Friday, November 2, 2012

Melakar Pelangi : Bahagian 1 (Mengulit Memori)


Picture on deviantart

Tekukur!!! Tekukur!!!
Burung merpati mula mengalunkan nyanyian menandakan pagi sudah tiba. Suasana pagi begitu tenang. Syahidah mula mengemas beg pakaiannya kerana pagi ini dia harus ke stesen bas Temerloh untuk pulang ke kampus. Esok kuliah sudah bermula, dia harus sampai sebelum pejabat di kolej kediamannya tutup kerana dia perlu mendaftar bilik bagi semester baru.

“Sya dah siap-siapkan barang? Ni mak ada gorengkan kerepek ubi sira kesukaan Sya. Kebetulan ayah kamu baru cabut ubi di belakang rumah semalam. Jadi mak goreng buat kerepek.”
Mak Mah menyelak langsir bilik Syahidah sambil menghulurkan beg plastik besar berisi kerepek. Sya menyambut sambil tersenyum.
“Terima kasih mak. Baru je termimpi-mimpi kerepek ubi sira mak malam tadi”. Sya menyambung bicara sambil ketawa.
“Bas pagi ini pukul berapa? Balik seorang sahaja?”
“Tak adalah. Macam biasa janji balik dengan Farhanah. Lagipun tiket dia yang tolong belikan. Kalau tidak salah bas pukul sepuluh pagi. Ayah ke sekolahkah pagi ni?”
“Ha’ah. Pergilah salam dahulu, nanti tak sempat jumpa pula.”
Mak  Mak menjawab sambil keluar semula menuju dapur. Syahidah bergegas turun ke ruang bawah rumah bertemu ayahnya yang sedang bersarapan.
“Ayah, Sya nak balik dah pagi ni. Sya nak minta maaf kalau ada salah silap, doakan sya ye ayah.”
Syahidah mencapai tangan ayahnya dan mencium tangan yang banyak berkorban menyara keluarganya selama ini.
“Yelah, belajar rajin-rajin.”
Pak Wan menyambut huluran salam Syahidah sambil tangannya menyelitkan beberapa not wang kertas.

“Eh, ayah tak perlu susah-susah. Sya masih ada simpanan lagi.”
“Tak mengapa, buat belanja jika perlu”.
Syahidah sebak. Dia ambil juga wang tersebut untuk menjaga hati ayahnya.
“Terima kasih ayah sebab jaga Sya, mak Sya dan adik-adik yang lain. Sya mohon ampun jika Sya pernah sakiti hati ayah dulu, Sya minta ampun ayah.”
Syahidah tidak sedar airmatanya menitis di depan ayah tirinya.
“Dah, kemas barang-barang cepat. Bersiap-siap, nanti tertinggal bas pula.”
 Pak Wan menyimpan hiba. Syahidah melepaskan tangannya dan tersenyum dalam keadaan hidungnya kemerah-merahan. Terlukis kemanisan dalam wajahnya yang sawa matang. Dia berlari ke atas rumah semula untuk memasukkan bungkusan kerepek yang diberi ibunya sebentar tadi.

Tittit...
Telefon bimbitnya bergetar.

One message receive
Sya pantas menekan punat open

Assalamualaikum Sya
Awak dah bertolak ke? Bas pukul 10 pagi macam biasa tau

Sender
Farhanah
+60134334334

Dia membalas mesej pesanan ringkas Farhanah semula
Wa’alaikumussalam. Okay.

“Bas pagi ni lambat pula. Mak nak balik dulu tak mengapa. Sya boleh tunggu seorang diri.”
Syahidah melihat jam tangannya menunjukkan jam 8.30pagi. Dia kasihan melihat ibunya terpaksa menunggu lama di hentian bas bersama-samanya.
“Tak mengapa, lagipun mak bukannya buat apa-apa lepas ini. Di rumahpun tiada orang”.
Syahidah terpaksa akur dengan kemahuan ibunya.
“Kat tempat orang jaga diri, maruah dan peribadi. Sekarang ni macam-macm perkara boleh jadi. Hanya iman yang boleh membenteng diri dari semua ansir-anasir jahat. Ingat pesan mak. Al-Quran jangan lupa dibaca. Hafalan jangan dilupa. Mak tak dapat nak didik kamu menghafaz al-Quran, tapi mak selalu doakan kamu jadi hamalatul Quran[1] nanti. Amin”
Syahidah merenung tepat wajah ibunya. Tergambar harapan dan kesedihan. Dia mencium pipi ibunya. Tiba-tiba hatinya dilanda sebak.
“Mak doakan Sya ye. Sya nak jadi macam mak. Mak baik sangat, mak solehah. Nanti kalau Sya kahwin, Sya nak jadi macam mak, solehah dengan suami dengan anak-anak. Terima kasih mak sebab bersabar dengan kerenah Sya selama ni.”
 Sya melepaskan tangannya lalu mengesat airmata di pipinya. Entah mengapa setiap kali pulang ke kampus mesti hatinya sebak.

Tintin..
Bunyi hon kereta.
Mereka berdua tersentak di perhentian bas. Tiba-tiba sebuah produa VIVA silver yang amat dikenali Syahidah berhenti dipinggir  jalan.
“Assalamualaikum. Sya nak balik ke? Jomlah akak hantarkan ke stesen bas. Kebetulan akak lalu juga stesyen bas Temerloh.”
Kak Sarah mempelawa sambil membuka cermin tingkap kereta.
“Wa’alaikumussalam. Eh, kak Sarah betul ke ni?”
“Betullah ni. Kalau nak hantar ke UIA memang tak bolehlah. Eh, makcik apa khabar. Nampak Syahidah je pulak.”
Kak Sarah keluar dari kereta bersalaman dengan ibu Syahidah.
“Baik-baik je, alhamdulillah. Terima kasih sangatlah nak tolong si Sya ni. Dia ni bukannya tau nak risau tertinggal bas ke. Hari ni bas lambat pula. Rosak agaknya.”
 Syahidah tersenyum simpul. Dia pernah mendapat jolokan anak manja oleh Kak Sarah kerana selalu ditemani ibunya menunggu bas jika hendak pulang ke kampus.
“Alah kak, mana ada saya manja. Mak saya tunggu sebab risau jadi apa-apa. Lagipun kan saya ni perempuan. Ye tak?”
 Syahidah menafikan kenyataan kak Sarah semasa mereka baru 2minggu berkenalan di sebuah sekolah. Syahidah mengajar sebagai guru ganti sepanjang cuti semester selama tiga bulan tahun lalu di Sekolah Menengah Agama Tarbiyah. Di sanalah dia mula berkenalan dengan kak Sarah dan bermulalah titik-titik sejarah yang akan membuka episod hidupnya.
“ Jaga diri baik-baik. Ingat pesan mak ya?”
“InsyaAllah mak. Doakan Sya. Kirim salam pada ayah ye”
Syahidah mencium tangan dan memeluk ibunya. Kak Sarah memasukkan beg pakaian Syahidah di bahagian tempat duduk belakang. Syahidah dan kak Sarah masuk ke badan kereta dan perlahan-lahan berlalu meninggalkan ibunya yang melambai dengan doa restu.

                                                *          *          *




[1] Hamlatul Quran adalah gelaran buat orang yang menghafaz al-Quran. 

No comments:

Post a Comment