Friday, February 21, 2014

Ku Semai Cinta: Bab 3


Solat Isyak di Masjid at-Taqwa diimamkan oleh Farhan. Usai solat Isyak, dia memberikan tazkirah tentang kelebihan orang yang menuntut ilmu.
                          “Ibu dan bapa yang saya kasihi. Orang yang menuntut ilmu ini Allah akan mudahkan jalannya mencari Syurga. Sepertimana disebut di dalam sebuah hadith: “Barangsiapa yang menempuh satu jalan menuntut ilmu, Allah akan memudahkan jalannya menuju Syurga”.
                          “Ustaz, adakah menuntut ilmu itu maksudnya kita belajar di masjid dan di surau sahaja? Ataupun maksudnya kena belajar di universiti?” Seorang jemaah masjid bertanya.
                          Farhan tersenyum.
                          “Ayah-ayah dan ibu-ibu yang saya kasihi. Menuntut ilmu itu sifatnya luas. Di mana-mana sahaja kita boleh menuntut ilmu. Di masjid boleh, di surau boleh, di kelas boleh.”
                          “You tube ustaz?”
                          Seorang anak kecil mengangkat tangan dan bertanya. Farhan terkejut apabila terdengar suara kanak-kanak mengajukan soalan.
                          “Masya Allah, ada ahli syurga rupanya di sini. Siapa nama adik?” Farhan bertanya.
                          “Haziq”
                          “Masya Allah. Sedap namanya. Di You Tube pun boleh dik. Jika mampu ke masjid pergilah ke masjid. Jika pergi ke masjid hanya sempat untuk solat dan tidak sempat untuk mengikuti kelas pengajian, boleh menggunakan kemajuan teknologi seperti sekarang ini. Di youtube, Facebook, live streaming dan sebagainya. Niatkan hati ikhlas untuk cari ilmu Allah. Tetapi lebih afdhal apabila kita mencari seorang guru yang kita sudah selidiki bahawa ilmu yang dia sampaikan itu dari sumber yang benar. Mudah-mudahan Allah nilai setiap amalan kita.” Ustaz Farhan menjelaskan kelebihan-kelebihan lain bagi orang yang menuntut ilmu seperti dikurniakan mati syahid, dinaikkan satu darjat, boleh menghilangkan kejahilan dan sebagainya.
                          Setengah jam tazkirah seakan tidak cukup. Lunak suara Farhan menambat hati para jemaah. Sejak pulang dari Jordan 3 bulan lalu, Farhan memilih untuk menetap di kampung untuk menjaga ibubapanya. Dia memohon untuk mengajar di sekolah agama persendirian sahaja memandangkan dia tidak mempunyai sijil perguruan ikhtisas seperti guru JQAF atau KPLI. Kerana itu, dia memilih SMAT untuk mencurahkan sedikit ilmu kepada anak bangsa sebelum dia berfikir untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana.
                          Setiap kali tiba waktu solat, dia akan ke Masjid at-Taqwa dan sekali-sekala akan diminta oleh imam masjid tersebut untuk mengimamkan solat.
                          Sebagai graduan dari timur tengah, Farhan menyahut seruan itu sebagai tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah untuknya sebagai pelajar lepasan pengajian Islam.
                          Usai tazkirah, para jemaah bersurai untuk pulang ke rumah masing-masing. Kebetulan hari itu adalah hari sabtu, Farhan memilih untuk duduk lama di masjid setelah meminta izin daripada imam masjid tersebut.
                          “Ini kunci masjid. Nanti Ustaz tolong kuncikan pintu utama ye? Maklum sahajalah. Bukan tak beri izin sesiapa masuk ke masjid malam-malam begini, tetapi takut ada yang mencemarkan masjid dan menyalahgunakannya pula. Lagi pula sekarang ini banyak kejadian kecurian barangan masjid seperti karpet, pembesar suara dan peti tabung masjid. Sedangkan itu semua prasarana yang wajib saya jaga sebagai orang yang dipertanggungjawabkan di sini.” Jelas Pak Imam.
                          “Baiklah Pak Imam. insyaAllah nanti saya akan kuncikan. Esok sebelum subuh saya akan datang awal untuk buka semula pintu masjid.”
                          “Tak mengapa, saya ada kunci pendua. Ustaz simpan dahulu kunci ini. Saya percayakan ustaz insyaAllah.”
                          “Kalau begitu terima kasih ye Pak Imam.”
                          “Sama-sama. Saya balik dulu.”
                          “Baiklah.”
                          Farhan bersalaman dengan Pak Imam kemudian duduk di ruangan masjid. Dia mengambil mushaf di poket baju melayunya dan membuka helaian surah al-Baqarah untuk mengulangi hafazan yang pernah dihafalnya. Sampai ke ayat 216, Surah al-Baqarah dia berhenti. Farhan merenung ayat itu dalam-dalam.
                         
“Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu padahal itu baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal itu tidak baik bagi kamu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”

                   Ayat al-Qur’an itu seolah-seolah sedang berbicara dengannya secara terus, lalu sesaat itu juga airmatanya tidak semena-mena mengalir. Dia tenggelam dalam tangisan lantaran terimbau kisah lampau hidupnya.

‘Ya Allah. sesungguhnya aku lemah dalam mendepani ujian ini. Bantulah hamba-Mu ini untuk melupakan masa lalu yang bersarang di jiwa. Berikanlah aku hati yang redha dan tetap bersangka baik dengan ketentuan yang telah Engkau tetapkan buatku. Ya Allah kurniakanlah untukku hikmah dan ganti yang lebih baik lagi dari apa yang telah luput dari hidupku’

Doa itu hanya tertutur di hatinya. Farhan tidak mampu melupakan kenangan lalu yang benar-benar membuatnya jatuh lemah seakan-akan hilang seketika sangka baiknya kepada Allah.

Friday, January 24, 2014

Ku Semai Cinta: BAB 2




Fatin dan Tasnim berjalan menuju ke kelas selaju yang boleh. Di kejauhan, mereka melihat ada dua orang pelajar lelaki sedang berdiri betul-betul di hadapan kelas mereka.
“Eh, Fatin. Itu Sabiq dan Muhaimin kan? Kenapa mereka berdiri di luar?” Tasnim bertanya. Dia hairan melihat dua orang pelajar masih berdiri di luar kelas.
“Entahlah Tasnim. Jomlah cepat.”
Fatin tidak tahu apa yang sedang berlaku. Mereka berdua berjalan dengan segera dan terus masuk ke kelas. Sebaik sahaja masuk ke muka pintu, dilihatnya Ustaz Farhan sudah berada di meja guru dan tunduk memandang kitab Fiqhul Manhaji. Mereka serba salah untuk terus berjalan ke tempat duduk masing-masing. Jalan yang terbaik, mereka berhenti di hadapan pintu kelas dan memberi salam kepada Ustaz Farhan.
“Assalamualaykum ustaz.”
 “Waalaykumussalam. Awak berdua dari mana?”
Ustaz Farhan menoleh ke arah mereka yang masih teragak-agak di muka pintu seolah-olah. Semua pelajar memandang ke arah mereka berdua.  
“Maafkan kami ustaz. Kami dari kantin.” Ujar Tasnim.
Ustaz Farhan dengan wajah yang tiada senyum mengarahkan mereka untuk berdiri di luar kelas sehingga habis waktu kelasnya.
“Awak berdua sila berdiri di luar, seperti rakan awak yang lain. Sepanjang 45 minit ini, saya mahu awak berdua beristighfar. Biar hilang dosa-dosa kecil yang berselaput dalam hati.”
Terasa kasar kalimah itu meluncur di pendengaran mereka berdua. Dengan wajah yang merah padam, Fatin dan Tasnim menahan malu di hadapan lima puluh orang pelajar STAM yang lain. Fatin berpatah balik keluar semula dari kelas sambil diikuti Tasnim, lalu berdiri tidak jauh dari tempat dua orang pelajar lelaki yang sedang berdiri diluar.
                          “Fatin, saya minta maaf. Disebabkan saya, kita berdua kena denda.” Tasnim berbisik.
                          “Tak mengapalah. Bukannya salah awak seorang. Kita anggap ini sebagai kifarah dosa ye. Mungkin ada hikmahnya. Sekarang kita istighfar seperti yang Ustaz Farhan arahkan ye”.
                          Tasnim mengangguk faham.
                          45 minit berlalu. Ustaz Farhan memanggil mereka berempat masuk semula ke kelas dan berdiri di hadapan pelajar-pelajar yang lain.
                          “Ini sebagai pengajaran kepada awak berempat dan pelajar-pelajar yang lain juga. Sebagai penuntut ilmu, kita harus menghormati waktu dan guru. Sepatutnya seorang pelajar yang mahukan ilmu perlu datang sebelum gurunya datang. Bukannya datang lewat dan membuatkan gurunya tertunggu-tunggu.
                          “Tahukah kamu, ulama-ulama dahulu mempelajari adab selama dua puluh tahun, dan kemudiannya baru mereka mempelajari ilmu. Sebab itulah ilmu mereka barakah.” Ujar Ustaz Farhan. Mereka berempat hanya tunduk memandang lantai.
                          “Ustaz bukan sengaja nak malukan kamu berempat, tetapi ini adalah sebagai peringatan dan anggap sahaja ini sebahagian dari pelajaran. Jangan disebabkan peristiwa harini, kamu anggap ustaz benci pada kamu semua. Anggaplah ini sebahagian dari didikan.” Sambung Ustaz Farhan.
                          “Baiklah, boleh duduk tempat masing-masing.”
                          Fatin, Tasnim, Sabiq dan Muhaimin mengucapkan terima kasih dan berlalu untuk mengambil tempat duduk masing-masing. Ustaz Farhan lalu meneruskan pelajarannya sehingga jam 1145pagi.

