Warga kampus mula keluar menuju ke kelas. Hari ini minggu
pertama kelas untuk semester baru bermula. Kebiasaannya hari pertama pengajian
kebanyakan kelas masih belum bermula kerana sebahagian pelajar masih berhadapan
dengan masalah pendaftaran matapelajaran. Syahidah berjalan tenang menuju ke
bangunan Admin kerana kelasnya pada pagi ini adalah seawal jam lapan pagi.
“ Assalamualaikum.” Tiba-tiba suara seseorang
menyapa.
Syahidah menoleh ke belakang lalu tersenyum
melihatkan rakan sekuliah yang amat dia kenali.
“Wa’alaikumussalam. Seri apa khabar? Lamanya
tidak ketemu.” Syahidah menjawab salam dan menyapa dengan dialek indonesia.
“Seri baik-baik sahaja kak. Kakak punya kelas
di bangunan Admin juga? Kelas apa pagi ini. Kelas Seri juga di bangunan Admin.”
“ Oh, akak ada kelas dengan Dr Faizi. Madah[1] Tadwin
as-sunnah.”
Jawab Syahidah.
“Memangnya setiap kali semester madah
Tadwin as-sunnah semestinya jam lapan pagi ye kakak? Seri sudah ambil
semester lepas. Dr Faizi-nya bagus mengajar, tetapi markahnya agak strict.”
Syahidah sudah menduga kerana kebanyakan senior
pun mengatakan perkara yang sama. Namun dia tidak mengambil peduli sangat akan itu
semua. Yang penting dia dapat belajar sesuatu yang baru. Bukan kerana terpaksa,
tetapi dia juga diasak pertanyaan dalam dirinya sendiri tentang ilmu-ilmu
hadith. Dia mengambil pengkhususan dalam bidang Hadith kerana minatnya yang
begitu mendalam.
“Tak mengapalah Seri. Jika markah kita kurang
bagus, sekurang-kurangnya kita dapat ilmu juga kan? Bukankah menuntut ilmu itu
ganjarannya tinggi, kita kena bersyukur kerana Allah takdirkan kita kenal
dengan Dr Faizi, kita dapat belajar sesuatu yang sebelum ini kita tidak tahu.”
Syahidah cuba positif, sedikit sebanyak
kata-katanya yang dituturkan memberi sedikit ketenangan ke dalam hatinya
walaupun sememangnya dia juga agak gerun dengan cerita-cerita seniornya
sebelum ini.
“Ya kakak, semoga kakak dapat markah yang
bagus sangat. Seri sangat kagum dengan kakak. Sepatutnya Seri kena belajar
dengan kakak banyak lagi.”
“MasyaAllah, Seri...seri.. Akak ini mana ada
bagus apa-apa. Pencipta kakak yang mesti dikagumi, bukan kakak. Dia Yang Maha
Memberi segala-galanya. Terima kasih doakan akak. Semoga Allah memberi
kelapangan kepada Seri dalam segala lapangan ilmu.”
“ Amin ya Rabb. Ok kakak. Seri mahu ke kelas
dulu ya. InsyaAllah jumpa lagi nanti.”
Seri merupakan pelajar dari Acheh,
Indonesia. Orangnya peramah dan baik
sekali. Seorang lagi rakan Indonesia yang Syahidah kenali adalah Farihah.
Farihah suka meniru-niru dialek orang malaysia sehingga kadang-kadang bunyinya
menjadi kelakar. Itulah uniknya UIA yang terdiri dari pelajar-pelajar dari
pelbagai negara.
Syahidah dan Seri berpisah di persimpangan menuju
tangga untuk naik ke tingkat tiga bangunan ADMIN. Dia melihat jam pemberian
Abang Shah tepat menunjukkan jam 7.55 pagi.
Sampai di tingkat tiga, Syahidah meneliti
nombor di hadapan kelas tersebut. ‘ADM LR6’
“Betullah ni.”
Dia masuk dan memberikan salam kepada
pelajar-pelajar yang sudah hadir terlebih awal ke kelas tersebut. Dia
memerhati, hanya lima orang pelajar sahaja di kalangan perempuan. Yang lain
lelaki. Itupun dua orang sahaja
mencukupkan bilangan lapan orang pelajar yang mendaftar ke kelas itu
termasuk dirinya sendiri.
“Sya baru ambil madah ni ke?.”
Soal
Husna sebaik sahaja Syahidah memilih untuk duduk di sebelahnya di barisan
kedua. Disebelah kiri Husna ialah Fatin dan Najihah. Mereka berdua hanya
melemparkan senyuman sahaja buat Syahidah.
