Langit beransur
cerah, hujan yang lebat tadinya kembali reda. Cahaya matahari masih malu-malu
berselindung di balik awan.
Tingkap bilik
Kolej Anas bin Malik dikuak. Angin segar menyerbu masuk menampar lembut pipi
Azmi. Dia merenung bukit-bukau seperti lukisan terbentang di depan matanya.
‘SubhanAllah’.
Hatinya membisik.
Dia merenung
langit lama, membiarkan angin terus menampar lebut wajahnya. Hatinya masih
berkecamuk, ditimpa rasa bersalah yang teramat pada seseorang.
“Maafkan saya
buat awak macam ini. Saya tiada cara lain melainkan ini. Awak carilah lelaki
yang lebih baik dari saya, yang boleh bawa awak cari redha-Nya”.
Sejurus ucapan
itu, ada tangisan di hujung talian.
“Habis itu,
selama ini awak cuma janji kosong dengan saya? Kenapa awak bagi saya harapan
kalau awak tak mahu berkahwin dengan saya.”
Astaghfirullahal
azhim. Azmi mengeluh panjang. Ada sesuatu yang dia rahsiakan dari ramai orang.
Ada sebab dia memutuskan harapan yang terlalu ingin dia bina, tetapi dia
terlalu memikirkan apa orang kata. Dia masih belajar, belum bekerja tetap.
Hanya bekerja separuh masa sambil menampung pengajiannya.
Maisarah. Itu
muslimah yang menambat hatinya. Dia tidak mahu terus melukakan hati muslimah
itu. Dia harus memilih antara meneruskan hubungan dalam keadaan tidak halal
hingga kadang-kadang terlalai dengan cinta ataupun melepaskan Maisarah walaupun
dia tahu Maisarah akan tersangat derita dengan semua itu.
Tiba-tiba bahunya
ditepuk seseorang.
“Mengelamun apa
ni Mi?”
“Eh, terkejut
aku. Bila kau balik Man?”
Rahman
menggeleng-geleng kepala. Bukan sekali dia lihat Azmi termenung begitu, sejak
dua minggu lalu dia mula bersendiri. Pernah sekali ketika bangun untuk tahajjud
dia mendengar dengus tangis dari bilik Azmi. Bilik nampak cerah. Dia mahu
bertanya untuk memastikan tetapi mungkin Azmi masih belum bersedia berkongsi
masalah kepadanya.
Azmi beralih dari
tingkap bilik dan duduk di atas katil biliknya. Bilik hostel mereka
dipisah-pisahkan dengan dinding tanpa pintu. Hanya dihadang oleh langsir. Tidak
hairan kalau Rahman boleh masuk terus ke ruang bilik Azmi.
Mereka berdua
sahabat baik. Sejak dari Matrikulasi. Dan kini sudah ke tahun akhir mereka
belajar di tempat yang sama.
“Aku rasa dah
zalimi perempuanlah Man.”
Dahi Rahman
berkerut. “Zalimi perempuan? Maksud kau?”
Diam.
Rahman duduk di
sebelah Azmi memegang bahunya. Azmi tunduk. Ada airmata lelaki seakan mahu
mengalir.
“Mi, kau ni
terlalu baik bagi aku. Kenapa pula kau kata dah zalimi perempuan. Ada yang aku
tak tahu ke? Ceritalah kat aku, mana tahu aku boleh ringankan hati kau”.
Sunyi.
“Kalau aku cerita
kau jangan terkejut ya?”
“InsyaAllah”
“Aku bercinta
sebelum ni”.
Terbeliak mata
Rahman.
“Dekat setahun
dah aku bercinta dengan Maisarah. Dia budak perempuan yang baik. Aku janji nak
kahwin dengan dia, tapi lama-lama kami dah tak boleh nak jaga hubungan. Selalu sms,
call, kadang-kadang kata rindu dan sayang. Aku rasa berdosa. Aku memang
niat nak kahwin dengan dia sejak pertama kali kenal dengan dia, tapi aku masih
tak mampu lagi.”
Rahman hanya
mendengar. Dia sudah agak kerana Azmi selalu bergayut bila tengah malam di
kamarnya. Entah bercakap dengan siapa dia pun tidak tahu. Tetapi nampak gaya
mesra.
