Kejamkah takdir
Andai dia yang kusayang Kau ambil
Aku redha atas ketentuan-Mu ya Ilahi…
Nafas Adli turun naik, dadanya berombak kencang. Fatimah
yang sejak seminggu menunggu setia di sisi Adli terjaga dari tidur. Dia cemas
melihatkan keadaan suaminya.
“Nurse..Nurse.. tolong panggilkan doktor.
Suami saya..suami saya..”
Fatimah berlari keluar dan meminta jururawat
di situ memanggilkan doktor dengan segera. Fatimah resah menunggu di luar wad.
Hampir sejam dia menunggu sambil airmatanya mengalir tidak henti-henti.
“Kak Mah, macam mana keadaan abang Adli?”
Alang yang baru tiba terus mengajukan soalan yang Fatimah sendiri tidak dapat
menjawabnya. Belum sempat Fatimah membuka mulut, pintu wad dibuka. Kelihatan
doktor berjalan menghampiri mereka berdua.
“Maafkan saya. puan, Allah lebih sayangkan dia.
Kanser otak yang dialaminya sudah di tahap terakhir, kami tidak dapat berbuat
apa-apa.”
Seolah-olah dunia gelap dirasakan. Suami yang
selama ini merupakan tempat bergantung pergi meninggalkannya. Kanser otak yang
cuba dirahsiakan suaminya akhirnya dapat diketahui juga, tetapi sudah
terlambat. Fatimah hanya tahu setelah melihat jasad Adli tidak bernyawa.
Pandangan Fatimah kelam. Dia rebah di
situ juga.
* * *
Andai benar kematian akan menjemput
Tiada siapa bisa menghalangi
Kerna semua itu ketentuan
Buat kita yang bernama hamba...
‘Mah janji akan jaga anak-anak kita dengan baik. Mah akan
didik mereka supaya mereka menjadi anak yang soleh dan solehah serta selalu
doakan abang.’
Fatimah membisik janji itu di dalam hati sambil
mengusap kepala anak-anaknya dan mencium ubun-ubun Shahid dan Syahidah yang
masih kecil.
“Kenapa ayah meninggal mak? Ayah merajuk
dengan kita ke?” Soal Syahidah. Dia memahami erti kematian, namun masih belum
memahami kenapa manusia perlu mati. Fatimah melipat tikar mengkuang dan membawa
anak-anaknya berjalan pulang. Sambil berjalan dia menjawab soalan Syahidah.
“Bukan sebab ayah merajuk, tetapi sebab Allah
sayangkan ayah. Allah jemput ayah dahulu sebelum kita semua. Sya dan Shah kena
selalu ingat bahawa semua manusia akan mati. Tiada yang kekalpun di dunia ini.”
“Kenapa Allah ambil ayah dahulu.” Sambung Shahid
bertanya.
“Sebab setiap manusia sudah ditentukan berapa
lama dia akan hidup di dunia. Ayah sudah ditentukan hidup sampai waktu ini,
maka Allah ambil nyawa ayah dulu. Jadi kita yang masih hidup kena selalu doakan
ayah. Shah dan Sya sayangkan ayah kan?” Fatimah menyoal seakan memujuk dan
mereka berdua mengangguk serentak.
“Sya sayangkan ayah.. sayangkan mak..
sayangkan abang Shah juga.” Sambung Sya.
* * *
Sudah hampir dua tahun Adli meninggal dunia. Shah sudah
naik tingkatan dua. Kini dia bersekolah di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi
Gombak. Keputusan 5A yang dia capai melayakkan dia untuk ditawarkan ke sekolah
berasrama penuh itu. Dia jarang dapat pulang ke rumah. Mungkin sebulan sekali
sahaja dia akan pulang mengubat kerinduannya pada ibu dan adik perempuannya.
Syahidah pula sudah darjah lima. Dia sudah
mula memakai tudung jika hendak ke mana-mana. Dia suka meniru-niru ibunya
memakai tudung dan menggaya-gayakannya di hadapan cermin. Anak kecil itu selalu
mengatakan:
“Bertudung itu cantikkan mak?”
Fatimah selalu tersenyum setiap kali
mendengarkannya.
“Yang paling penting jika bertudung Allah sayang,
Sya nak Allah sayang tak?”
Syahidah mengangguk. Dia mencium
tangan ibunya lantas berlari-lari anak sambil membawa beg galas dan mengambil
basikalnya.
“Mak, Sya pergi sekolah dulu ye. Assalamualaikum.”
Syahidah mengayuh basikal menuju ke sekolahnya untuk latihan bola jaring.
Fatimah menghantar anaknya dengan pandangan sambil menjawab salam Syahidah.
“Kak,
Alang nak tanya akak” Adik lelakinya yang memang berada di beranda rumah cuba
membuka bicara. Fatimah mendengar sahaja sambil tangannya mengupas buah
mempelam muda.
“Kak Mah pernah terfikir nak kahwin lagi?” Tangan
Fatimah berhenti dari terus mengupas mempelam itu lantas memandang wajah Alang
kehairanan.