“Ye. Sya baru ambil. Semester lepas jadual
bertembung dengan madah lain.”
Dia
sudah mengenali kebanyakan penghuni kelas tersebut melainkan dua orang pelajar
lelaki dan 3orang pelajar perempuan lain.
‘Senior agaknya.’
Getus hatinya.
Baru sahaja Syahidah mahu membuka sesi
perkenalan dengan tiga orang pelajar perempuan yang dia kurang kenali, Dr faizi
masuk memberi salam.
‘Oh. Ini ke dr faizi’
Bisik
hatinya.
‘Aku ingatkan orang melayu. Rupanya orang
arab. Bersihnya wajah ustaz ni.’
“Na’am, anti. Masmuki?[2]”
Soal
ustaz kepada Syahidah selepas sessi ta’aruf beberapa rakannya selesai. Kini
gilirannya memperkenalkan diri. Dia sedikit terkejut.
“Erk.. Ismi Nur Syahidah binti Hassan Adli. Min sanah
thalitah.[3]”
“Aiwah[4],” Dr
Faizi memberi respon.
Kelas pagi itu dipenuhkan dengan sesi ta’aruf
dan sedikit pengenalan tentang mata pelajaran yang akan diajar. Tepat jam 8.50
pagi, Dr Faizi menghabiskan kelasnya dengan ucapan salam dan berlalu keluar.
“Sya ada kelas lagi lepas ni? Kalau tiada,
Husna nak ajak breakfast sama-sama. Laparlah pula.”
Sambil memasukkan buku ke dalam beg, Husna
mengajak Syahidah untuk bersarapan bersama-sama memandangkan dia tidak sempat
menjamah sarapan pagi langsung kerana terpaksa bergegas awal ke kelas. Dr.
Faizi berasal dari Syria, sudah beristeri dan mempunyai dua orang anak lelaki
yang ketika ini juga mengambil ijazah sarjana muda di UIA. Beliau seorang yang sangat
menepati masa. Boleh dikatakan setiap semester, subjek Tadwin as-Sunnah
pasti akan bermula jam 8pagi, dan beliau akan masuk kelas tepat jam 8pagi juga.
“Boleh juga. Kita sarapan di Cafe HS ye,”
Syahidah memberi respon kepada Husna.
“Orait”
Mereka berdua berlalu keluar meninggalkan
kelas sementara pelajar lain mula memasuki kelas tersebut untuk mengikuti
kuliah seterusnya.
*
* *
“ Sandwich je dik?”
“Ye makcik. Alas perut je dulu”
Sya menjawab soalan tersebut dengan senyuman
sambil menghulurkan wang RM1.50.
“Eh, takkan makan tu je kot. Malunye Na makan
berat-berat pagi ini.” Tegur Husna sebaik sahaja Syahidah duduk di hadapannya.
Mereka memilih duduk di bahagian tepi sekali memandangkan tempat itu memang
sudah disediakan dengan tulisan “SISTERS AREA”. Tetapi ramai yang seolah-olah
tidak nampak arahan tersebut dan duduk bebas sesuka hati. Kadang-kadng
bercampur satu meja antara lelaki dan perempuan.
“Alah.. tak mengapalah. Lagipun Sya sudah
minum pagi tadi. Nak alas perut dengan makanan pula.”
Sya yang kaya dengan senyuman membuka kotak
bungkusan plastik sandwich dan membaca bismillah.
“Jomlah makan laksa ni dengan Na sekali.”
Pelawa Husna.
“Tak mengapalah. Eh, Na makan laksa pagi-pagi ini
tak sakit perutkah nanti?” Syahidah mengingatkan, maklum sahaja laksa di situ
agak pedas sedikit, biasanya kalau perut yang tidak tahan akan rasa sakit
beberapa waktu selepas makan.
“Sya jangan risau. Na ok je. Lagipun Na tak
tahanlah dengan laksa ni. Macam Sya tak tahu je Laksa ni favourite Na.
Hehe...”
Syahidah mengangguk dan terus menjamah roti
sandwichnya dengan perlahan. Sambil dia memandang sekeliling, tiba-tiba matanya
menangkap seseorang yang begitu dia kenali. Hatinya seakan berdebar entah
mengapa.
‘Ya Allah, janganlah izinkan dia nampak aku di
sini’
Syahidah cuba mengalihkan pandangannya ke
tempat lain. Namun dia merasakan orang tersebut mula memerhatikannya. Syahidah
buat-buat tidak perasan akan kewujudannya.
“Burgh... alhamdulillah. Opss.. sorry
Sya, tak dapat nak controllah. Hehe. Kelas Sya pukul berapa pula selepas
ini?” Husna bertanya sambil meniup air teh O panas di dalam cawan.