                          “Syukran Ya Ustaz”
                          Ketua kelas mengucapkan terima kasih usai kelas Fiqh untuk hari itu. Ustaz Farhan bangun dan tersenyum kepada semua pelajar lalu mengangkat buku-bukunya dan berlalu keluar dari kelas.
                          Sebaik sahaja Ustaz Farhan keluar, Tasnim mencuit tangan Fatin. “Huh. Lenguhnya berdiri tadi. Nak menangis rasanya.” Tasnim mengeluh.
                          “Sudahlah Tasnim, jangan mengeluh. Salah kita juga lambat masuk ke kelas. Nanti lepas sekolah, kita jumpa Ustaz Farhan sekejap boleh?” Pinta Fatin.
                          “Eh, nak buat apa? Malulah. Dahlah buat salah.” Tasnim mengelak untuk bertemu Ustaz Farhan lagi selepas peristiwa tadi.
                          “Sebab buat salahlah kita kena jumpa. Takkan awak nak rasa bersalah sampai bila-bila. Lagipun kan ustaz ada cakap tadi, kita kena beradab supaya berkat ilmu kita. Jadi kenalah minta maaf dengan ustaz sebab kita dah buat ustaz sakit hati.” Terang Fatin.
                          “Baiknyalah awak ini Fatin. Bertuahnya saya dapat kawan macam awak. Selalu ingatkan saya untuk jadi baik.” Puji Tasnim.
                          “Awak pun baik, sebab itu saya suka kawan dengan awak.”
                          Tasnim hanya tersengih sahaja mendengar pujian Fatin.  

