.  Orangnya peramah dan baik sekali. Seorang lagi rakan Indonesia yang Syahidah kenali adalah Farihah. Farihah suka meniru-niru dialek orang malaysia sehingga kadang-kadang bunyinya menjadi kelakar. Itulah uniknya UIA yang terdiri dari pelajar-pelajar dari pelbagai negara.
Syahidah dan Seri berpisah di persimpangan menuju tangga untuk naik ke tingkat tiga bangunan ADMIN. Dia melihat jam pemberian Abang Shah tepat menunjukkan jam 7.55 pagi.
Sampai di tingkat tiga, Syahidah meneliti nombor di hadapan kelas tersebut. ‘ADM LR6’
“Betullah ni.”
Dia masuk dan memberikan salam kepada pelajar-pelajar yang sudah hadir terlebih awal ke kelas tersebut. Dia memerhati, hanya lima orang pelajar sahaja di kalangan perempuan. Yang lain lelaki. Itupun dua orang sahaja  mencukupkan bilangan lapan orang pelajar yang mendaftar ke kelas itu termasuk dirinya sendiri.
“Sya baru ambil madah ni ke?.”
 Soal Husna sebaik sahaja Syahidah memilih untuk duduk di sebelahnya di barisan kedua. Disebelah kiri Husna ialah Fatin dan Najihah. Mereka berdua hanya melemparkan senyuman sahaja buat Syahidah.

“Ye. Sya baru ambil. Semester lepas jadual bertembung dengan madah lain.”
 Dia sudah mengenali kebanyakan penghuni kelas tersebut melainkan dua orang pelajar lelaki dan 3orang pelajar perempuan lain.
‘Senior agaknya.’
Getus hatinya.
Baru sahaja Syahidah mahu membuka sesi perkenalan dengan tiga orang pelajar perempuan yang dia kurang kenali, Dr faizi masuk memberi salam.
‘Oh. Ini ke dr faizi’
 Bisik hatinya.
‘Aku ingatkan orang melayu. Rupanya orang arab. Bersihnya wajah ustaz ni.’
Na’am, anti. Masmuki?[2]
 Soal ustaz kepada Syahidah selepas sessi ta’aruf beberapa rakannya selesai. Kini gilirannya memperkenalkan diri. Dia sedikit terkejut.
Erk.. Ismi Nur Syahidah binti Hassan Adli. Min sanah thalitah.[3]
Aiwah[4],” Dr Faizi memberi respon.
Kelas pagi itu dipenuhkan dengan sesi ta’aruf dan sedikit pengenalan tentang mata pelajaran yang akan diajar. Tepat jam 8.50 pagi, Dr Faizi menghabiskan kelasnya dengan ucapan salam dan berlalu keluar.
“Sya ada kelas lagi lepas ni? Kalau tiada, Husna nak ajak breakfast sama-sama. Laparlah pula.”
Sambil memasukkan buku ke dalam beg, Husna mengajak Syahidah untuk bersarapan bersama-sama memandangkan dia tidak sempat menjamah sarapan pagi langsung kerana terpaksa bergegas awal ke kelas. Dr. Faizi berasal dari Syria, sudah beristeri dan mempunyai dua orang anak lelaki yang ketika ini juga mengambil ijazah sarjana muda di UIA. Beliau seorang yang sangat menepati masa. Boleh dikatakan setiap semester, subjek Tadwin as-Sunnah pasti akan bermula jam 8pagi, dan beliau akan masuk kelas tepat jam 8pagi juga.
“Boleh juga. Kita sarapan di Cafe HS ye,” Syahidah memberi respon kepada Husna.
“Orait”
Mereka berdua berlalu keluar meninggalkan kelas sementara pelajar lain mula memasuki kelas tersebut untuk mengikuti kuliah seterusnya.

                                                *          *          *
Sandwich je dik?”
“Ye makcik. Alas perut je dulu”
Sya menjawab soalan tersebut dengan senyuman sambil menghulurkan wang RM1.50.
“Eh, takkan makan tu je kot. Malunye Na makan berat-berat pagi ini.” Tegur Husna sebaik sahaja Syahidah duduk di hadapannya. Mereka memilih duduk di bahagian tepi sekali memandangkan tempat itu memang sudah disediakan dengan tulisan “SISTERS AREA”. Tetapi ramai yang seolah-olah tidak nampak arahan tersebut dan duduk bebas sesuka hati. Kadang-kadng bercampur satu meja antara lelaki dan perempuan.
“Alah.. tak mengapalah. Lagipun Sya sudah minum pagi tadi. Nak alas perut dengan makanan pula.”
Sya yang kaya dengan senyuman membuka kotak bungkusan plastik sandwich dan membaca bismillah.
“Jomlah makan laksa ni dengan Na sekali.” Pelawa Husna.
“Tak mengapalah. Eh, Na makan laksa pagi-pagi ini tak sakit perutkah nanti?” Syahidah mengingatkan, maklum sahaja laksa di situ agak pedas sedikit, biasanya kalau perut yang tidak tahan akan rasa sakit beberapa waktu selepas makan.
“Sya jangan risau. Na ok je. Lagipun Na tak tahanlah dengan laksa ni. Macam Sya tak tahu je Laksa ni favourite Na. Hehe...”
Syahidah mengangguk dan terus menjamah roti sandwichnya dengan perlahan. Sambil dia memandang sekeliling, tiba-tiba matanya menangkap seseorang yang begitu dia kenali. Hatinya seakan berdebar entah mengapa.
‘Ya Allah, janganlah izinkan dia nampak aku di sini’
Syahidah cuba mengalihkan pandangannya ke tempat lain. Namun dia merasakan orang tersebut mula memerhatikannya. Syahidah buat-buat tidak perasan akan kewujudannya.