“Aku taknak bawa dia
ke murka Allah. Aku pernah baca kat status Hilal Asyraf di Facebook, kalau
cinta kita nak bawa dia sama-sama ke syurga. Tapi aku? Benarkah aku cintakan
dia kalau aku hanya buat dia lalai dan hanyut dengan perasaan?”
Sejak tu, aku
selalu ragu-ragu. Aku nak putuskan hubungan aku dengan dia tapi aku serba
salah. Aku tahu dia akan sedih, menangis. Aku ni zalim. Sampai aku betul-betul
nekad dengan keputusan aku. Aku putuskan hubungan dengan dia dan aku berkeras
minta dia cari yang lain.”
“Mi... masih
belum terlambat untuk kau buktikan cinta kau yang sebenar”
Azmi menoleh ke
kanan, memandang tepat ke wajah Rahman. Dahinya berkerut meminta jawapan.
“Maksud kau?”
“Buktikan cinta
Kau pada-Nya, baru kau buktikan cinta padanya. Kalau benar kau cintakannya, kau
pintalah dari Allah supaya jaga dia dan beri dia kekuatan menghadapi semua ini.
Jangan kau kasari dia. Kau sendiri tahu kan hati perempuan ni macam mana. Kalau
kau terangkan keadaan sebenar kepada dia dengan cara yang baik, dia akan faham
dan cuba untuk kuatkan hati menghadapi semua ini.”
“Kau kata kau
cintakan dia kan. Cinta kau tak perlu dilafaz lagi padanya. Perasan kau tak
perlu diluah lagi. Dia belum halal untuk kau, syaitan selalu goda anak adam
dalam soal perasaan. Perempuan ni kelemahan dia adalah telinganya. Jadi memang
salah kalau kau dah mulakan begitu dan suruh dia lupakan kamu macam tu je tanpa
beri penjelasan.
“Syukurlah kalau
kau sedar semuanya sebelum jadi bertambah teruk. Kau orang yang faham agama,
kau sendiri tahu kan perbuatan yang menghampiri zina itu pun hukumnya haram. “
“Jadi aku perlu
macamana sekarang?”
“Teruskan
istikharah. Kalau hati kau masih mahukan dia, usaha kumpul duit, rancang masa
depan. Jumpa makayah dia dan pinang dia.”
Mata Azmi
bersinar-sinar.
“Aku dah kecewakan
dia. Mahukah dia terima aku nanti.”
“Mi.. kau lupa ye
satu perkara?”
Dahi Azmi
berkerut lagi menagih jawapan.
“Hati kita ini
bukan kita yang pegang. Tetapi Allah yang pegang. Kau pintalah dari Allah. Kau
dah terangkan padanya apa yang sebenarnya kau mahu. Bukan mahu menzalimi dia
tapi kau nak Allah redha.”
“Kalau dia memang
untuk kau, pasti Allah akan gerakkan dan lembutkan hati dia untuk faham apa
yang kau buat untuk dia. Kalau masa tu dia belum ada sesiapa pinanglah dia
cepat-cepat. Tapi jangan lupa buat persediaan untuk perkahwinan. Jangan biarkan
hidup bujang kau diisi dengan benda yang tak bermanfaat, isilah dengan ilmu rumahtangga
dan kehidupan akhirat sana. Ambil peluang untuk dekatkan diri kepada Allah.
Jangan jatuh di tempat yang sama. Pilih apa yang Allah redha.”
Azmi mula rasa
lapang. Dia nampak apa yang dia perlu buat.
“Terima kasih
Man. Doakan aku.”
Rahman tersenyum.
Azmi ini lembut hati. Dia takkan menyakiti hati orang dengan sengaja, pasti ada
sebab. Tapi apalah yang boleh dilakukakan oleh Azmi, dia juga manusia diuji
dengan perasaan.
‘Moga kau tenang
sahabat’. Rahman bermonolog.
* * *
Jari Azmi mula
menari-nari di depan laptop. Ada sesuatu ingin disampaikan kepada Maisarah. Dia
tidak lagi menghubunginya lewat sms, call. Cukuplah di email. Dia berusaha
menerangkan keadaan, dia tidak mahu lagi berkasar dengan Maisarah untuk buat
wanita itu benci padanya lagi lantas bisa melupakannya.
