“Mak dah tak sayangkan arwah ayah ye?”
Ibu Syahidah tersenyum sambil membelai rambut
puteri sulungnya.
“Ibu tak pernah lupakan arwah ayah. Arwah ayah
cinta pertama mak selepas kami diijabkabulkan. Takkan mak lupakan ayah yang
banyak mengajar mak tentang agama Islam dan menjadikan mak muslimah yang
menutup aurat dengan sempurna seperti sekarang. Mak tetap sayangkan arwah
ayah.”
“Tapi, kenapa mak kahwin lagi dengan Pak Wan?
Itu maknanya mak tak sayangkan arwah ayah lagi. Mak dah lupakan janji mak
dengan arwah ayah?”
Mak Mah merenung wajah Syahidah yang masih
memprotes pernikahannya dengan Wan Abdul Samad, seorang duda tidak beranak. Pak
wan kehilangan isterinya dalam satu kemalangan ketika pulang dari hospital.
Isteri Pak Wan ketika itu sarat mengandungkan anak sulung mereka. Usia
perkahwinan mereka baru menjangkau dua tahun.
Ketika peristiwa itu, Pak Wan berhati-hati
membonceng motor melalui laluan jalan raya. Bencana tidak diduga, sebuah kereta
cuba memotong tetapi tanpa disangka kereta tersebut melanggar motor yang
dibonceng Pak Wan dan isterinya yang sedang sarat mengandung. Pak Wan tertimpa
motor sedangkan isterinya tercampak ke semak menyebabkan pendarahan yang banyak
lantas meragut nyawanya dan juga anak di dalam kandungannya.
Hampir seminggu Pak Wan tidak sedarkan diri.
Pak Adli, iaitu suami kepada Mak Mahlah yang selalu berulang-alik ke hospital
melawat Pak Wan yang masih tidak sedarkan diri. Tiada seorang warispun yang
menjenguk Pak Wan. Pak Adli juga baru mengenali Pak Wan kerana Pak Adli adalah satu-satunya saksi yang melihat
kejadian tersebut dan membawanya ke hospital pada hari kejadian. Pak Adli jugalah
yang menguruskan pengebumian jenazah arwah isteri Pak Wan dan anaknya yang juga
meninggal di dalam kandungan.
“Aku kat mana ni? Jamilah mana. Anak aku tak
apa-apa kan?”
Itu
kata-kata yang pertama lahir dari mulut Pak Wan apabila sedarkan diri. Pak Adli
hanya melihat keadaan Pak Wan sambil menenangkannya.
“ Kau Siapa? Mana isteri aku. Dia selamat
kan?”.
“Wan kena banyak-banyak bersabar. Allah lebih sayangkan
isteri dan anak Wan.”
Pak Wan meraung menangis tidak keruan.
“Semua ini salah aku. Kalau aku tak bawa
Jamilah naik motor tentu tak jadi begini. Ya Allah, kenapa Kau ambilnya dahulu
daripada aku?”
“Sabar Wan. Beristighfar, Allah takkan
menimpakan musibah melainkan kepada orang yang mampu. Allah tahu Wan mampu
hadapi semua ini, kerana itu Dia uji Wan sebegini rupa. Siapa yang pegi dahulu
bukankah itu ketentuan. Banyak-banyakkan sabar.”
Pak Adli menepuk-nepuk bahu Pak Wan, dia
sungguh simpati dengan nasib lelaki itu. Bukan senang untuk menerima sebuah
musibah berupa pemergian orang yang disayang. Tetapi itulah takdir, apabila
Allah berkehendak akan sesuatu tiada sesiapa yang boleh menghalangnya.
Pak Wan masih menangis, tetapi kini jiwanya
semakin reda.
“Bukankah Allah swt berfirman yang bermaksud
“sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar”[1]. Wan
bersabarlah ye. Setiap ujian itu tentu ada hikmahnya.”
Kata-kata Pak Adli sekurang-kurangnya
meredakan kesedihan hati Pak Wan. Benarlah sesungguhnya ayat-ayat al-Quran
adalah syifa’[2].
Setiap kalam-Nya menyelinap dalam hati manusia yang bersedih lalu
menyembuhkannya perlahan-lahan. Subhanallah..
Sambil menahan kesedihan, Pak Wan menahan
kesakitan. Mujur sahaja dia hanya mengalami lebam-lebam dan luka di bahagian
siku.
“Ini aku ada bawakan makanan. Sudah seminggu
engkau tidak sedarkan diri.”
Pak Adli cuba berinteraksi dengan Pak Wan
semula setelah melihat keadaan Pak Wan agak reda.
“ Siapa kau dan mcam mana engkau boleh tahu
nama aku?”
“Oh, lupa nak kenalkan diri. Nama aku Hassan
Adli. Aku yang bawa engkau ke sini. Sebab tu aku tahu nama engkau Wan Abdul
Samad. Ini beg dompet engkau.”
Pak Adli menghulurkan beg dompet yang masih
terisi wang RM200 dan kad pengenalannya sambil menjawab sekaligus pertanyaan
Pak Wan.
“Sudahlah, sekarang ini engkau berehat dulu.
Luka kau masih baru. Ini aku ada bawa bekalan nasi, mana tahu kau tak lalu
dengan makanan hospital. Jangan lupa makan ye. Aku kena balik dulu, nak ambil
anak aku dari sekolah tengah hari ni. InsyaAllah petang nanti aku datang lawat
engkau lagi”.
Pak Wan masih diam sambil merenung mangkuk
tingkat di atas meja pesakit seolah-olah penglihatannya tembus ke dalam bekas
makanan itu. Pak Adli melihatnya dengan penuh simpati dan berlalu keluar sambil
memberikan salam walaupun salamnya tidak kedengaran dijawab oleh Pak Wan.
* * *
“ Sya nak turun di Duta atau Puduraya?”
Farhanah bertanya sambil memisat-misat
matanya. Farhanah terjaga setelah hampir sejam melelapkan mata sejak bas mula
bergerak.
“Sya ikut Ana lah.”
Sya menoleh dan menjawab ringkas sambil mengalihkan
pandangannya semula ke luar tingkap. Dia tahu sahabatnya itu kepenatan kerana
sepanjang bercuti di kampung pastinya Ana membantu ibunya membuat nasi lemak
dan kuih muih untuk dijual di kantin sekolah. Farhanah hidup susah. Bapanya
sudah meninggal sejak dia masih berumur 13 tahun. Ayahnya meninggal dunia
kerana leukemia. Sya banyak belajar erti ketabahan dan kegigihan daripada
kepayahan kehidupan Farhanah. Farhanah merupakan anak sulung daripada 4
beradik, di bawahnya masih ada lagi 3 orang tanggungan yang bersekolah.
Farhanah seorang pelajar terbaik, setiap semester dia mesti akan tersenarai di
dalam senarai dekan. Hal itu menjadikan Sya mula mengikuti kegigihan dan
kesungguhan Sya walaupun mereka di dalam bidang pengajian yang berbeza.
“ Kita terus ke Puduraya lah ye. Lepas itu
kita naik bas terus ke uia.”
Sambung Farhanah.
“Okay, macam biasalah kan?”.
Syahidah
menjawab dan tersenyum senang dengan sikap sahabatnya itu.
No comments:
Post a Comment