“Eh Na, jangan tiup air panaslah. Bukankah ada
maklumat mengatakan air panas yang ditiup akan bertukar menjadi racun
disebabkan kandungan molekulnya yang berubah. Tapi Sya tak ingatlah macam mana
ia boleh bertukar menjadi racun.”
“Oh, yelah. Na terlupa. Nasib baik Sya
ingatkan.”
“Bukan sebab ‘nasib baik’, tetapi sebab Allah
takdirkan Sya ada untuk ingatkan Na”.
Syahidah selalu mengingatkan Husna tentang
perkataan ‘nasib baik’. Dia ingat lagi kata-kata Dr. Suhana mengenai perkara
tersebut. Menurut Ustazah, tiada istilah nasib baik dalam hidup kita, semuanya
sudah ditentukan Allah. Nasib baik seolah-olah ada juga nasib buruk sedangkan
Allah sentiasa mentakdirkan sesuatu yang baik buat hambanya. Walaupun
kadang-kadang seseorang ditimpa musibah, itu tidak bermakna nasib seseorang
buruk, tetapi Allah mahu memberikan ganjaran yang hebat buat hambanya. Nabi
s.a.w bersabda:
لَا يَقْضِي اللَّهُ لَهُ شَيْئًا إِلَّا كَانَ
خَيْرًا لَهُ
Maksudnya: Allah tidak menetapkan qada’ bagi
seorang hambaNya kecuali qadha’ itu baik baginya. [5]
“Ok..ok. nasib baik..eh, alhamdulillah, syukur
Allah takdirkan Sya ada untuk mengingatkan Na pagi ni.”
Mereka berdua ketawa. Syahidah bukanlah tidak
tahu bahawa Husna tidak memaksudkan begitu, dia tahu Husna juga belajar perkara
yang sama dari Dr. Suhana. Syahidah menolehkan pandangan ke tempat tadi, namun
kelibat orang tersebut sudah tiada. Dia menghela nafas lega.
“Lepas ni Sya mahu ke masjid, nak i’adah[6] al-Quran
sementara menunggu kelas jam 11pagi nanti”. Sya baru menjawab soalan Husna tadi
tanpa diminta.
“Oh, kalau macam tu Sya pergilah masjid. Na
nak jumpa Ustaz Aqil, nak tambah subjek manual.”
“Kalau begitu tidak mengapalah. Jumpa lagi
nanti insyaAllah.”
Mereka berpisah di depan pintu masuk masjid
bahagian wanita yang bertanda ‘sister entrance’.
* * *
Syahidah memasuki ruang lift untuk naik ke tingkat
empat bangunan CELPAD. Dia mahu bertemu dengan Ustaz Faizul untuk meminta
persetujuan meneruskan hafazan untuk semester baru ini. Dia berjalan perlahan sambil matanya liar
mencari nama ustaz Faizul di pintu setiap bilik.
‘FAIZUL BIN MUHAMMAD’
‘AZMAN NOOR BIN MOHD ALI’
Tertera dua nama pensyarah di depan pintu bernombor J54.
‘Hm...alhamdulillah jumpa juga.’
Dia mendengus kelegaan lalu mengetuk pintu
bilik tersebut.
‘Tok..tok..tok..’ “Assalamualaikum.”
Syahidah mengetuk pintu dan segera memberi salam.
“Wa’alaikumussalam. Tafaddo[7]l”.
Kedengaran suara ustaz Faizul menjawab salam dari dalam pejabat. Pintu masih
bertutup, Syahidah membuka pintu pejabat tersebut dengan cermat. Sambil membuka
kasut untuk masuk, dia berkira-kira di dalam hati:
‘Jika ustaz seorang sahaja di bilik perlu ke
aku masuk?’
Dia menjenguk ke dalam pejabat, ternyata benar
ustaz seorang sahaja.
“Assalamualaikum ustaz. Boleh saya masuk?”
Soal Syahidah seakan tergagap.
“Oh, Syahidah rupanya. Datang seorang sahaja
ke?” Soal ustaz Faizul sambil bangun
dari tempat duduk dan mengambil penyendal pintu untuk menahan pintu dari
tertutup.
Syahidah mengangguk sahaja.
“Hah.. Masuklah. Ustaz Azman ada kelas. Ana
seorang sahaja ni.” Ustaz Faizul seakan terbaca apa yang bermain di fikiran Syahidah.