“Bukan maksud Alang nak suruh akak cari
pengganti Abang Adli, tetapi untuk jaga kak Mah dan anak-anak akak. Sampai bila
akak nak jaga mereka seorang diri. Alang tak lama lagi dah nak berumahtangga.
Alang takut tak dapat nak jenguk kakak anak beranak selalu.”
Fatimah termenung jauh. Ada kebenaran
kata-kata Alang. Tetapi hatinya masih tidak boleh mencari pengganti suaminya
yang telah meninggal dunia dua tahun lalu. Dia juga merisaukan penerimaan kedua-dua
anaknya nanti.
“Entahlah Alang. Akak masih belum bersedia.” Fatimah
memberi alasan.
“Kak Mah, sebenarnya ada yang merisik akak.”
Alang membuka cerita. Fatimah hanya menanti perkataan seterusnya sambil
mengupas mempelam seakan tidak berminat dengan risikan tersebut.
“Kak Mah kenal lagi dengan Wan Abdul Samad?
Orang yang Abang Adli tolong bawa dia ke hospital? Abang Wan tu yang kita
uruskan jenazah isteri dan anaknya yang meninggal dalam kandungannya 2tahun
lepas.”
Fatimah masih ingat lagi lelaki tersebut.
Semasa dia menunggu Adli di hospital, Wan Abdul Samad selalu datang melawat dan
membawa buah tangan untuk suaminya.
“ Ingat lagi.” Fatimah memberi respon.
“Abang Wan tu merisik akak. Kalau akak setuju
dia nak melamar akak.” Fatimah seakan terkejut. Umurnya yang sudah hampir menginjak
39tahun itu tidak dapat membayangkan bahawa
dirinya masih mendapat tempat di hati seorang lelaki.
“Kak Mah istkharahlah dahulu. Abang Wan
beritahu dia tidak memaksa akak, tetapi jika akak bersetuju beritahulah pada
Alang ye nanti.”
* * *
Malam itu Fatimah melelapkan mata, dan di dalam tidurnya seolah-olah
bermimpi melihat seorang pemuda memegang tangan anak-anaknya. Fatimah melihat
dari kejauhan sambil tersenyum. Dia tidak tahu siapa susuk lelaki itu tetapi
anak-anaknya begitu rapat sekali dengannya.
Tiba-tiba Fatimah terjaga. Dia melihat jam di dinding menunjukkan jam 4.50
pagi, lantas bingkas bangun dan terus menuju ke bilik air untuk membersihkan
diri. Fatimah melaksanakan solat sunat tahajjud dan melakukan solat sunah istikharah[1]
lagi. Dia mahu memohon petunjuk atas risikan Wan Abdul Samad. Mudah-mudahan
Allah memberikan hidayah kepadanya. Setelah melaksanakan solat sunat dua rakaat,
di akhir sujud dia berdoa dengan doa yang dia belajar di kelas pengajian yang
dia hadiri setiap minggu di surau kampungnya:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ
بِقُدْرَتِكَ وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ الْعَظِيمِ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلَا أَقْدِرُ
وَتَعْلَمُ وَلَا أَعْلَمُ وَأَنْتَ عَلَّامُ الْغُيُوبِ اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ
أَنَّ هَذَا الْأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَمَعَادِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي
فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي وَبَارِكْ لِي فِيهِ اللَّهُمَّ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُهُ
شَرًّا لِي فَاصْرِفْنِي عَنْهُ وَاصْرِفْهُ عَنِّي وَاقْدِرْ لِي الْخَيْرَ حَيْثُ
كَانَ ثُمَّ رَضِّنِي بِهِ
Maksudnya: Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya
aku memohon petunjukMu dengan ilmu-Mu, pertolonganMu dengan KudratMu, dan aku
memohon dari-Mu kebaikan yang besar, sesungguhnya Engkau Maha Mentakdirkan
sedangkan aku tidak mampu, sesungguhnya Engkau mengetahui sedang aku tidak
mengetahui dan Engkau Maha Mengathui segala yang ghaib. Ya Allah, sekiranya
pada pandanganMu perkara ini (disebutkan
perkara) baik untukku, di dalam agamaku, kehidupanku dan tempat kembaliku juga
pengakhiranku maka takdirkanlah ia untukku dan permudahkanlah ia untukku serta
berkatilah hidupku dengannya. Ya Allah sekiranya pada pandanganMu perkara ini
buruk untukku maka jauhkanlah aku darinya dan jauhkanlah ianya dariku, dan
takdirkanlah untukku kebaikan pada setiap tempat dan setiap masa kemudian
jadikanlah aku redho padanya.
Sebulan berlalu.
“Alang, insyaAllah akak terima lamaran itu.”
Fatimah memberikan jawapan setelah hampir sebulan dia memohon petunjuk dari
Allah. Akhirnya dia membuat keputusan menerima lamaran Wan Abdul Samad.
“Alhamdulillah. Terbuka juga hati Kak Mah.