“Burgh... alhamdulillah. Opss.. sorry Sya, tak dapat nak controllah. Hehe. Kelas Sya pukul berapa pula selepas ini?” Husna bertanya sambil meniup air teh O panas di dalam cawan.
“Eh Na, jangan tiup air panaslah. Bukankah ada maklumat mengatakan air panas yang ditiup akan bertukar menjadi racun disebabkan kandungan molekulnya yang berubah. Tapi Sya tak ingatlah macam mana ia boleh bertukar menjadi racun.”
“Oh, yelah. Na terlupa. Nasib baik Sya ingatkan.”
“Bukan sebab ‘nasib baik’, tetapi sebab Allah takdirkan Sya ada untuk ingatkan Na”.
Syahidah selalu mengingatkan Husna tentang perkataan ‘nasib baik’. Dia ingat lagi kata-kata Dr. Suhana mengenai perkara tersebut. Menurut Ustazah, tiada istilah nasib baik dalam hidup kita, semuanya sudah ditentukan Allah. Nasib baik seolah-olah ada juga nasib buruk sedangkan Allah sentiasa mentakdirkan sesuatu yang baik buat hambanya. Walaupun kadang-kadang seseorang ditimpa musibah, itu tidak bermakna nasib seseorang buruk, tetapi Allah mahu memberikan ganjaran yang hebat buat hambanya. Nabi s.a.w bersabda:
لَا يَقْضِي اللَّهُ لَهُ شَيْئًا إِلَّا كَانَ خَيْرًا لَهُ
Maksudnya: Allah tidak menetapkan qada’ bagi seorang hambaNya kecuali qadha’ itu baik baginya. [5]


“Ok..ok. nasib baik..eh, alhamdulillah, syukur Allah takdirkan Sya ada untuk mengingatkan Na pagi ni.”
Mereka berdua ketawa. Syahidah bukanlah tidak tahu bahawa Husna tidak memaksudkan begitu, dia tahu Husna juga belajar perkara yang sama dari Dr. Suhana. Syahidah menolehkan pandangan ke tempat tadi, namun kelibat orang tersebut sudah tiada. Dia menghela nafas lega.
“Lepas ni Sya mahu ke masjid, nak i’adah[6] al-Quran sementara menunggu kelas jam 11pagi nanti”. Sya baru menjawab soalan Husna tadi tanpa diminta.
“Oh, kalau macam tu Sya pergilah masjid. Na nak jumpa Ustaz Aqil, nak tambah subjek manual.”
“Kalau begitu tidak mengapalah. Jumpa lagi nanti insyaAllah.”
Mereka berpisah di depan pintu masuk masjid bahagian wanita yang bertanda ‘sister entrance’.

*                      *                      *

Syahidah memasuki ruang lift untuk naik ke tingkat empat bangunan CELPAD. Dia mahu bertemu dengan Ustaz Faizul untuk meminta persetujuan meneruskan hafazan untuk semester baru ini.  Dia berjalan perlahan sambil matanya liar mencari nama ustaz Faizul di pintu setiap bilik.
‘FAIZUL BIN MUHAMMAD’
‘AZMAN NOOR BIN MOHD ALI’
Tertera dua nama pensyarah di depan pintu bernombor J54.
‘Hm...alhamdulillah jumpa juga.’
Dia mendengus kelegaan lalu mengetuk pintu bilik tersebut.
‘Tok..tok..tok..’ “Assalamualaikum.” Syahidah mengetuk pintu dan segera memberi salam.
“Wa’alaikumussalam. Tafaddo[7]l”. Kedengaran suara ustaz Faizul menjawab salam dari dalam pejabat. Pintu masih bertutup, Syahidah membuka pintu pejabat tersebut dengan cermat. Sambil membuka kasut untuk masuk, dia berkira-kira di dalam hati:
‘Jika ustaz seorang sahaja di bilik perlu ke aku masuk?’
Dia menjenguk ke dalam pejabat, ternyata benar ustaz seorang sahaja.
“Assalamualaikum ustaz. Boleh saya masuk?” Soal Syahidah seakan tergagap.
“Oh, Syahidah rupanya. Datang seorang sahaja ke?”  Soal ustaz Faizul sambil bangun dari tempat duduk dan mengambil penyendal pintu untuk menahan pintu dari tertutup.
Syahidah mengangguk sahaja.
“Hah.. Masuklah. Ustaz Azman ada kelas. Ana seorang sahaja ni.” Ustaz Faizul seakan terbaca apa yang bermain di fikiran Syahidah. Lagipun dia memang sudah biasa dengan Syahidah kerana masuk semester ini sudah kali ke 6 Syahidah mengulang bacaan al-Quran dengannya. Tujuan Ustaz Faizul menyendal pintu bilik agar pintu bilik tersebut terbuka dan tidak menimbulkan fitnah.
SubhanAllah. Indahnya akhlak orang yang berilmu. Berjaga-jaga sebelum terkena. Di mana-mana sentiasa sahaja ada fitnah. Syahidah bersyukur kerana dapat mengenali didikan sebegitu di Taman Ilmu dan Budi ini.
“Ustaz. Maaf tak beritahu sebelum nak datang. Saya nak minta izin untuk menambah hafazan al-Quran lagi semester ini. Jadi saya datang nak minta jadual ustaz yang kosong supaya saya boleh susun masa untuk tasmi’ bacaan al-Quran nanti.” Terang Syahidah.
“Anti boleh datang setiap kali lepas solat Jumaat. Dalam pukul 3petang insyaAllah ana ada di sini.”
“Oh, kalau begitu senang jugalah. Terima kasih ustaz”.

