Friday, February 21, 2014

Ku Semai Cinta: Bab 3


Solat Isyak di Masjid at-Taqwa diimamkan oleh Farhan. Usai solat Isyak, dia memberikan tazkirah tentang kelebihan orang yang menuntut ilmu.
                          “Ibu dan bapa yang saya kasihi. Orang yang menuntut ilmu ini Allah akan mudahkan jalannya mencari Syurga. Sepertimana disebut di dalam sebuah hadith: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan menuntut ilmu, Allah akan memudahkan jalannya menuju Syurga”.
                          “Ustaz, adakah menuntut ilmu itu maksudnya kita belajar di masjid dan di surau sahaja? Ataupun maksudnya kena belajar di universiti?” Seorang jemaah masjid bertanya.
                          Farhan tersenyum.
                          “Ayah-ayah dan ibu-ibu yang saya kasihi. Menuntut ilmu itu sifatnya luas. Di mana-mana sahaja kita boleh menuntut ilmu. Di masjid boleh, di surau boleh, di kelas boleh.”
                          “You tube ustaz?”
                          Seorang anak kecil mengangkat tangan dan bertanya. Farhan terkejut apabila terdengar suara kanak-kanak mengajukan soalan.
                          “Masya Allah, ada ahli syurga rupanya di sini. Siapa nama adik?” Farhan bertanya.
                          “Haziq”
                          “Masya Allah. Sedap namanya. Di You Tube pun boleh dik. Jika mampu ke masjid pergilah ke masjid. Jika pergi ke masjid hanya sempat untuk solat dan tidak sempat untuk mengikuti kelas pengajian, boleh menggunakan kemajuan teknologi seperti sekarang ini. Di youtube, Facebook, live streaming dan sebagainya. Niatkan hati ikhlas untuk cari ilmu Allah. Tetapi lebih afdhal apabila kita mencari seorang guru yang kita sudah selidiki bahawa ilmu yang dia sampaikan itu dari sumber yang benar. Mudah-mudahan Allah nilai setiap amalan kita.” Ustaz Farhan menjelaskan kelebihan-kelebihan lain bagi orang yang menuntut ilmu seperti dikurniakan mati syahid, dinaikkan satu darjat, boleh menghilangkan kejahilan dan sebagainya.
                          Setengah jam tazkirah seakan tidak cukup. Lunak suara Farhan menambat hati para jemaah. Sejak pulang dari Jordan 3 bulan lalu, Farhan memilih untuk menetap di kampung untuk menjaga ibubapanya. Dia memohon untuk mengajar di sekolah agama persendirian sahaja memandangkan dia tidak mempunyai sijil perguruan ikhtisas seperti guru JQAF atau KPLI. Kerana itu, dia memilih SMAT untuk mencurahkan sedikit ilmu kepada anak bangsa sebelum dia berfikir untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana.
                          Setiap kali tiba waktu solat, dia akan ke Masjid at-Taqwa dan sekali-sekala akan diminta oleh imam masjid tersebut untuk mengimamkan solat.
                          Sebagai graduan dari timur tengah, Farhan menyahut seruan itu sebagai tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah untuknya sebagai pelajar lepasan pengajian Islam.
                          Usai tazkirah, para jemaah bersurai untuk pulang ke rumah masing-masing. Kebetulan hari itu adalah hari sabtu, Farhan memilih untuk duduk lama di masjid setelah meminta izin daripada imam masjid tersebut.
                          “Ini kunci masjid. Nanti Ustaz tolong kuncikan pintu utama ye? Maklum sahajalah. Bukan tak beri izin sesiapa masuk ke masjid malam-malam begini, tetapi takut ada yang mencemarkan masjid dan menyalahgunakannya pula. Lagi pula sekarang ini banyak kejadian kecurian barangan masjid seperti karpet, pembesar suara dan peti tabung masjid. Sedangkan itu semua prasarana yang wajib saya jaga sebagai orang yang dipertanggungjawabkan di sini.” Jelas Pak Imam.
                          “Baiklah Pak Imam. insyaAllah nanti saya akan kuncikan. Esok sebelum subuh saya akan datang awal untuk buka semula pintu masjid.”
                          “Tak mengapa, saya ada kunci pendua. Ustaz simpan dahulu kunci ini. Saya percayakan ustaz insyaAllah.”
                          “Kalau begitu terima kasih ye Pak Imam.”
                          “Sama-sama. Saya balik dulu.”
                          “Baiklah.”
                          Farhan bersalaman dengan Pak Imam kemudian duduk di ruangan masjid. Dia mengambil mushaf di poket baju melayunya dan membuka helaian surah al-Baqarah untuk mengulangi hafazan yang pernah dihafalnya. Sampai ke ayat 216, Surah al-Baqarah dia berhenti. Farhan merenung ayat itu dalam-dalam.
                         
“Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu padahal itu baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal itu tidak baik bagi kamu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”

                   Ayat al-Qur’an itu seolah-seolah sedang berbicara dengannya secara terus, lalu sesaat itu juga airmatanya tidak semena-mena mengalir. Dia tenggelam dalam tangisan lantaran terimbau kisah lampau hidupnya.

‘Ya Allah. sesungguhnya aku lemah dalam mendepani ujian ini. Bantulah hamba-Mu ini untuk melupakan masa lalu yang bersarang di jiwa. Berikanlah aku hati yang redha dan tetap bersangka baik dengan ketentuan yang telah Engkau tetapkan buatku. Ya Allah kurniakanlah untukku hikmah dan ganti yang lebih baik lagi dari apa yang telah luput dari hidupku’

Doa itu hanya tertutur di hatinya. Farhan tidak mampu melupakan kenangan lalu yang benar-benar membuatnya jatuh lemah seakan-akan hilang seketika sangka baiknya kepada Allah.