Lagipun dia memang sudah biasa dengan Syahidah kerana masuk semester ini sudah
kali ke 6 Syahidah mengulang bacaan al-Quran dengannya. Tujuan Ustaz Faizul
menyendal pintu bilik agar pintu bilik tersebut terbuka dan tidak menimbulkan
fitnah.
SubhanAllah. Indahnya akhlak orang yang
berilmu. Berjaga-jaga sebelum terkena. Di mana-mana sentiasa sahaja ada fitnah.
Syahidah bersyukur kerana dapat mengenali didikan sebegitu di Taman Ilmu dan
Budi ini.
“Ustaz. Maaf tak beritahu sebelum nak datang.
Saya nak minta izin untuk menambah hafazan al-Quran lagi semester ini. Jadi
saya datang nak minta jadual ustaz yang kosong supaya saya boleh susun masa
untuk tasmi’ bacaan al-Quran nanti.” Terang Syahidah.
“Anti boleh datang setiap kali lepas solat
Jumaat. Dalam pukul 3petang insyaAllah ana ada di sini.”
“Oh, kalau begitu senang jugalah. Terima kasih
ustaz”.
‘Tok..tok...tok’
“Assalamualaikum.”
Tiba-tiba perbualan Syahidah diputuskan dengan
bunyi ketukan pintu dari luar. Pintu terkuak perlahan dan muncul seorang
lelaki.
“Wa’alaikumussalam. Ha... Farid
masuklah.”
Syahidah terkaku. Dia selalu benar terserempak
dengan lelaki itu. Raut wajahnya seakan mirip Ustaz Faizul. Cumanya dia tidak
berkaca-mata dan kulitnya agak cerah berbanding dengan ustaz Faizul.
‘Siapa pula ini?’ Getus hatinya.
“Ini adik ustaz, Farid Hafidzi. Dia pelajar
kejuruteraan. Tetapi ambil minor dalam Ilmu Wahyu. Mungkin Sya tak kenal. Hm..
Farid, inilah Syahidah yang Along selalu cerita tu.” Ustaz Faizul seolah-olah
menjawab soalan yang bermain-main dalam fikiran Syahidah.
‘Eh ustaz ni, tak perlulah macam ni. Malu aku.
Mana aku nak sorok muka ni. Selalu cerita? Kenapa pula ustaz ni cerita tentang
aku dekat adik dia. Ish..ish.. kalau Na temankan aku tadi kan bagus’
Muka Syahidah mula meruap merah menahan malu.
Dia tidak pernah diperkenalkan dengan lelaki sebegitu rupa.
“Oh ye ke. patutlah muka ustaz dengan dia ada
mirip-mirip.” Syahidah memberi respon. Farid juga seakan malu dengan apa yang
sedang berlaku. Masing-masing mengalihkan pandangan ke tempat lain.
“Ustaz, kalau begitu, InsyaAllah minggu depan
saya mulakan hafazan ye ustaz. Saya minta diri dahulu. Terima kasih ustaz.”
Syahidah meminta izin untuk pulang. Sebenarnya dia mencari alasan untuk lekas
keluar dari bilik itu memandangkan dia amat malu dengan lelaki yang tidak dia
kenali tersebut.
“Boleh. Tapi nanti sms ana dahulu
sebelum datang, Mana tahu ustaz tiada di bilik pula nanti?”
“InsyaAllah ustaz. Syukran. Assalamualaikum”.
Syahidah cepat-cepat berlalu pergi. Sambil
berjalan pulang ke Mahallah, hatinya bermonolog
- Sya. Engkau nak segan-segan kenapa. Bukankah
engkau itu gadis yang kuat. Tahan diuji. Tak main cinta-cinta murahan ini.
- ini bukan tentang cinta murahan. Tapi aku
memang segan kalau dengan muslimin. Tapi dengan ustaz-ustaz elok sahaja.
- sudahlah. Jangan rasa lebih-lebih. Nanti
engkau mula melayan kan susah jadinya.
- astaghfirullahal azhim..
Dia cepat-cepat beristighfar lantaran tersedar
hatinya mula melebihkan dunia. Dia takut hatinya mati lantaran terlalu cintakan
dunia. Lagi yang dia takut jika hatinya dilalaikan dengan angan-angan yang
berlebih-lebihan.
Bekunya air mata kerana kerasnya hati
Kerasnya hati kerana banyaknya dosa
Banyak dosa kerana panjang angan-angan
Panjang angan-angan kerana cintakan dunia
Cintakan dunia kerana lupakan kematian
Syahidah selalu sematkan kata-kata Imam al-Ghazali itu di
dadanya. Dia segera berjalan pulang ke
Mahallah seorang diri untuk menyelesaikan perkara yang belum selesai lagi di
biliknya..