‘Tok..tok...tok’
Assalamualaikum.”
Tiba-tiba perbualan Syahidah diputuskan dengan bunyi ketukan pintu dari luar. Pintu terkuak perlahan dan muncul seorang lelaki.
Wa’alaikumussalam. Ha... Farid masuklah.”
Syahidah terkaku. Dia selalu benar terserempak dengan lelaki itu. Raut wajahnya seakan mirip Ustaz Faizul. Cumanya dia tidak berkaca-mata dan kulitnya agak cerah berbanding dengan ustaz Faizul.
‘Siapa pula ini?’ Getus hatinya.
“Ini adik ustaz, Farid Hafidzi. Dia pelajar kejuruteraan. Tetapi ambil minor dalam Ilmu Wahyu. Mungkin Sya tak kenal. Hm.. Farid, inilah Syahidah yang Along selalu cerita tu.” Ustaz Faizul seolah-olah menjawab soalan yang bermain-main dalam fikiran Syahidah.
‘Eh ustaz ni, tak perlulah macam ni. Malu aku. Mana aku nak sorok muka ni. Selalu cerita? Kenapa pula ustaz ni cerita tentang aku dekat adik dia. Ish..ish.. kalau Na temankan aku tadi kan bagus’
Muka Syahidah mula meruap merah menahan malu. Dia tidak pernah diperkenalkan dengan lelaki sebegitu rupa.
“Oh ye ke. patutlah muka ustaz dengan dia ada mirip-mirip.” Syahidah memberi respon. Farid juga seakan malu dengan apa yang sedang berlaku. Masing-masing mengalihkan pandangan ke tempat lain.
“Ustaz, kalau begitu, InsyaAllah minggu depan saya mulakan hafazan ye ustaz. Saya minta diri dahulu. Terima kasih ustaz.” Syahidah meminta izin untuk pulang. Sebenarnya dia mencari alasan untuk lekas keluar dari bilik itu memandangkan dia amat malu dengan lelaki yang tidak dia kenali tersebut.
“Boleh. Tapi nanti sms ana dahulu sebelum datang, Mana tahu ustaz tiada di bilik pula nanti?”
“InsyaAllah ustaz. Syukran. Assalamualaikum”.
Syahidah cepat-cepat berlalu pergi. Sambil berjalan pulang ke Mahallah, hatinya bermonolog
- Sya. Engkau nak segan-segan kenapa. Bukankah engkau itu gadis yang kuat. Tahan diuji. Tak main cinta-cinta murahan ini.
- ini bukan tentang cinta murahan. Tapi aku memang segan kalau dengan muslimin. Tapi dengan ustaz-ustaz elok sahaja.
- sudahlah. Jangan rasa lebih-lebih. Nanti engkau mula melayan kan susah jadinya.
- astaghfirullahal azhim..
Dia cepat-cepat beristighfar lantaran tersedar hatinya mula melebihkan dunia. Dia takut hatinya mati lantaran terlalu cintakan dunia. Lagi yang dia takut jika hatinya dilalaikan dengan angan-angan yang berlebih-lebihan.

Bekunya air mata kerana kerasnya hati
Kerasnya hati kerana banyaknya dosa
Banyak dosa kerana panjang angan-angan
Panjang angan-angan kerana cintakan dunia
Cintakan dunia kerana lupakan kematian

Syahidah selalu sematkan kata-kata Imam al-Ghazali itu di dadanya. Dia segera berjalan  pulang ke Mahallah seorang diri untuk menyelesaikan perkara yang belum selesai lagi di biliknya..
























[1] Matapelajaran
[2] Baiklah, siapa nama kamu?
[3] Nama saya Nur Syahidah binti Hassan Adli. Tahun ke tiga.
[4] Baiklah.
[5]  Hadith Riwayat Ahmad dalam Musnadnya 41/233, disahihkan oleh albani dalam kitab al-Silsilah al-sohihah 1/147.
[6] Mengulang bacaan hafazan al-Quran
[7] Silakan 

No comments:

Post a Comment