Subject: Maafkan
saya
Assalamualaikum
Moga awak dalam
keadaan sihat. Saya tahu awak marah pada saya, awak rasa dizalimi, awak rasa
sedih dan terlalu sakit hati dengan apa yang saya buat. Tapi saya mohon sudi
baca apa yang saya ingin katakan.
Maafkan saya
berkasar dengan awak tempohari. Saya hanya mahu awak lupakan saya walaupun itu
sangat mustahil. Saya rasa berdosa menodai hati awak. Awak muslimah yang baik,
terjaga. Tapi saya yang merosakkan mutiara dalam diri awak.
Maisarah, saya
tidak pernah berniat mahu mempermain-mainkan hati awak apatah lagi saya
tersangat menghormati wanita. Saya ada kakak, saya ada adik perempuan. Tentu
sakit bila darah daging sendiri diperlakukan begitu.
Atas nasihat
sahabat, saya menulis email ini pada awak. Ada perasaan cinta tu tak salah kan?
Cumanya cara kita yang salah. Bukankah semua itu hanya boleh apabila
masing-masing sudah halal? Awak tahu kan semua itu sebab awak belajar agama.
Saya taknak kita
hanyut dalam meraikan nafsu sendiri. Saya buat keputusan memutuskan hubungan
kita sebab saya belum bersedia untuk ambil awak jadi isteri saya. Saya belum
mampu untuk berkahwin. Kalaulah awak ada kat tempat saya, mungkin awak akan
tahu kenapa saya buat semua ni.
Satu yang saya
nak awak tahu, saya tak pernah nak mempermainkan awak. Saya hanya nak lihat
awak bahagia dalam kasih sayang Tuhan. Tolonglah jangan terlalu bersedih.
Yakinlah ada yang lebih baik Allah akan berikan untuk awak.
Memang tak ramai
orang macam saya, tapi ramai lagi lelaki yang baik di luar sana. Awak tolong
maafkan saya dan doakan saya. Saya doakan awak bahagia dengan kehidupan awak
lepas ni. Tolong maafkan saya lagi sekali.
Wassalam
* * *
Dua tahun selepas
email itu dihantar, Azmi sudah berada di sebuah masjid. Di hadapannya kini adalah
seorang muslimah. Dengan berpakaian serba putih, berjubah lace dan bertudung
putih dengan solekan yang tipis.
Ah, bidadari
duniakah di hadapanku ini. Azmi terpana memandang wanita yang masih tunduk
memandang lantai masjid.
Tidak dia sangka,
Maisarah sudi menerimanya kembali setelah pernah jiwa wanitanya sakit. Hanya
kerana sebuah email yang dihantar oleh azmi, hatinya seakan memahami semua itu.
Maisarah ambil keputusan untuk menunggu Azmi. Dia yakin Azmi lelaki yang baik.
Istikharah dia teruskan dan dia tidak lupa untuk berdoa memohon petunjuk dari
Allah atas keputusannya ini. Setelah itu mereka tidak pernah berbalas mesej,
tidak pernah call. Masing-mainsg sibuk dengan kehidupan sebagai pelajar,
menambah ilmu.
Dan kini,
Maisarah yang dihadapan Azmi, sudah sah
bergelar isteri kepada Khairul Azmi.
Cincin disarung
di jari manis. Maisarah tersenyum malu-malu. Pertama kali bersentuh tangan
dengan lelaki yang sebelum ini tidak halal buatnya.
Tangan Azmi
dicium Maisrah, terasa basah ruang atas tangannya. Tahulah dia Maisarah
menangis. Ada rasa sebak dan terharu.
Dan kini, syaitan
menangis kerana gagal merosakan pasangan anak adam ini. Dan cinta mereka ini
adalah cinta terhalal, dan setelah ini
mereka sama-sama berusaha untuk menempuh samudera ke syurga-Nya.
Benarlah, bila
manusia itu meninggalkan sesuatu yang haram, Allah akan berikan sesuatu yang
lebih baik lagi berupa sesuatu yang halal. Azmi dan Maisarah berpisah dari yang
perhubungan yang tidak halal, Allah
berikan mereka pula sebuah bahagia berupa perhubungan yang halal.
‘Ingatlah kalau kamu
pelihara agama Allah, Allah akan pelihara kamu. ‘
No comments:
Post a Comment