Saturday, November 3, 2012

Melakar Pelangi: Bahagian3 (Petanda)

Picture on deviantart

“Abang nak menjala juga malam-malam begini?”
 Fatimah mengajukan kerisauan bila melihat Pak Adli mula membawa jaring menangkap ikan sungai sambil matanya melihat jam di dinding yang  hampir menunjukkan jam 12 tengah malam.
“Malam-malam  ini senang sedikit menjala. Tak ada gangguan. Janganlah risau, mana tahu rezeki abang malam ini dapat banyak ikan, lepas ni senang sikit abang berehat. Mah pun lepas ni kalau abang dah berehat jagalah anak-anak kita baik-baik ye.”
Kata-kata suaminya seakan mengundang pelik di hati Fatimah, tetapi dia cepat tepis semua perasaan itu.
“Abang hati-hati ye. Sudah malam ni. Mah risaukan abang”.
“Mah jangan risau. Kan abang selalu cakap dengan Mah, Allah itu selalu bersama-sama kita. Selama mana kita yakin Allah itu melindungi kita, tiada satupun yang dapat memudaratkan kita melainkan dengan izin-Nya.”
Fatimah mengangguk sambil mencium tangan suaminya yang dikahwini hampir 13tahun yang lalu.
“Mah janji dengan abang jaga Shahid dan Syahidah baik-baik ye.”
Suaminya memberi pesan sambil matanya merenung ke dalam anak mata isterinya.
“InsyaAllah abang.”
 Fatimah semakin pelik dengan sikap suaminya. Adli mengakhiri bicara sambil menghidupkan enjin motor Honda buruknya dan berlalu pergi lantas memberikan salam. Mungkin salam yang terakhir buat isterinya.
.           Fatimah masuk semula ke dalam ruang rumah papan selepas mengunci pintu bahagian hadapan rumah dan menjenguk anak-anaknya yang sudah masuk tidur. Dia rasa hatinya bergelojak, lalu terus ke bilik air mengambil air wuduk dan solat sunat dua rakaat. Fatimah dapat merasakan ketenangan menyelinap ke segenap ruang hatinya. Dia mencapai al-Quran lalu di baca selembar demi selembar. Selepas selesai membaca al-Quran, dia menuju ke tempat tidur. Amalan yang biasanya dia lakukan adalah membaca al-mu’awizatain[1] kemudian dihembuskan ke tapak tangannya lalu disapukan ke seluruh bahagian tubuh badannya. Kemudian dia berbaring dan membaca doa :

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْلَمْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلا إِلَيْكَ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ [2]

 Mulutnya terkumat-kamit membaca tasbih Fatimah  dan ayat Kursi sehingga selepas itu dia tertidur.

                                                            *          *          *

“Mah, abang dah nak pergi jauh. Maafkan abang kerana tidak dapat nak menjaga Mah dan anak-anak lagi. Jagalah Shahid dan Syahidah baik-baik. Abang nak pergi jauh.”
Fatimah terjaga dari tidurnya.
“Mimpi rupanya. Astaghfirullahal-azhim.” Getus hatinya.
Fatimah melihat jam di dinding baru menunjukkan jam 4.30 pagi. Seakan-akan  diseru untuk bertahajjud, Fatimah melipat kain selimut dan menuju ke bilik air untuk membersihkan diri dan melakukan qiamullai[3].
***
Allahu akbar..Allahu akbar
Azan subuh sudah kedengaran.
‘Kenapa Abang Adli masih belum pulang ye? Kebiasaannya waktu-waktu begini sudah pulang. Ah, mungkin dia solat di masjid agaknya.’
Fatimah berbisik di hati sendiri. Dia gusar namun cepat-cepat dipadam kegusaran hatinya. Dia mengejutkan anak-anaknya yang masih tidur. Shahid masih bersekolah rendah, tahun ini dia perlu menghadapi peperiksaan UPSR. Adapun Syahidah baru darjah tiga. Sekali gerak sahaja mereka sudah bangun dan mandi serta solat berjemaah bersama-sama ibu mereka.
“ Cepat sikit Shahid. Dah nak siang ni. Nanti terlambat pula.” Fatimah separuh menjerit.
Tidak lama kemudian terdengar bunyi telapak kaki berlari seakan berlumba siapa sampai terlebih dahulu ke dapur.
“Hari ini Shah ada sukan, mak datang tak?” soal Shahid.
“Sya pun, tapi Sya tak masuk apa-apa mak. Sya cuma ikut perbarisan sahaja.” Syahidah pun memberitahu perkara yang sama seakan mahukan perhatian.
“Oh ye ke. Patutlah segak pakai baju sukan hari ini. InsyaAllah kalau ayah kamu berdua dah balik nanti mak pergi ke sekolah bersama-sama ayah ye.”
Jawab Fatimah sambil tangannya ligat memasukkan bekas makanan ke dalam plastik. Satu untuk Shahid, dan satu lagi untuk Syahidah. Mereka berdua sudah biasa membawa bekal memandangkan makanan di kantin sekolah agak mahal. Mereka berusaha berjimat-cermat kerana mereka memahami kesusahan kedua ibu bapa mereka.
“Ayah ke mana mak, pergi menjala ke?” soal Shahid.
“Ye, sejak malam tadi. Biasanya sebelum subuh sudah pulang. Tetapi sampai sekarang masih belum pulang lagi. Singgah ke masjid agaknya.”
 Fatimah cuba melegakan hati anak-anaknya walaupun dia agak kurang pasti dengan jawapannya.
“Oh, macam tu.”
Tergambar kelegaan di wajah mereka berdua.

