Monday, August 22, 2011

YANG TERSEMBUNYI



Yang tersembunyi pada takdir-Mu
Dalam sela-sela hidupku
Itulah yang menangiskan
Itulah yang meresahkan

Yang tersembunyi pada takdir-Mu
Apabila ia terus berjalan
Sebelum hijab hikmah tersingkap
Ia telah menumbuhkan ketabahan
Ia menyemaikan kesabaran
Ia menciptakan kecekalan
Ia menyembuhkan kedukaan
Ia menghilangkan keresahan
Ia meniupkan ketenangan
Pada diri yang dahulunya lemah
Pada hati yang dahulunya lelah

Dan bila yang tersembunyi itu
Mula mengajarku erti berserah
Kubentang kertas hati
Dan kulakar rasa redha
Pada ketentuan-Mu
Pada jalan takdir-Mu

Wardah almisk
22 Ramadhan 1432H
:: Sedang mencari hikmah yang tersembunyi, juga teguran dan bicara kasih Tuhan pada ujian kehidupan.. temukanku padanya ya Rabb, moga rasa redha dan sesalanku ini kian tuntas geraknya, menjadi sebuah rasa kerdil dan hinanya hamba di hadapan-Mu Ya Ilahi..

Saturday, August 20, 2011

Bisikkan dalam Sanubari



Sabarlah

Bukan Dia tidak memilih kamu

Tetapi mungkin sahaja belum tiba masa untuk itu


Tabahlah

Bukan Dia tidak kasihankan dirimu

Tetapi mungkin sahaja Dia ingin menguji setiamu


Redhalah

Bukan Dia tidak mahu mendengarkan rayuanmu

Tetapi mungkin sahaja Dia ingin hatimu lunak dengan ujian yang bertalu

Dan jika kamu merasa beban di hati itu terlalu berat

Tusukan mehnah terlalu menjerat

Muhasabah dan teruslah muhasabah..


Yang pasti

Dia tidak pernah membiarkanmu

Menjalani kesakitan itu sendiri

Merasai derita itu sendiri


Janji itu pastinya kan tertunai

Andai yang fana tidak kau dapati

Temukan ia di akhirat abadi

Asal kamu redha, redha dan redha


Wahai hati

Kuatkan diri

Dan bisikkan dalam sanubari

Kau tak sendiri


~ Wardah almisk

29Julai 2011

Di Hujung Doa



Di hujung doa
Kusebut nama-Mu
Bersama jiwa yang mencengkam harap

Di hujung doa
Luluhkanlah kesepian jiwa
Lenyapkanlah zulmat yang meraja
Hapuskanlah kekosongan rasa

Di hujung doa
Aku menutur pinta
Yang dirantai bersama usaha

Dan di hujung doa
Hanya atas nama-Mu ku seru
Biarlah ku masih berada di hujung doa
Untuk terus meminta
untuk terus mengadu
dan untuk terus menagih jawapan dari-Mu

~wardah almisk
14 Ramadhan 1432H