Nanti Alang sampaikan pada Abang Wan insyaAllah.“
Alang menghabiskan minuman yang kakaknya
sediakan lantas menghidupkan enjin motor untuk menyampaikan berita tersebut
kepada Wan Abdul Samad. Dia sangat senang hati jika lelaki itu yang menjadi
suami kepada kakaknya. Wan seorang yang amat bersopan dalam berkata. Dia tidak
pernah melihat Wan berkasar. Walaupun begitu, dia juga seorang yang tegas.
Tugasnya sebagai seorang guru sekolah rendah menjadikan dia ditakuti pelajar-pelajar
namun dia tetap disenangi oleh anak didiknya.
“Aku terima nikahnya Siti Fatimah binti Haji Sa’ad dengan
maskahwinnya senaskah al-Quran tunai.” Akad nikah disaksikan Alang dan Pak Zaid
iaitu abang sulung Fatimah sendiri. Dengan sekali lafaz maka Fatimah dan Wan
Abdul Samad sudah sah menjadi suami isteri. Majlis tersebut hanya dihadiri
keluarga dan saudara terdekat kedua belah pihak.
“Barakallahu laka, wa baraka ‘alaika wa jama’a
bainakuma fil khair wal hamdulillahi rabbil a’lamin”.
Semua mengaminkan doa yang dibaca tok kadi.
Fatimah nampak masih anggun apabila mengenakan pakaian kurung satin serba putih
beserta dengan selendang. Masih tampak ayu walaupun bertudung dan menutup
aurat. Dia menangis tatkala dirinya sudah sah menjadi isteri kepada lelaki yang
belum begitu dia kenali.
Mereka masuk ke dalam bilik dan melaksanakan
solat sunat nikah. Seusai solat Wan menyarungkan cincin ke jari manis Fatimah
lalu mengucup dahi isteri yang baru sahaja dinikahinya. Fatimah mencium tangan
suaminya dengan perasaan gembira dan terharu.
Sudah hampir 3minggu dia bergelar isteri. Shahid
menyambut kehadiran ayah tirinya dengan penuh gembira. Dia dididik di
sekolahnya tentang erti kasih-sayang dan menghormati orang yang lebih tua. Dia
senang menerima kehadiran Pak Wan kerana sekurang-kurangnya dia tidak perlu
risaukan keadaan ibunya dan adik perempuannya sepanjang ketiadaanya di rumah.
Syahidah masih berkurung di bilik. Dia
memprotes pernikahan ibunya.
“Mak dah tak sayangkan arwah ayah ye?” Fatimah
membelai lembut rambut Syahidah. Dia faham jiwa anak perempuannya itu. Syahidah
sangat rapat dengan arwah suaminya, Adli. Mungkin dia tidak dapat menerima ada
orang lain yang menggantikan tempat ayahnya di rumah tersebut.
“Bukan begitu sayang,” Fatimah cuba memujuk.
“Kalau mak masih sayangkan arwah ayah kenapa
mak kahwin dengan Pak Wan. Ayah tirikan jahat.”
Syahidah masih keanak-anakan. Dia masih belum memahami apa itu
tanggungjawab yang sebenarnya. Dia selalu terpengaruh dengan cakap-cakap kawannya
di sekolah. Kawan-kawannya selalu bilang ayah
tiri itu jahat. Selalu marah-marah dan pukul anak tiri. Dia takut Pak
Wan akan begitu.
“Syahidah sayang... Mana anak mak yang penuh
dengan kasih sayang dan tawa ceria dulu. Ingat tak apa yang Rasulullah s.a.w
pesan. Rasulullah s.a.w berpesan: “Sesiapa yang tidak mengasihi maka dia tidak
akan dikasihi.”
Sya seorang yang penyayang. Pak Wan bukan
pengganti ayah kerana tiada siapa boleh menggantikan ayah. Pak Wan dan ayah
berbeza sifat, kebaikan mereka juga berbeza. Ayah sudah pergi untuk
selama-lamanya. Bukankah Ayah selalu berpesan kita kena selalu bersangka baik
dengan orang. Tidak semua ayah tiri jahat. Pak Wan seorang yang baik dan
berlemah lembut orangnya. Mak doakan Allah lembutkan hati Sya menerima kehadiran
Pak Wan sebagai ahli keluarga baru dalam keluarga kita.”
Fatimah mencium dahi anak perempuannya lantas
berlalu keluar. Syahidah masih termanggu-manggu di situ. Dia masih tidak dapat
menerima kehadiran Pak Wan dalam keluarganya. Dia melayan perasaan sendiri
hingga terlelap di atas katilnya.
[1] Diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah dia
berkata: Dahulu Rasulullah s.a.w mengajarkan kami istikhoroh sepertimana
Baginda mengajarkan kami surah daripada al-Quran, baginda bersabda: sekiranya
kamu berniat melakukan sesuatu maka laksanakanlah solat sunat dua rakaat dan
membaca doa (seperti yang disebutkan di atas). Hadith Riwayat al-Bukhari 4/347.