* * *

Fatin dan Tasnim masih berdiri di bawah koridor bersebelahan tempat letak kereta VIVA berwarna silver milik Ustaz Farhan. Sudah 5 minit mereka tunggu di situ. Tetapi Ustaz Farhan masih belum muncul lagi.
                          “Fatin! Pukul berapa Ustaz Farhan nak balik ni? Takkan nak tunggu sampai pukul dua. Nak solat Zohor lagi, nak makan lagi. Pukul 2.30 petang nak masuk sesi akademik pula.”
                          “Sabarlah sekejap. Kan baru lima minit kita tunggu.”
                          Dikerling jamnya baru menunjukkan jam 1240 tengah hari. Tasnim mendengus kerana penat berdiri. Sudahlah kena denda di luar kelas, sekarang ini kena berdiri di situ pula.
                          “Hah.. itu pun Ustaz Farhan. Jom.” Fatin menarik tangan Tasnim sebaik sahaja ternampak kelibat Ustaz Farhan berjalan ke arah tempat memakir kereta.
                          “Assalamualaikum Ustaz”
                          Farhan yang baru keluar dari bilik guru sedikit terkejut mendengar suara seseorang memberi salam. Ditoleh ke arah koridor bersebelahan tempat letak keretanya, ada dua orang pelajar perempuan bertudung ungu sedang berjalan ke arahnya.
                          “Waalaikumussalam. Ye Fatin, Tasnim. Ada apa-apa ke?” Farhan mengenali pelajar itu kerana dia sudah maklum bahawa Fatin merupakan pelajar terbaik SPM di SMAT tahun lalu. Tasnim pula dikenali kerana dia merupakan salah seorang pelajar yang didenda pagi tadi.
                          “Maafkan kami sebab ganggu ustaz. Kami datang ini mahu meminta maaf jika kelewatan kami datang ke kelas tadi buat kami nampak biadab dengan ustaz. Kami minta maaf sangat-sangat. Kami janji, insyaAllah selepas ini kami akan datang ke kelas pada waktunya”, Fatin meminta maaf atas kejadian tadi. Tasnim hanya berdiri sambil tunduk, takut dimarahi lagi seperti tadi.
                          Farhan terkejut dengan kesantunan mereka berdua. tidak pernah ada pelajar yang berbuat salah dan bertemunya untuk meminta maaf sekali lagi.
                          “Tak mengapalah. Ana tidak ambil hati. Cuma Ana harap Enti berdua ambil semua itu sebagai pengajaran dan didikan dari Ana. Ana tak suka nak denda-denda anak murid, tetapi kalau perkara ini sudah berulang banyak kali, Ana terpaksa lakukan juga.” Farhan menjelaskan kepada mereka berdua.
                          “Ana tahu Enti berdua pelajar yang baik, sebelum ini tak pernah lewat ke kelas. Mungkin kerana hari ini Allah takdirkan Enti berdua yang kena denda, maka ambillah semua ini sebagai didikan ya. Ana pun minta maaf jika memalukan Enti berdua tadi.”
                          “Kami yang seharusnya berterima kasih sebab sudi lagi nak maafkan kami dan mengajar kami. Kami harap ustaz redhakan ilmu yang ustaz nak beri pada kami.” Pinta Fatin.
                          “Ya, Ana halalkan.”
                          “Terima kasih ustaz. Kami minta diri dulu. Assalamualaikum.”
                          “Waalaikumussalam.”
Fatin dan Tasnim berlalu pergi pulang ke asrama Darul Imtiyaz. Manakala Farhan masuk ke perut kereta untuk pulang ke rumah.





