“Mak, pergi dulu ye. Jangan lupa datang tau. Shah mesti menang lumba lari hari ni.” Shahid mencium tangan ibunya diikuti Syahidah. Syahidah membonceng di belakang basikal abangnya dan memeluk pinggangnya kuat.
“Jalan baik-baik.”
“Baik mak. Assalamualaikum.” Mereka berdua memberi salam serentak.
“Wa’alaikumussalam.” Fatimah menjawab sambil tersenyum. Baru sahaja kakinya mahu menjejak ke dalam rumah, terdengar bunyi motor berderum. Sangkanya suaminya pulang, tetapi kenapa bunyi motornya lain sahaja.
“ Assalamualaikum.... kak Mah.. kak Mah...”
“ Wa’alaikumussalam.. Oh, Kamu Alang. Kenapa kelam-kabut je ni.”
“Kak Mah, abang Adli.. Abang Adli pengsan. Kami jumpa kat tepi sungai tadi. Sekarang ni dia di bawa ke hospital. Kak Mah cepatlah bersiap-siap. Kita pergi hospital sekarang juga.”
Lutut Fatimah seakan bergetar, hampir rebah dia rasakan tetapi digagahkan jua berlari ke dalam rumah untuk memakai tudung.
“Alang, kenapa dengan abang Adli kamu ni?”
 Air matanya tidak henti-henti mengalir sejak sampai ke hospital. Pak Adli berada di wad rawatan rapi. Keadaannya masih tidak sedarkan diri.
“Tak tahulah kak. Alang dengan abang Harun  jumpa abang Adli kat tepi sungai masa nak ke kebun. Terus Alang telefon ambulans.”
Fatimah masih mengalirkan air matanya. Mujur sahaja Allah mentakdirkan adik lelakinya  menemui suaminya itu. Dalam kesedihan dia tetap mengucapkan syukur kepada Allah, sekurang-kurangnya dia masih boleh menemui suaminya.
“Kak Mah temankanlah abang Adli ye. Budak-budak itu biar Alang yang tengok-tengokkan.”
“Terima-kasih Alang.”
“Sama-sama kak.”
 Alang terus berlalu pergi meninggalkan Fatimah yang masih menunggu suaminya sedarkan diri.  




[1] Surah an-Nas dan surah al-Falaq. Diriwayatkan oleh A’isyah r.ha sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila mahu tidur di tempat tidurnys setiap malam, Baginda merapatkan dua tapak tangannya. Lalu ditiupkan dan dibacakan surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan sudarh an-Nas, kemudian dengan dua tapak tangannya, Baginda mengusap tubuh yang dapat dijangkau, dimulai dari kepala, wajah dan bahagian tubuh hadapan. Baginda melakukannya sebanyak 3kali. Riwayat al-Bukhari 15/423, hadis no 4630.
Surah muawwizatain juga dibaca untuk melindungi diri dari gangguan syaitan kerana terdapat riwayat daripada Abu Said al-Khudri mengatakan bahawa dahulu Nabi s.a.w memohon perlindungan dari gangguan pandangan Jin dan manusia, tetapi setelah surah al-muawwizatain diturunkan Baginda s.a.w membaca kedunya dan meninggalkan yang lainnya. Lihat Baihaqi 6/82.
[2]   Doa ini bersumberkan dari riwayat  al-Barra’ bin A’zib bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila kamu mahu masuk tidur maka berwuduklah sepertimana kamu mengambil wuduk untuk solat, kemudian baringlah di atas lambung bahagian kananmu. Kemudian bacalah: Ya Allah, sesungguhnya aku serahkan wajahku kepadaMu, dan aku serahkan segala urusanku kepadaMu, dan aku bertawakkal kepadaMu dalam keadaan penuh harap dan penuh ketakutan, tiada tempat tuju dan tiada tempat berlepas diri dari-Mu melainkan hanya kepada-Mu, Aku beriman dengan kitab-Mu (al-Quran) yang Engkau turunkan,  dan Nabi yang Engkau utuskan. Maka jadikanlah itu akhir kalammu, jika kamu mati, nescaya kamu mati dalam keadaan fitrah (Islam). Hadith riwayat Muslim 13/25 dalam Bab “Ma Yaqulu ‘inda an-Naumi wa akhzi al-Madhaji’”.
[3] Bangun beribadah pada waktu malam setelah bangun tidur. 

No comments:

Post a Comment