Tuesday, January 14, 2014

Ku Semai Cinta : BAB 1



BAB 1
Kringggggggg..
Loceng sekolah berbunyi dua kali. Seakan digegar gempa, suasana sekolah menjai riuh rendah. Loceng dua kali petanda waktu untuk rehat.  Terlihat para guru masing-masing keluar dari kelas diikuti pelajar-pelajar lelaki dan perempuan. Masing-masing memilih arah tuju. Ada yang memilih berjalan ke ruang tingkat dua bangunan sekolah untuk ke koperasi membeli makanan ringan, ada yang ke kantin untuk mengalas perut yang tidak diisi sejak pagi, ada juga yang tidak memilih ke mana-mana. Hanya duduk di dalam kelas sama ada tidur atau menyiapkan kerja sekolah.
Sejak sebelum rehat, Fatin sudah berada di dalam bilik guru memandangkan Ustaz Rahim yang mengajar mata pelajaran Tauhid sedang berkursus. Setiap minggu, Fatin harus bertemu dengan ustazah Azila untuk menyerahkan laporan keselamatan pelajar-pelajar di asrama Puteri.
Usai menyerahkan laporan tersebut, Fatin mengambil peluang berbicara dengan Ustazah Azila tentang perancangan masa hadapan.
“Ustazah, saya ingat nak sangat belajar di Mesirlah. Nak jumpa Syeikh di sana dan talaqqi ilmu di masjid-masjid di Mesir. Mesti seronok kan ustazah?” Ujar Fatin melakar harapan di hadapan Ustazah Azila sambil mengukir senyuman yang sangat indah.
“Kalau Fatin nak ke Mesir, Fatin kena belajar bersungguh-sungguh bermula dari sekarang. Dapatkan MUMTAZ dalam kesemua sepuluh matapelajaran.” Ustazah Azila memberikan kata-kata semangat.
“Tapi, susahnya nak  menghafal dalam bahasa Arab. Lidah ini tergeliat dibuatnya.” Fatin mengadu kesusahan yang dia rasai selama ini. Ternyata menghafal mata pelajaran berbahasa arab tidak mudah seperti yang disangkakan.
“Mungkin sebab Fatin belum biasakan rutin menghafal. Menghafal ini perlu diulang-ulang. Sebelum diulang kenalah fahamkan dahulu. Kalau dah biasa nanti, insyaAllah lebih mudah dan lancar.” Ujar Ustazah Azila.
Fatin mengangguk faham. Niat hatinya untuk ke Mesir dipendam sedalam-dalamnya.
Universiti al-Azhar merupakan universiti termasyhur yang terletak di Mesir. Cawangannya tersebar di beberapa daerah seperti Iskandariah, Mansourah, tanta dan selainnya. Ia telah menjadi pusat menimba ilmu agama yang paling tua dalam pelbagai bidang. Para pelajarnya pula terdiri daripada pelajar dari seluruh pelusuk dunia.
Fatin menyimpan angan-angan untuk ke sana kerana dia sangat meminati Bahasa arab dan mahu mendalami bidang Tafsir. Lebih-lebih lagi, guru-guru di sekolahnya merupakan lepasan Universiti al-Azhar Mesir, dan mendapat galakan dari mereka untuk melanjutkan pengajian ke Mesir.
Selepas bertemu dengan Ustazah Azila, Fatin keluar dari bilik guru untuk pulang semula ke kelasnya di tingkat bawah bangunan Mawardi. Sedang asyik mencari kasut sarung hitamnya, seseorang menepuk dan menyergahnya dari belakang dengan kuat.
“Fatin!!!”
Hampir tercampak buku teks Mantiq dan nota-notanya namun sempat dipegang erat. Fatin mengurut dadanya lantaran terkejut dengan perlakuan sahabatnya.
“Astaghfirullah. Tasnim. Awak ini nak bagi saya sakit jantung ke? Buat terkejut saya sahaja. Mujur saya tak pengsan. Kalau pengsan siapa yang susah?” Fatin mengomel sambil membuat muka garang.
“Mestilah saya yang susah.” Ujar Tasnim sambil memaut bahu Fatin.
“Awak ini kan muslimah yang solehah, tak boleh buat orang begitu. Kan Rasulullah Sallallahu alaihi wa sallam pesan, kalau jumpa saudara seislam, maka berilah salam.” Fatin menegur sambil menyarung kasut sarung hitamnya.
Tasnim menahan ketawa melihat wajah Fatin yang garang sambil mengomel seperti emak-emak.
“Baiklah. Maafkan saya. Awak ini garang sangatlah. Takut saya.” Tasnim berhenti bergurau. Dia meminta maaf kerana sedar akan kesilapannya.
“Yelah. Saya maafkan. Tapi janji jangan buat begitu lagi.” Pinta Fatin.
“Baiklah. InsyaAllah saya tak buat begitu lagi.” Tasnim mengangkat tangan kanan seperti orang berikrar lagaknya kemudian memegang perutnya yang berbunyi sejak tadi.
“Eh Fatin. Saya laparlah.. jom pergi kantin. Saya belum makan apa-apa sejak pagi tadi.” Ujar Tasnim.
“Tapi lagi 15 minit je nak habis waktu rehat.”
Tasnim sedikit kecewa. Melihatkan Tasnim yang sedikit pucat, dia merasa risau takut terjadi apa-apa jika dia tidak makan.
“Oklah. Jom makan dulu.”
Mereka berdua berjalan bersama ke arah kantin untuk mengambil sarapan pagi. Adik-adik junior yang bertemu mereka memberikan salam tanda hormat kepada senior yang lebih dewasa dari mereka.
SMAT mempunyai uniform sekolah yang agak unik. Pelajar-pelajar perempuan kelas STAM memakai uniform baju kurung putih, kasut hitam, tudung berwarna ungu lembut dan kain berwarna ungu gelap. Adapun pelajar lelaki memakai baju putih lengan panjang, kopiah putih serta seluar dan kasut hitam. Pelajar-pelajar di tingkatan satu hingga lima sama seperti sekolah-sekolah harian melainkan kain sekolah berwarna hijau dan bagi pelajar lelaki, mereka diwajibkan memakai seluar berwarna hitam dan berkopiah putih.
Sudah 6 tahun Fatin dan Tasnim bersekolah di SMAT. Tidak pernah terlintas untuk pindah dari sekolah yang penuh dengan tarbiyah dan didikan, sesuai dengan namanya Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah. Selepas peperiksaan SPM, Fatin mengambil keputusan untuk menduduki peperiksaan STAM, oleh itu sebaik sahaja sekolah dibuka, dia sudah mendaftar masuk ke kelas untuk memulakan pelajaran.
Sedang asyik menyuap mee goreng, Fatin bertanya kepada Tasnim: “Tasnim. Sekarang dah masuk bulan Mac. Awak dah mula menghafal untuk STAM nanti?”
“Belum mula lagi. Alah, lama lagi kan? Entahlah kenapa rasa malas sangat. Lagipun, saya ambil STAM ini sebab keputusan SPM saya haritu tak bagus. Lainlah macam awak, kalau awak isi borang UPU sekarang ini, dah mesti-mesti awak dapat masuk universiti punyalah.” Tasnim berseloroh sambil menghirup air teh di dalam glas plastik berwarna merah jambu.
“Awak ini Tasnim. Janganlah merendah diri sangat. Yang dah berlalu itu, biarlah berlalu. Yang penting sekarang ini dan masa akan datang. Kita kena ada cita-cita yang tinggi. Sekurang-kurangnya untuk menggembirakan hati ibubapa kita”.
Fatin cuba memberi nasihat kerana sangat menyayangi sahabatnya itu. Sesekali dia tidak mahu sahabatnya tertinggal di dalam pelajaran. Kalau boleh dia mahu mereka berjaya bersama-sama dan masuk ke universiti yang sama nanti.
Tasnim diam dan hanya mengangguk tanda faham akan kata-kata Fatin. Dikerlingnya jam di tangan, lagi lima minit tepat jam 1045 pagi.
“Eh. Dah nak habis waktu rehatlah. Jom balik ke kelas. Lepas ini kan masa ustaz ‘saya’.”Tasnim bergurau.
“Hehe. Tak habis-habis awak ini kan. Sudahlah, jangan nak berangan selalu. Dia itu ustaz kita tahu? Mana boleh nak simpan perasaan lebih-lebih sangat.” Fatin mengingatkan.
“Tahulah. Saya gurau je Fatin. Saya sedar diri, sudahlah tiada rupa, tidak pandai pula itu. Lainlah awak. Pandai, cantik, manis, solehah...”
Belum sempat Tasnim menyambung pujiannya, Fatin memotong. “Dahlah, jangan nak merepek. Jom balik ke kelas.” Ditariknya tangan Tasnim yang masih duduk supaya cepat bangun  untuk pulang ke kelas.